Bahaya Demam Campak

Penjagaan kesihatan ibu semasa hamil perlu dititikberatkan. Jika ibu hamil mendapat penyakit, berkemungkinan ia boleh memberi risiko kepada bayi yang dikandung seperti kelahiran pramatang, keguguran atau bayi yang lahir kurang berat badan. Salah satu penyakit berisiko yang boleh memberi kesan kepada bayi ialah demam campak.

Demam semasa hamil amat merunsingkan bakal ibu. Jika hanya demam biasa mungkin kebimbangan itu masih boleh diatasi, tetapi bagaimana pula jika si ibu mendapat demam campak semasa hamil?

Demam campak atau rubella diketahui merupakan penyakit kanak-kanak yang mudah berjangkit. Namun, penyakit ini bukan sahaja melanda kanak-kanak sebaliknya semua peringkat umur berisiko untuk mendapat demam campak, terutamanya kepada mereka yang tidak mendapat imunisasi.

Gejala awal bagi mereka yang dijangkiti virus campak ialah seperti batuk, hidung berair dan tersumbat, demam, sakit-sakit otot dan tumbuh ruam pada badan.


Tahukah anda?
Tanda-tanda awal demam campak tidak dapat dilihat pada hari pertama atau kedua sebaliknya, ruam pada badan akan mula timbul semasa hari keempat anda telah dijangkiti.


Ibu hamil yang belum mendapatkan vaksinasi campak berisiko untuk dijangkiti virus ini. Awas! Jika anda dijangkiti virus campak semasa usia kandungan di bawah 20 minggu, dan anda masih belum divaksinasi serta tidak pernah lagi dijangkiti campak sebelumnya, maka kandungan anda berada pada tahap yang berisiko. Demam campak pada awal kehamilan boleh membahayakan bayi anda dan mengganggu proses pembentukan fizikal bayi. Kadangkala ia boleh menyebabkan keguguran atau kecacatan yang mempengaruhi otak, telinga dan jantung.

Sementara itu, bagi wanita yang telah hamil tetapi baru menyedari dia masih tidak mendapatkan vaksin rubella, dia perlulah berhati-hati dan mengelakkan diri daripada mereka yang dijangkiti virus tersebut. Antara langkah yang boleh diambil ialah:

  • Pastikan orang seisi rumah anda telah mendapatkan vaksinasi rubella (supaya mereka imun dengan virus tersebut)
  • Elakkan berhubungan dengan orang di kawasan setempat anda jika anda mengetahui terdapat kes demam campak di situ
  • Tangguhkan percutian ke mana-mana tempat/ negara yang berisiko menerima virus rubella

Selepas anda melahirkan bayi anda, pastikan anda mendapatkan suntikan rubella supaya anda tidak perlu risau dijangkiti semasa kehamilan seterusnya. Anda boleh mendapatkan suntikan walaupun anda memberikan anak susu badan.

Jika anda mendapatkan suntikan rubella semasa 12 minggu pertama kehamilan, risiko kandungan anda menghidap sindrom rubella kongenital (CSR) adalah tinggi, iaitu sehingga 85 peratus. Semasa minggu ke-13 hingga minggu ke-16, kadar risiko berada antara 54 peratus. Dan jika anda dijangkiti selepas minggu ke-20, risiko terhadap kandungan semakin mengecil.

Antara masalah yang akan timbul adalah seperti katarak dan kecacatan pada mata dan jantung, pekak dan kerosakan pada otak, hati, paru-paru dan sum-sum tulang.

Bagaimanapun jika anda dijangkiti virus ini, janganlah risau. Berbincanglah dengan doktor anda mengenai ujian-ujian yang boleh dilakukan untuk mengetahui kesan rubella terhadap bayi anda. Lazimnya, jika anda dijangkiti semasa awal kehamilan, doktor akan mengesyorkan anda untuk menjalani ujian imbasan antara minggu ke-18 hingga minggu ke-20 bagi mengetahui keadaan bayi.


Apa perlu buat?

  • Sebelum mencuba untuk hamil, anda boleh memeriksa pelalian terhadap rubella dengan meminta doktor untuk menjalankan ujian darah bagi memastikan perkara itu.
  • Jika anda baru mendapatkan vaksinasi, tunggu selama sebulan sebelum anda cuba untuk hamil.
  • Jika anda telah hamil dan ujian darah menunjukkan anda tidak imun terhadap rubella, jangan lakukan pelalian sehinggalah selepas kelahiran.
About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.