Bengkak Kaki Semasa Hamil

Kehamilan itu indah, namun terdapat juga beberapa simptom kehamilan yang agak menyusahkan dan juga tidak selesa. Salah satu daripadanya ialah gejala bengkak kaki, yang sering dihadapi oleh wanita hamil, terutama sekali pada trimester ke tiga. Keadaan ini dikenali sebagai edema.

Edema berlaku kepada wanita hamil kerana ketika itu badan menghasilkan kira-kira 50 peratus lebih darah dan cecair badan bagi memenuhi keperluan bayi yang sedang berkembang. Kira-kira 50 hingga 80 peratus wanita hamil mengalami masalah ini. Keadaan perut yang semakin membesar semasa trimester terakhir memberikan banyak tekanan kepada aliran darah dari bahagian bawah badan ke atas.

Gejala ini boleh berlaku kepada mana-mana ibu hamil, namun ia lebih cenderung berlaku apabila si ibu duduk terlalu lama tanpa menggerakkan kaki, seperti mereka yang bekerja duduk menghadap komputer atau pun ketika melalui perjalanan yang jauh di dalam kenderaan. Akibat kurang pergerakan, cecair tambahan yang dikatakan tadi akan terkumpul di bahagian kaki sekali gus menyebabkan kaki membengkak.

Selain daripada kurang pergerakan, bengkak pada kaki juga disebabkan oleh faktor seperti berdiri terlalu lama, dan juga akibat kurang kalium (potassium). Mengambil minuman berkafein terlalu banyak juga boleh menyebabkan gejala kaki bengkak, begitu juga dengan makanan yang mengandungi natrium (sodium) terlalu banyak.

Langkah-langkah pencegahan
Petua 1: Makan makanan yang tinggi kalium
Amalan pemakanan yang betul dapat membantu wanita hamil mengurangkan masalah edema. Pengambilan makanan yang mengandungi kalium dapat membantu anda menyelenggarakan kesihatan sistem saraf dan otot.

Contoh makanan yang mengandungi kalium tinggi ialah pisang, bayam, tomato, daging, susu dan kekacang. Elakkan daripada memakan makanan yang tinggi kandungan sodium dan garam seperti kacang, makanan masin, jeruk, telur masin dan juga ikan kering untuk ketika ini.

Lunjurkan kaki
Pada waktu senggang atau ketika anda sedang berehat menonton televisyen, lunjurkan kaki anda pada paras yang sama dengan punggung anda bagi membantu melancarkan peredaran darah. Semasa di tempat kerja, letakkan bangku kecil atau kotak di hadapan kaki supaya senang untuk anda melunjurkan kaki.

Jika waktu kerja anda memerlukan anda duduk sepanjang hari, pastikan ada waktu rehat untuk anda bangun dari tempat duduk dan berjalan-jalan. Setidak-tidaknya anda luruskan kaki sambil meregang serta melenturkan jari-jari kaki. Pastikan darah dalam badan anda sentiasa bergerak.

Selain itu, sesekali lakukan urutan pada kaki dengan menggunakan minyak angin atau minyak panas yang lain seperti minyak pati pudina bagi mengurangkan bengkak. Elakkan bersilang kaki semasa duduk.


Awas simptom yang hampir serupa
Masalah edema adalah normal jika anda hanya mengalami bengkak ringan. Bagaimanapun, jika anda mengalami tanda-tanda seperti di bawah, anda perlu segera berjumpa dengan doktor anda kerana ia adalah tanda pre-eklampsia.

  • Mengalami bengkak di tangan dan muka secara tiba-tiba
  • Hanya bahagian sebelah kaki yang bengkak

Alas kaki dengan bantal
Sewaktu tidur, cubalah berbaring dalam keadaan mengiring ke kiri bagi mengurangkan tekanan pada vena kava bawah. Jika anda tidur secara terlentang, ia akan memberi tekanan tambahan kepada vena anda. Alaskan bantal pada kaki anda supaya kaki terletak tinggi bagi mengelakkan dan mencegah darah terkumpul. Anda juga boleh meletakkan bantal pada bahagian punggung anda sewaktu tidur mengiring.

Image source: Adobe Stock

Pakai stokin sokongan semasa tidur
Selain daripada menggunakan bantal, anda juga boleh memakai seluar stokin sokongan (support tights) sebelum tidur dan menanggalkannya pada waktu pagi supaya darah tidak terkumpul di sekeliling buku lali anda. Jika masih mengalami kaki bengkak, tanyalah doktor mengenai stoking tekanan yang juga dijual di farmasi.

Lakukan senaman
Jangan biarkan kaki anda statik tanpa pergerakan. Luangkan masa untuk bersenam setiap hari, paling mudah lakukan aktiviti berjalan. Aktiviti berjalan di dalam air juga dapat membantu anda selain daripada berenang. Anda juga boleh melakukan senaman ringan lain yang dibenarkan untuk wanita hamil.

Beri perhatian kepada jenis kasut yang anda pakai
Pilihan kasut juga mampu menjadi punca masalah bengkak pada kaki. Elakkan daripada memakai kasut bertumit tinggi dan pakaian yang ketat sehingga mengganggu peredaran darah pada pergelangan tangan, buku lali atau kaki.

Tuam ais di kawasan bengkak
Jika bengkak masih tidak surut, cuba menuam ais pada kawasan yang bengkak. Selain itu, anda juga boleh merendam kaki yang bengkak ke dalam air suam yang bercampur garam selama 10 hingga 15 minit. Rendaman ini juga baik bagi mengurangkan lenguh pada kaki anda.

Dapatkan nasihat doktor
Dapatkan nasihat doktor jika bengkak kaki berlarutan atau semakin teruk. Walaupun gejala bengkak kaki ini sementara sahaja, ia tidak patut dibiarkan begitu sahaja, kerana ia mungkin menjejaskan kualiti hidup anda.


Featured image: Adobe Stock

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.