Ramai wanita yang gerun untuk mula melakukan hubungan intim bersama suami selepas bersalin. Mana tidaknya, ibu baharu tentu teragak-agak bersama suami kerana memikirkan luka jahitan bersalin pada bahagian intim mereka dan juga takut jika ‘lekat’.
Hubungan intim selepas bersalin
Selepas bersalin, anda akan mengalami beberapa perubahan pada tubuh. Antara perubahan yang ramai ibu baharu takuti adalah sewaktu mula-mula untuk bersama dengan suami. Ada ibu yang takut jika luka jahitan episiotomi masih belum pulih dan ada juga yang takut jika hubungan intim tidak lagi semekar seperti sebelum bersalin. Disebabkan itulah, ramai ibu baharu yang tertanya-tanya bilakah waktu yang sesuai untuk mereka mula bersama dengan suami.
Ada yang mengambil masa berminggu-minggu dan berbulan-bulan untuk bersedia. Usah tertekan atau risau dan merasakan diri anda tidak normal, jika anda masih belum mampu untuk bersama dengan suami. Justeru, inilah pentingnya tempoh berpantang supaya tubuh anda benar-benar pulih dan bersedia dari setiap sudut.
Berapa lama tempoh berpantang?
Bukan semua ibu baharu dapat melawan godaan untuk berpantang 100 hari. Ada yang hanya berpantang 44 hari dan ada juga yang dapat bertahan selama 60 hari sahaja. Kenali badan anda untuk mengetahui bilakah tanda bahawa tubuh sudah bersedia, atau anda mungkin boleh mendapatkan nasihat pakar tentang perkara ini.
Tempoh berpantang adalah berbeza mengikut individu dan tradisi masyarakat. Ada yang mampu menepati tempoh berpantang dan ada juga yang tidak tahan melalui tempoh ini. Para ibu digalakkan untuk ‘berpuasa’ daripada bersama dengan suami sepanjang tempoh berpantang bagi memastikan luka benar-benar sembuh dan rahim kembali mengecut kepada saiz asal.
Bagaimanapun, bagi yang sudah bersedia, anda tidak perlu menunggu sehingga 100 hari untuk memulakan hubungan intim. Namun, anda disarankan untuk memastikan sehingga darah nifas anda benar-benar kering (lazimnya mengambil masa selama dua minggu atau mungkin lebih lama). Hal ini kerana melakukan hubungan seks semasa bahagian intim masih berdarah boleh mendatangkan jangkitan pada alat sulit anda. Bagi orang Islam pula, sudah tentulah perkara ini adalah dilarang dan perlu dipatuhi.
Berbincang
Bagi memastikan hubungan anda kekal mekar, komunikasi dan persefahaman antara pasangan adalah perkara penting yang perlu diikuti. Berbincanglah secara terbuka dengan pasangan anda tentang hal ini.
Tips mekarkan hubungan selepas bersalin
- Minta tolong orang yang rapat dengan anda untuk menjaga bayi supaya anda dapat rehat yang secukupnya. Tubuh anda akan lebih bersedia jika anda cukup rehat.
- Pilih masa ‘bersama’ yang sesuai. Contohnya, semasa bayi tidur atau selepas menyusukan bayi.
- Beritahu pasangan anda tentang apa yang anda rasa mengenai perubahan tubuh selepas bersalin. Dengan cara ini, suami anda akan dapat memahami cara ‘bersama’ yang selamat dan selesa dengan perubahan tubuh anda.
- Mulakan seks dengan bermesra-mesra atau bercumbu-cumbuan. Jangan terus melakukan penetrasi.
- Lakukan hubungan intim di saat anda rasa selesa dan tenang bagi memudahkan anda terangsang.
- Cuba posisi seks yang dapat mengurangkan penetrasi.
Sumber: www.nct.org.uk