Apa yang Si Manja Perlukan dalam Diet Mereka?

Makronutrien; protein, lemak dan karbohidrat merupakan tiga nutrien penting yang diperlukan oleh setiap orang. Malah, nutrien ini amat penting untuk beberapa tahun pertama perkembangan bayi dan kanak-kanak.

Makronutrien adalah penting dalam membekalkan tenaga kepada seluruh tubuh manusia. Malah, ia juga merupakan nutrien yang amat diperlukan dalam tumbesaran dan perkembangan anak kecil. Ibu bapa perlu memberi perhatian kepada pemberian makronutrien ini, bersama vitamin dan mineral lain apabila merancang pemakanan sihat si kecil.

Kuasa Protein
Apabila menyebut tentang tisu tubuh dan pembinaan otot, automatik anda akan kaitkan dengan protein. Protein juga diperlukan untuk memulih tisu yang rosak. Anak kecil akan mengalami tumbesaran yang pesat, disebabkan itulah protein merupakan komponen penting dalam diet kanak-kanak. Bayi mendapat keperluan protein melalui susu ibu sementara anak kecil mendapat protein melalui pelbagai jenis makanan seperti daging, kacang, keju, susu dan telur. Walau bagaimanapun, pengambilan protein yang berlebihan daripada dos yang sepatutnya adalah tidak disarankan. Protein berlebihan dalam diet kanak-kanak boleh merosakkan buah pinggang dan juga menyebabkan dehidrasi.

Lemak – Kawan @ Lawan
Lemak adalah komponen yang penting dalam sebahagian besar keperluan diet sihat bayi iaitu sehingga 50 peratus daripada keperluan kalori si kecil! Keperluan ini akan menurun kepada 30-40 peratus bagi bayi yang berusia setahun ke atas sehingga usia kanak-kanak empat ke lima tahun.
Memenuhi keperluan lemak pada tahun pertama kelahiran bayi adalah mudah kerana susu ibu mengandungi amaun lemak secukupnya. Sebagai sebahagian penting dalam pemakanan si manja, lemak amat baik dalam perkembangan minda dan berfungsi sebagai sumber tenaga. Bayi dan anak kecil juga tidak perlu mengambil banyak makanan yang mengandungi lemak bagi memenuhi keperluan ini. Sumber lemak terbaik untuk bayi dan anak kecil ialah avokado, susu, keju dan yogurt.

Karbohidrat Kompleks
Karbohidrat adalah sumber tenaga utama untuk otot, otak dan sistem saraf. Karbohidrat boleh ditemui dalam kebanyakan makanan. Ia juga terbahagi kepada dua kategori iaitu karbohidrat kompleks dan karbohidrat ringkas, juga masing-masing dikenali sebagai karbohidrat baik dan karbohidrat jahat. Makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks termasuklah buah-buahan, sayur-sayuran, produk tenusu dan bijirin penuh. Sementara, karbohidrat ringkas pula seperti gula pasir, gula syrup, makanan bergula seperti kek dan biskut, manisan dan sebagainya. Kekurangan karbohidrat kompleks dalam diet boleh mengganggu proses tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.

Suplemen: Perlukah Beri Pada Anak-Anak?
Suplemen diperbuat untuk melengkapkan nutrien dalam tubuh, bukannya sebagai pengganti kepada diet. Kanak-kanak yang tidak mengamalkan pemakanan yang betul perlu diajar untuk menangani tabiat pemakanan mereka. Lazimnya, kanak-kanak yang cerewet makan akan berhadapan dengan masalah kurang nutrisi dalam badan.

Begitu juga keadaannya apabila ibu bapa terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk menyediakan makanan anak. Dalam situasi ini, ibu bapa akan mengambil jalan mudah dengan memilih makanan segera untuk disediakan kepada anak mereka. Disebabkan itulah, ibu bapa zaman sekarang memilih untuk memberikan anak mereka makanan tambahan atau suplemen bagi membantu anak mendapat nutrisi harian secukupnya.

Dalam memilih suplemen yang diperakui oleh Kementerian Kesihatan, ibu bapa juga perlu sedar bahawa pemberian suplemen hanya diberikan mengikut keperluan pemakanan anak. Jadi, cara terbaik adalah dengan mematuhi arahan yang ada pada label atau meminta nasihat daripada pakar pediatrik atau dietitian.

Adakah Anak Saya Perlukan Multivitamin?
Suplemen dapat membantu bagi memastikan kanak-kanak mendapatkan sokongan nutrisi yang mereka perlukan untuk membesar dengan sihat dan kuat. Suplemen seperti multivitamin juga dapat membantu anak anda untuk mengurangkan risiko penyakit dan jangkitan selain membolehkan mereka cepat sembuh dari penyakit. Terdapat pelbagai jenis suplemen kesihatan yang dijual untuk kanak-kanak. Kesemuanya menawarkan fungsi yang berbeza mengikut jenis vitamin.

Sesetengah kanak-kanak tidak memerlukan multivitamin, namun anak anda perlu diberikan suplemen ini jika dia:

  • Tidak berkembang mental dan fizikal
  • Mempunyai penyakit kronik atau alergi makan
  • Mengamalkan diet terhad (vegan)

Suplemen multivitamin untuk bayi dan anak kecil biasanya ditawarkan dalam bentuk syrup. Suplemen ini dipek dengan kesemua vitamin dan mineral penting yang diperlukan untuk keperluan harian si kecil. Memandangkan anak anda biasanya akan mendapat vitamin B, vitamin D, kalsium dan zat besi daripada makanan harian mereka (susu, bijirin dan jus oren), jadi anda perlu memilih multivitamin yang tidak mengandungi 100% Nilai Harian vitamin dan mineral yang diperlukan oleh si manja anda.

Tiada Masalah Perut Dengan Probiotik
Probiotik adalah bakteria hidup yang terdapat pada sesetengah makanan atau suplemen yang menyumbang pelbagai manfaat kesihatan kepada manusia, termasuk juga kanak-kanak. Pengambilan probiotik dapat meningkatkan jumlah bakteria baik dalam usus. Kanak-kanak yang mengambil probiotik sejak awal akan mendapat kesan yang lebih baik, berbanding dengan mereka yang mula mengambilnya apabila sudah besar.

Suplemen probiotik dalam bentuk serbuk adalah ideal diberikan kepada anak dengan hanya mencampurkan pada jus atau bijirin anak anda. Bayi dan kanak-kanak yang mengalami masalah cirit-birit atau muntah kerana masalah perut juga akan mendapat manfaat melalui
pengambilan probiotik.


Info
Probiotik semula jadi boleh didapati daripada makanan seperti tenusu, gandum, bawang dan asparagus.


Angka
Bayi dan kanak-kanak memerlukan 400 Unit Antarabangsa (IU) vitamin D sehari.


Suplemen Kunyah Atau Syrup?
Anak kecil yang sudah tumbuh gigi mungkin tidak mempunyai masalah untuk makan suplemen yang memerlukan mereka menghisap atau mengunyah, terutama jika suplemen tersebut mempunyai rasa buah-buahan yang digemari oleh kebanyakan kanak-kanak. Sementara itu, bayi dan anak kecil yang masih belum pandai menghisap dan mengunyah boleh diberikan suplemen dalam bentuk syrup yang banyak dijual di pasaran. Sentiasa periksa dos yang disarankan sebelum memberi anak anda suplemen.


Vitamin D Untuk Tulang Yang Kuat
Selama ini, ibu bapa percaya yang anak mereka boleh mendapat vitamin D melalui susu ataupun cahaya matahari. Namun, kajian terbaharu mendapati bahawa ramai kanak-kanak tidak mendapat vitamin ini secukupnya. Golongan yang kurang vitamin D berisiko mendapat riket, iaitu penyakit tulang kerana badan kurang keupayaan untuk menyerap kalsium dan fosforus yang diperlukan untuk menguatkan tulang. Malah, bayi yang menyusu badan secara eksklusif juga digalakkan untuk mengambil suplemen vitamin D.

Vitamin C
Setiap isi rumah perlu ada suplemen vitamin C kerana vitamin yang dikenali sebagai asid absorbik ini merupakan antioksidan penting yang membantu mempercepatkan pemulihan tubuh dan menguatkan sistem imun badan. Tingkatkan imuniti tubuh anak anda daripada penyakit dengan mengambil satu dos vitamin C sehari. Anda boleh juga memberikan vitamin C yang boleh dihisap kepada kanak-kanak yang sudah boleh mengunyah. Walau bagaimanapun, minta pendapat doktor anda sebelum memberikan sebarang vitamin kepada anak.

Minyak Ikan
Minyak ikan adalah bagus untuk kanak-kanak kerana dapat melindungi penyakit jantung dan merendahkan risiko perkembangan arthritis. Minyak ikan juga mengandungi asid lemak Omega-3 yang mana tidak boleh dihasilkan sendiri oleh tubuh kita. Kekurangan asid lemak ini dalam tubuh kanak-kanak boleh menyebabkan simptom seperti kulit kering, kelemumur, kelupas kuku dan rendah tahap tenaga.

 

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.