Apa yang Bayi Anda Boleh Pelajari di Alam Rahim?

Bila pembelajaran seseorang itu bermula? Sudah tentu ramai ibu bapa yang berpendapat bahawa tempoh pembelajaran akan bermula sejak lahir, iaitu sewaktu bayi lagi. Realitinya, bayi belajar lebih daripada apa yang kita jangkakan semasa mereka masih berada di dalam kandungan.

Sejak bertahun-tahun dahulu, para doktor mengandaikan bahawa bayi yang ada dalam perut tidak mengetahui tentang dunia luar. Namun, kebelakangan ini kajian yang dilakukan mendapati bahawa bayi yang sudah dilahirkan mengingati apa yang berlaku semasa dia masih di dalam rahim. Pada hari ini, ramai pakar yang sedar bahawa bayi sudah mula berhubung dengan derianya semasa mereka dalam kandungan lagi. Sewaktu pertama kali mengendong bayi, kita membayangkan mereka ini seperti kain putih dalam kehidupan, namun sebenarnya, mereka ini telah kita bentuk sejak di alam rahim. Justeru itu, apa perkara yang bayi dalam kandungan anda boleh pelajari?

Kelunakan suara ibu
Pertama sekali, janin atau bayi dalam kandungan akan mengingati suara ibunya sendiri. Suara ibu paling mudah untuk diserap oleh bayi kerana itu yang paling dekat dengannya. Sebab itulah, ramai ibu hamil yang terbiasa untuk memegang perut mereka sendiri dan bercakap-cakap dengan bayi. Semasa usia kandungan tujuh ke lapan bulan, ibu akan merasai perbezaan apabila bercakap dengan bayi di mana kadar degupan jantung bayi akan perlahan sedikit, menunjukkan bahawa suara ibu memberi kesan yang menenangkan buat si manja. Selepas lahir pula, bayi akan mengenali suara ibunya dan lebih senang mendengar suara ibunya sendiri berbanding orang lain.


Semasa dalam uterus atau rahim, bayi boleh mendengar suara, bunyi perut dan degupan jantung ibunya malah sesekali bunyi sedu dan sendawa. Bayi juga boleh mendengar bunyi bising di luar seperti bunyi radio atau bunyi di pawagam semasa ibu menonton wayang. Bayi akan bertindak balas apabila mendengar bunyi dengan cara menendang perut ibunya ataupun bergerak di dalam perut.


Irama lagu
Selain suara ibu, bayi yang sudah biasa didendangkan dengan bacaan ayat suci, zikir atau lagu akan dapat mengenali alunan tersebut apabila lahir. Walau bagaimanapun, tidak semua bayi dapat mengenali bait-bait kata pada bunyi tersebut, hanya mengenali irama yang dialunkan. Jika anda terbiasa membacakan buku dengan nada yang kuat pada kandungan anda, tidak mustahil juga si manja akan dapat menyerap sesuatu daripada buku tersebut.

Melihat cahaya
Bayi dalam kandungan juga boleh mengesan jika cahaya disuluh ke arah perut ibu. Semasa melakukan gelombang ultrasonik, anda akan dapat lihat bayi dalam kandungan mengerdipkan mata mereka bagi berlatih untuk kehidupan di luar rahim.

Mengenali rasa
Apa yang ibu makan, bayi dalam perut juga akan merasainya. Deria rasa pada janin akan berkembang sekitar usia kandungan tujuh atau lapan minggu, dan masuk ke minggu-14, bayi sudah dapat mengenali rasa manis, masam, ataupun pahit pada cecair amniotik mereka. Ujian gelombang ultrasonik juga menunjukkan bahawa sesetengah janin akan menjilat plasenta dan dinding rahim. Kajian juga menunjukkan bahawa rasa dan aroma makanan yang sering diambil oleh ibu semasa hamil akan mempengaruhi rasa kegemaran bayi selepas dilahirkan.

Bau ibu
Bayi dalam kandungan bukan sahaja boleh mengenali rasa makanan, sebaliknya mereka juga boleh mengenal bau. Semasa lahir, cecair amniotik yang ada pada bayi akan mengandungi bau kunyit, bawang putih dan rempah lain yang ibu ambil semasa sedang hamil. Malah, cecair amniotik yang ditelan dan dihidu oleh si manja ini turut mengandungi bau ibu. Begitulah caranya si manja dapat mengenali bau ibu mereka.


Tahukah Anda?
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa jika seseorang ibu itu membasuh sebelah bahagian payudaranya selepas bersalin, maka bayi mereka akan memilih untuk menyusu pada sebelah bahagian payudara lagi yang belum dibasuh. Justeru itu, sesetengah doktor akan menyarankan ibu baharu untuk tidak mandi sebelum memberi susuan pertama pada bayi mereka- tujuannya adalah supaya si manja dapat mengenali aroma semula jadi ibu mereka bagi merangsang penyusuan.


Janin boleh bermimpi?
Melalui ujian gelombang ultrasonik, pakar menemui bukti bahawa bayi dalam usia kandungan sekitar 32 hingga 36 minggu, melalui pengalaman tidur gerakan mata cepat (REM), yang mana dikaitkan dengan bermimpi. Tiada yang tahu adakah benar si manja bermimpi memandangkan kita tidak boleh memantau gelombang otak mereka. Namun, doktor percaya bahawa ianya tidak mustahil berlaku.

Bukan itu sahaja, corak tidur bayi anda nanti juga akan lebih kurang sama seperti semasa mereka masih di dalam kandungan. Semasa dalam rahim, mereka akan melalui banyak masa tidur REM, dalam suasana yang senyap dan lena di mana tiada gerakan mata.

Bersedia untuk dunia luar
Semasa dalam rahim, bayi akan meneroka keupayaan mereka. Seawal usia 20 minggu kandungan, bayi akan mula bertindak balas dengan apa yang ada di sekeliling mereka. Semasa masuk trimester ketiga, mereka akan menghiburkan diri di dalam rahim dengan cara menghisap jari dan bermain dengan tangan. Bayi anda juga akan menerokai alam rahim dengan ‘berjalan’ dan menolak dinding rahim menggunakan kaki mereka. Malah, mereka juga akan berlatih untuk bernafas. Kesemua perbuatan ini membantu mengembangkan refleks penting yang diperlukan selepas mereka lahir.

Doktor juga percaya bahawa dengan melakukan tolakan pada dinding rahim dapat membantu janin mengembangkan keupayaan mereka untuk mencari payudara ibu mereka bagi proses penyusuan selepas lahir nanti.

Jadi, ibu bapa mulakan rangsangan pada bayi anda sewaktu dalam kandungan lagi bagi membantunya berkembang dan menyesuaikan diri semasa lahir.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.