Atasi Kesakitan Bersalin

Kesakitan semasa bersalin adalah salah satu perkara yang merisaukan ramai wanita hamil. Hal ini kerana sakit semasa hendak bersalin yang diibaratkan seperti nyawa di hujung tanduk, akan dirasai oleh kebanyakan ibu.

Sakit bersalin bagi setiap wanita tidak sama. Walaupun ramai ibu yang mengaitkan sakit bersalin sebagai pengalaman yang paling menyakitkan dalam hidup seseorang, namun ianya adalah berbeza bagi setiap wanita dan juga berbeza mengikut kehamilan. Setiap ibu akan merasai sakit bersalin tetapi ada caranya untuk anda menangani kesakitan semasa melahirkan anak. Perancangan yang betul merupakan cara terbaik untuk memastikan anda bertenang dan boleh menangani kesakitan tersebut apabila tiba masanya.


Sakit semasa bersalin berlaku disebabkan kontraksi otot rahim dan tekanan pada serviks. Kesakitan ini boleh dirasai pada bahagian abdomen, pangkal paha dan juga belakang badan. Penyebab lain sakit bersalin adalah berpunca daripada tekanan pada pundi kencing dan usus disebabkan kepala bayi serta regangan pada salur peranakan dan faraj.


5 Cara Tangani Sakit Bersalin

1) Relaks
Terdapat banyak cara untuk menangani rasa sakit semasa bersalin. Dan, tidak semestinya anda perlu menggunakan satu cara sahaja. Perkara paling utama yang perlu anda lakukan ialah bertenang. Tarik nafas dalam-dalam setiap kali anda rasa gugup atau gemuruh.

Bukan hanya tubuh anda sahaja yang perlu relaks, bahkan minda juga. Apabila anda rasa sakit, anda akan cepat tertekan, di mana tekanan ini akan membuatkan kesakitan anda bertambah. Jadi, jangan terlalu layan sakit anda. Alihkan kesakitan anda dengan memikirkan perkara yang anda sukai.

2) Tarik nafas
Bagi memupuk rasa tenang, penting untuk anda menumpukan perhatian pada pernafasan anda. Tarik nafas, lepas, tarik nafas dan lepas. Lakukan teknik ini beberapa kali nescaya anda akan rasa lega.

Terpulang pada anda jika ingin menunjukkan rasa sakit dengan menjerit atau sebagainya, namun jangan menjerit terlampau kuat bagi mengelakkan suara anda pecah atau sakit kerongkong.

3) Bergerak
Berjalan, bergoyang, menukar posisi dan duduk serta bergerak di atas bola yoga boleh membantu bakal ibu untuk melegakan kesakitan semasa ingin melahirkan anak. Malah, senaman ini juga dapat membantu melancarkan proses bersalin. Ini kerana dengan menggunakan daya graviti dapat membantu menggalakkan pergerakan dan pusingan bayi ke arah pelvis. Selain itu, anda juga boleh mencuba posisi lain seperti berdiri, mencangkung atau duduk di tepi tilam.

4) Terapi Air
Mandi air suam dapat membantu ibu mengurangkan kesakitan untuk bersalin. Dengan mandi air suam dapat membantu anda bertenang dan juga melegakan kesakitan tubuh anda.

5) Berurut
Anda memerlukan urutan lembut bagi melegakan kesakitan semasa bersalin. Mintalah pasangan anda melakukan urutan kaki, tangan atau beberapa bahagian badan yang anda rasa lenguh. Tujuannya adalah supaya anda tidak terlampau memikirkan rasa sakit yang dialami semasa hendak melahirkan anak. Selain itu, urutan daripada pasangan juga membantu anda menenangkan diri dan sebagai tanda sokongan daripada suami anda.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.