Penyusuan bayi adalah satu proses yang melibatkan keselesaan kedua-dua belah pihak sama ada bayi itu sendiri mahupun si ibu. Ini penting kerana tanpa keselesaan, kejayaan penyusuan bayi tidak akan tercapai.
Bayi bukan sahaja berkemungkinan akan meragam kerana tidak mampu menyusu dalam keadaan selesa, malah si ibu pula berisiko menghidapi tekanan berpunca daripada kesakitan fizikal yang dirasai sepanjang penyusuan.
Mungkin anda telah membaca pelbagai maklumat mengenai kaedah penyusuan yang berkesan. Pelbagai perkara yang ditekankan dalam proses penyusuan bayi. Antaranya, adalah penyusuan secara ekslusif mengikut jangka masa yang disarankan oleh pakar kanak-kanak.
Selain itu, penyusuan yang betul juga berpandukan kepada posisi semasa menyusukan bayi yang perlu dibiasakan bagi setiap ibu. Posisi berkait rapat dengan faktor keselesaan bayi dan ibu ketika menyusu. Salah satu cara untuk mencapai penyusuan bayi yang selesa ialah melalui penggunaan bantal penyusuan.
Fahami Mekanik Tubuh Badan Dan Penyusuan
Berdasarkan nasihat para jururawat yang berpengalaman dalam bidang perbidanan, bayi dan kanak-kanak, salah satu cara untuk mencapai keselesaan sepanjang proses penyusuan ialah dengan memahami tubuh badan sendiri.
Secara ringkasnya, ia melibatkan penyelarasan tubuh badan bagi mengelakkan masalah semasa melakukan sesuatu kerja. Contohnya, rasa lenguh, sengal dan sakit pinggang semasa melalui tempoh penyusuan yang panjang ketika duduk di atas kerusi sofa dan penyusuan bayi semasa berada di dalam kereta.
Mengutamakan Keselamatan Bayi
Kedudukan atau posisi tubuh badan si ibu semasa menyusu menyumbang kepada tahap keselamatan bayi mereka. Posisi yang salah semasa menyusu, contohnya dalam keadaan berbaring boleh mengakibatkan aspirasi, iaitu kemasukan cecair susu ke dalam paru-paru si bayi. Berlaku juga kes di mana didapati bayi mati lemas kerana tersedak susu ketika menyusu. Salah satu puncanya adalah disebabkan ibu yang tertidur semasa menyusukan bayi dalam keadaan berbaring sehingga tidak sedar bayi mereka yang lemas.
Bantal Penyusuan Sebagai Medium Keselesaan
Umum mengetahui bahawa pemilihan bantal yang tepat amat penting bagi memastikan penyelarasan tubuh badan berada di tahap yang maksima. Ini tidak terkecuali dalam pemilihan bantal penyusuan.
Walaupun masih ramai para ibu yang lebih selesa menyusukan bayi mereka tanpa bantuan bantal penyusuan, namun anda seharusnya memanfaatkan penggunaan produk-produk seumpama ini kerana sememangnya ia dicipta untuk kemudahan para wanita yang bergelar ibu terutamanya mereka yang memiliki anak kecil yang masih bayi.
Pemilihan Bantal Penyusuan Bayi
Sesetengah ibu berfikir bahawa penggunaan bantal tidur yang digunakan untuk tidur pada setiap malam sudah memadai untuk menyokong posisi penyusuan bayi. Tahukah anda bahawa terdapat ciri-ciri bantal penyusuan yang harus ditekankan bagi mengelakkan sebarang masalah terhadap keselesaan ibu dan juga bayi semasa menyusu?
Sebagaimana anda ingin mengelakkan kesakitan urat leher ketika tidur dengan memilih bantal tidur yang berkualiti dan selesa, maka kaedah yang sama juga perlu dititikberatkan dalam pemilihan bantal penyusuan bayi.
Oleh itu, anda tidak boleh memilih bantal penyusuan yang sembarangan. Sebaliknya, pilihlah ia berdasarkan beberapa huraian ciri-ciri penting seperti berikut.
Bentuk & saiz
Kenal pasti saiz badan bayi anda sebelum memilih bantal penyusuan. Saiz bantal yang sesuai semestinya dapat menyokong keseluruhan saiz badan bayi anda. Anda digalakkan memilih bantal berbentuk separa bulat, bulan sabit, bentuk C atau O di mana ia mempunyai ruang di bahagian tengah. Bahagian ruang tengah ini bertujuan untuk merapatkan bantal tersebut mengelilingi separuh daripada bahagian tubuh si ibu iaitu pada kedudukan bawah payudara atau lebih tepat mengelilingi bahagian pinggul dan sebahagian pinggang.
Dengan itu, bayi boleh berbaring mengiring dengan selesa semasa menyusu. Bentuk bantal ergonomik seumpama ini sekaligus menyokong tulang belakang si ibu supaya sentiasa dalam keadaan tegak ketika sedang duduk sambil menyandarkan badan.
Bantal ergonomik seumpama ini juga memudahkan anda menukar posisi penyusuan ke bahagian sisi. Ini bermakna, kedudukan bayi tidak lagi berada bertepatan di bahagian depan badan anda. Sebaliknya, bayi diletakkan di bahagian sisi sama ada bahagian kanan atau kiri payudara mengikut pilihan keselesaan si ibu.
Ketebalan bantal
Ketebalan bantal juga sebagai penentu bagi memastikan lekapan mulut bayi pada areola berada pada paras yang tepat. Ketepatan ini dianggap sesuai apabila bantal tersebut dapat menyelaraskan kedudukan kepala dan mulut bayi selari dengan payudara ibu. Dagu bayi seharusnya dihalakan lurus ke payudara ibu dan bukan dalam keadaan menunduk atau mendongak ke atas.
Jika bantal penyusuan terlalu nipis, anda boleh melapisinya dengan sebarang bantal sokongan tambahan yang diletakkan di bahagian bawah bantal penyusuan tersebut.
Tali sokongan
Kebiasannya, bantal penyusuan berbentuk ‘O’ mempunyai sokongan tali sama ada tali getah atau jenis strap. Bantal jenis ini lebih selamat digunakan terutama apabila anda perlu bangun dan berdiri dari tempat penyusuan seperti ketika anda hendak berjalan-jalan menuju ke dapur atau menaiki tangga untuk masuk ke bilik tidur.
Sokongan tali bagi bantal penyusuan berbentuk ‘O’ akan memastikan bantal tersebut diikat kemas mengelilingi seluruh bahagian bawah payudara anda termasuk bahagian sisi dan belakang badan. Bantal jenis ini membenarkan anda bebas bergerak ke mana-mana dengan selesa sambil menyusukan bayi. Ia tidak seperti bantal berbentuk C atau bulan sabit yang hanya sesuai digunakan dalam posisi duduk.
Poket simpanan
Sesetengah pengeluar menyediakan nilai tambah ke atas bantal penyusuan seperti kemudahan poket simpanan. Semasa menyusukan bayi, seringkali anda terlupa dan tercari-cari di mana tempat letak kain muntah bayi atau botol krim penyusuan.
Dengan adanya ciri tambahan seperti poket, anda boleh menyimpan beberapa barangan bersaiz kecil termasuk telefon bimbit. Kemudahan poket ini mampu memastikan beberapa barangan penting sama ada untuk bayi atau diri anda sentiasa berada dalam simpanan yang selamat.
Mudah dibersihkan
Semasa menyusukan bayi, perkara-perkara seperti kejadian susu tumpah dan jeluak bayi sukar dielakkan. Masalah ini akan berlaku hampir setiap hari kepada anda dan bayi. Sudah pasti kekotoran yang melekat ini tidak dibiarkan dan anda ingin membersihkannya setiap hari.
Oleh itu, amat penting bagi anda untuk memilih bantal yang mudah dibersihkan. Bantal penyusuan yang mempunyai sarung bahagian luar yang boleh ditanggalkan akan memudahkan tugasan cucian harian anda.
Sesetengah bantal penyusuan hanya membenarkan cucian tangan. Jika anda merasakan cucian tangan terlalu melecehkan, memenatkan dan menuntut masa cucian yang panjang, pilih sahaja bantal penyusuan yang membenarkan cucian dan pengeringan mesin elektrik. Dengan itu, anda mampu menjimatkan tenaga dan masa yang berharga.
Corak & warna menceriakan
Sebagai wanita, anda tentu berminat dengan warna-warni serta corak sarung bantal yang selesa dipandang serta menampilkan ciri-ciri keceriaan. Pemilihan warna dan corak ini bergantung kepada tema yang anda inginkan.
Tema corak seperti lukisan haiwan, kartun, bintang dan sebagainya sudah tentu lebih sesuai untuk seorang bayi yang masih kecil. Tetapi jika anda sememangnya berminat dengan warna-warna tertentu, maka tidak salah sekiranya anda memilih berdasarkan warna kegemaran anda sendiri tanpa sebarang lukisan corak padanya. Ianya lebih ringkas, malah lebih mudah untuk anda mengesan sisa kotoran yang melekat pada bantal penyusuan.
Kualiti
Akhir sekali, pastikan anda tidak lupa untuk meletakkan kualiti sebagai keutamaan sebelum membeli. Walaupun bantal penyusuan berkualiti agak mahal dari segi harganya di pasaran, namun ia dapat menjamin keselamatan, keselesaan dan penggunaan untuk tempoh masa yang lebih panjang.
Penggunaan bantal penyusuan secara harian pasti akan menyebabkan kekabu atau kapas dalam produk yang berkualiti rendah menjadi tidak lagi serata seperti ketika ia masih baru. Sudah semestinya ini akan menyebabkan rasa ketidakselesaan kepada tubuh si kecil.
Oleh itu, jangan abaikan aspek kualiti hanya kerana anda ingin menjimatkan wang. Keselesaan ibu dan bayi seharusnya menjadi keutamaan dalam pemilihan bantal penyusuan yang berkualiti tinggi.
Featured image source: www.walmart.com