Bantulah Si-Manja Anda Cerai Lampin

Setiap kanak-kanak mengalami perkembangan yang berbeza dalam kehidupan mereka. Perkembangan kanak-kanak juga merujuk kepada kemahiran-kemahiran yang dicapainya. Antara perkembangan awal bayi dan kanak-kanak adalah perihal bercerai lampin. Bilakah waktu yang sesuai untuk anak anda bercerai lampin? Apakah teknik-teknik bagi membantu kanak-kanak bercerai lampin? Ketahuilah bersama.

Bercerai lampin atau potty training adalah salah satu pencapaian terawal kanak-kanak dalam peringkat perkembangan mereka. Ia adalah proses di mana kanak-kanak tidak lagi perlu memakai lampin tidak kiralah lampin pakai buang mahupun lampin kain.

Kebanyakan ibu bapa bimbang apabila melihat anak mereka masih lagi bergantung kepada lampin dan tiada tanda-tanda untuk menggunakan tandas. Dalam hal ini sebenarnya, ibu bapa sendiri perlu membantu kanak-kanak berlatih menggunakan tandas, lalu, dengan perlahan-lahan, berhenti bergantung kepada pemakaian lampin mereka.

Kebanyakan ibu bapa bertanya bilakah waktu yang sesuai untuk anak mereka mula bercerai lampin? Sebenarnya, tiada had umur untuk setiap kanak-kanak bercerai lampin tetapi pakar menasihatkan proses ini perlu dilatih seawal mungkin, supaya memudahkan semua pihak apabila si kecil itu melangkah ke pusat pengayaan, playschool, atau prasekolah.

Adakah masa penentu kejayaan?
Kejayaan bercerai lampin adalah bergantung kepada kesediaan fizikal dan emosi anak anda bukannya tentang had umur berapakah mereka perlu bercerai lampin. Ada kanak-kanak yang mula menunjukkan kesediaan mereka untuk tidak menggunakan lampin pada usia kurang 2 tahun, tetapi ada juga yang masih belum bersedia.

Jika anda mula melatih anak anda seawal usia mereka tetapi anak anda masih belum bersedia, berkemungkinan anda perlu memberikan sedikit lagi masa.

  • Adakah anak anda bersedia? Tanya diri anda soalan-soalan berikut:
  • Adakah anak anda menunjukkan minat untuk ke tandas atau menggunakan kerusi tandas yang dibelikan untuk mereka?
  • Adakah anak anda sudah mahu belajar memakai seluar dalam?
  • Bolehkah anak anda faham dan mengikuti arahan asas?
  • Adakah anak anda sudah tahu memberitahu anda jika mereka ingin membuang air?
  • Adakah anak anda kekal bersih (tanpa membuang air) selama lebih dua jam?
  • Adakah anak anda sudah pandai mengadu lampinnya kotor atau basah?
  • Bolehkah anak anda menanggalkan seluar dan memakai seluar sendiri?
  • Bolehkah anak anda duduk di atas tandas mini mereka?

Jika kebanyakan jawapan anda ‘ya’ , anak anda mungkin sudah bersedia untuk bercerai lampin. Jika kebanyakan jawapan anda ‘tidak’, anda mungkin memerlukan masa untuk melatih anak anda ke tandas.

Mulakan dengan menonjolkan sikap positif untuk mendidik mereka bercerai lampin seperti menyediakan tandas mini yang sesuai untuk mereka, menunjukkan mereka cara menggunakan tandas, membelikan mereka tandas mudah alih yang boleh dibawa ke mana-mana, membantu anak anda jika mereka memberitahu ingin membuang air, memuji mereka jika berjaya menggunakan tandas dan mengurangkan penggunaan lampin serta mengajar memakai seluar dalam. Semoga usaha anda berhasil!


Source featured image: www.howtopottytrain.com

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.