Amalan Berpantang Di Negara Lain

Di rantau Asia, tempoh selepas bersalin bagi wanita dikenali sebagai tempoh berpantang. Berpantang merupakan amalan tradisional di mana wanita lepas bersalin akan dikuarantin atau ‘dikurung’ di dalam rumah sehingga cukup satu tempoh bagi berehat dan memulihkan kembali tubuh selepas melahirkan anak.

Di Malaysia sendiri, terdapat tiga etnik utama; Melayu, Cina dan India- di mana ketiga-tiganya mempunyai amalan berpantang tradisional masing-masing. Meskipun amalan berpantang ketiga-tiga bangsa ini berbeza, namun matlamat utamanya adalah untuk menyokong ibu baru supaya cepat pulih selepas bersalin.

Asas amalan berpantang orang Asia
Suatu masa dahulu, ada ketika di mana ibu baru bersalin tidak boleh berjumpa atau menerima kedatangan tetamu semasa berpantang. Amalan ini bertujuan untuk membolehkan ibu baharu berehat dengan sepuas-puasnya tanpa gangguan daripada orang luar. Pada zaman moden ini, keadaan kian berubah. Terdapat langkah-langkah tertentu yang tidak diamalkan lagi kini, namun kebanyakan langkah yang utama masih tetap diteruskan.

Secara puratanya, tempoh berpantang bagi orang Asia adalah sebulan atau lebih, bergantung kepada amalan setiap kaum. Bagi masyarakat Cina Malaysia, tempoh berpantang adalah selama sebulan dari tarikh selepas bayi lahir. Sementara itu, bagi wanita Melayu pula, tempoh berpantang selalunya berakhir pada hari ke-44 selepas bersalin dan ada juga yang lebih lama daripada tempoh tersebut. Wanita India Malaysia juga menjalani tempoh berpantang selama 30 hari hingga 40 hari.

Walau bagaimana pun, jika seseorang ibu itu memerlukan lebih penjagaan, contohnya ibu yang menjalani kelahiran pembedahan, maka tempoh berpantang akan dipanjangkan sehingga dia benar-benar pulih.

Mengikut tradisi di Asia, lazimnya ibu atau ibu mertua yang akan menjaga wanita lepas bersalin. Bagi golongan yang berkemampuan pula, anda boleh mengupah confinement lady atau orang luar untuk menjaga ibu dan bayi. Matlamatnya masih sama iaitu untuk membiarkan ibu berehat dengan tenang tanpa memikirkan hal-hal seperti memasak, membersihkan rumah, menjaga anak dan sebagainya.

Di beberapa kawasan bandar pula, pusat berpantang semakin popular dan menjadi pilihan para ibu lepas bersalin kerana menyediakan tempat penginapan, makanan yang sesuai untuk ibu baru dan juga kakitangan nurseri yang akan menolong menjaga bayi. Bilik penginapan di sesetengah pusat ini menyediakan penginapan umpama hotel mewah di mana seorang ibu baru dapat memanjakan diri semasa tempoh berpantang. Pusat berpantang turut menawarkan perkhidmatan urutan tradisional, senaman lepas bersalin, kelas keibubapaan dan sokongan penyusuan.


Pusat penjagaan ibu selepas bersalin
Selain menawarkan tempat untuk ibu baru mendapat rehat sepuas-puasnya, sesetengah pusat berpantang juga turut menyediakan barangan bayi, herba untuk ibu berpantang dan juga rawatan spa khusus untuk ibu baharu. Malah, ada juga pusat berpantang yang turut membolehkan bapa untuk tinggal sekali bersama ibu dan bayi. Contoh pusat berpantang terkenal yang menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan seperti di atas ialah LYC Mother & Child centre di TTDI; Esther Postpartum Care yang terletak di Taman U Thant, Kuala Lumpur dan Kimporo Postnatal Rejuvenation Center yang terletak di ZELL-V Wellness Hub/ Menara Ruyi, Off Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur.


Matlamat yang sama
Meskipun amalan berpantang berbeza bagi setiap bangsa, kaum dan masyarakat, namun ada beberapa persamaan yang mereka amalkan, iaitu:

  • Aktiviti Fizikal – Ibu baharu ditegah sama sekali untuk melakukan aktiviti fizikal seperti kerja berat.
  • Seks – Hubungan intim adalah dilarang semasa tempoh berpantang.
  • Berehat – Elemen penting bagi wanita semasa tempoh berpantang.

Bagaimana kaum lain berpantang?
Bagi negara-negara barat dan Eropah, mereka mungkin tidak begitu mementingkan amalan berpantang bagi ibu baharu, namun masih ada beberapa negara di dunia yang mengamalkan amalan berpantang tradisional.

Antaranya:

INDIA
•   40-60 hari bergantung pada kawasan
•   Pengunjung tidak digalakkan
•   Urutan harian menggunakan minyak biji sawi

India merupakan antara negara yang mengamalkan amalan berpantang dengan ketat selama 40 hari hingga 60 hari, bergantung pada kawasan. Lazimnya, tetamu tidak digalakkan untuk datang berkunjung semasa tempoh berpantang, malah pemakanan dan aktiviti juga adalah dipantau. Semua amalan ini dibuat bagi memastikan ibu dan bayi berada jauh daripada pencemaran dan jangkitan penyakit. Amalan lain yang dilakukan termasuklah mandi menggunakan herba dan melakukan urutan harian menggunakan campuran minyak khusus seperti minyak biji sawi. Secara amnya, amalan berpantang masyarakat di India adalah untuk membantu ibu mendapatkan kembali bentuk tubuh mereka seperti sebelum hamil.

AFRIKA
•   Kuarantin untuk 10-40 hari
•   Dibantu oleh kaum keluarga dan rakan-rakan dalam tempoh pantang
•   Menerima makanan istimewa dari keluarga, jiran, dll.

Masyarakat negara Afrika mempunyai amalan berpantang yang berbeza. Lazimnya, ibu dan bayi akan dikuarantin selama 10 hingga 40 hari bergantung kepada kawasan. Menariknya tentang tempoh berpantang orang Afrika ialah, ibu baharu perlu berehat sahaja sementara ahli keluarga atau rakan-rakan akan membantunya melakukan kerja rumah dan menjaga anak lain – ibu juga akan menerima makanan istimewa daripada kaum keluarga dan sahabat handai. Bagi beberapa negara di Afrika seperti di Congo, ibu baharu akan mendapat sokongan daripada ahli keluarga walaupun selepas beberapa bulan bersalin.

JEPUN
•   Ibu baru dilayan seperti bayi
•   Tidak dibenarkan bergerak dengan banyak
•   Pemakanan yang sihat

Amalan berpantang Jepun dipanggil ansei yang bermaksud ‘tenang dan manja’’. Di sini, ibu baharu akan dilayan seperti bayi, di mana ibu hanya perlu berehat di atas katil tanpa melakukan apa-apa selama kira-kira tiga minggu. Seperti kebanyakan negara Asian lain, ibu-ibu di Jepun jarang mendapat penyakit rahim dan histerektomi pada pertengahan usia, berbanding wanita di negara Barat. Hal ini adalah kerana penjagaan semasa berpantang yang cukup rapi, yang memastikan ibu bersalin mendapat rehat yang secukupnya termasuklah dari segi penjagaan rahim selepas bersalin. Mengenai bab makan pula, masyarakat Jepun memang dikenali dengan pengamalan makanannya yang sihat, dan ini termasuklah bagi ibu baru.

KOREA
•   Perlu sentiasa berada di bilik yang bersuhu panas sedikit
•   Tidak dibenarkan keluar dari rumah
•   Sup rumpai laut tiga kali sehari

Ibu baharu di Korea yang mematuhi cara tradisional amalan berpantang perlu berada di dalam bilik yang panas selepas bersalin (sudah tentu penghawa dingin juga tidak akan dipasangkan!). Malah, ibu juga tidak dibenarkan untuk berjalan kaki dan memakai pakaian yang pendek, kerana tubuh perlu sentiasa dipanaskan. Mereka juga tidak dibenarkan mandi dalam tempoh sekurang-kurangnnya seminggu selepas bersalin. Yang paling penting, mereka tidak dibenarkan melangkah keluar dari rumah. Satu-satunya minuman yang boleh diminum oleh ibu baru di Korea ialah minuman/air panas, Selain itu, si ibu juga akan dihidangkan semangkuk besar sup rumpai laut tiga kali sehari, yang dipercayai dapat membersihkan darah, menyucikan tubuh ibu dan membantu mengecutkan rahim serta merangsang pengeluaran susu badan.

CHINA
•   Rehat secukup-cukupnya (sebulan)
•   Tidak digalakkan mencuci rambut untuk sebulan
•   Tidak boleh mengambil makanan yang bersifat sejuk

Masyarakat negara Cina mengikuti amalan berpantang yang dipanggil Zuoyuezi yang bermaksud ‘bulan berehat’. Mengikut amalan ini, wanita lepas bersalin tidak boleh terdedah kepada tempat sejuk dan perlu berada di tempat yang lebih panas sepanjang masa. Malah, wanita Cina yang mengikuti tradisi ini juga tidak boleh mandi selama sebulan!

Ibu baharu juga ditegah untuk keluar dari rumah semasa tempoh berpantang dan digalakkan untuk mematuhi amalan pemakanan sup panas dan mengelakkan makanan serta minuman yang bersifat sejuk.

BELANDA (The Netherlands)
•   Ramai yang bersalin di rumah
•   Dijaga oleh jururawat materniti selama lapan hingga 10 hari

Di Netherlands, ramai ibu yang bersalin di rumah akan tinggal bersama jururawat materniti yang dilatih khas selama lapan hingga 10 hari. Jururawat tersebut akan melaporkan kepada bidan dan memberitahu perkembangan ibu. Selain itu, jururawat ini juga akan memasak dan menjaga bayi serta anak yang lain. Samalah tugasnya seperti doula.

AMERIKA LATIN
•   Dikuarantin selama 40 hari
•   Dibantu oleh saudara mara
•   Penjagaan dan pantang bertujuan untuk mengelak daripada masalah seperti sakit kepala kronik

Wanita yang menjalani amalan tradisi berpantang di negara Amerika Latin seperti Dominican Republic dan Mexico akan melalui tempoh yang dipanggil ‘la cuarentena’ yang bermaksud kuarantin. Tempoh ini berlangsung selama 40 hari, di mana ia dikatakan tempoh yang cukup untuk rahim ibu kembali pulih seperti normal. Saudara-mara ibu baharu akan mengambil alih kerja memasak, membersihkan rumah dan menjaga anak-anak yang lain. Hubungan intim, makanan pedas, dan mencuci rambut adalah dilarang sama sekali. Amalan ini dipercayai dapat memastikan ibu sihat walaupun bersalin pada umur yang lebih tua dan mengelakkan ibu mengalami masalah sakit kepala yang kronik.


Tahukah Anda?
Amerika Syarikat merupakan salah satu negara maju yang tidak mempunyai program cuti bergaji. Berlainan cerita pula dengan negara Sweden, di mana ibu dan juga bapa baru layak menerima 48 minggu cuti bergaji selepas mendapat kelahiran bayi mereka. Di UK, mereka mendapat 38 minggu manakala di Russia, 28 minggu (cuti bergaji). Malaysia dan negara India juga tidak ketinggalan menawarkan cuti bergaji selama 12 minggu kepada ibu baru.


 

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.