Bermain Olok-olok

Ingat lagi tak alam kanak-kanak anda, ketika anda bermain polis-polis, cikgu-cikgu dan doktor-doktor? Mungkin bagi anda, aktiviti ini adalah sesuatu yang biasa. Namun, sebenarnya banyak manfaat yang boleh kanak-kanak dapati melalui aktiviti ini.


Berkongsi
Semasa kanak-kanak bermain bersama-sama rakan, mereka sebenarnya sedang belajar untuk berkongsi mainan, menunggu giliran, bertolak-ansur dan berfikir secara kreatif dalam menyelesaikan masalah.


Aktiviti yang dinamakan main olok-olok ini amat membantu dalam perkembangan kanak-kanak. Sewaktu bermain aktiviti ini, anak anda akan menggunakan objek-objek tertentu untuk mewakili objek lain (seperti membuat pistol menggunakan kayu) dan menggerakkan objek (seperti menggantikan kereta mainan menjadi kapal terbang). Inilah tanda-tanda anak anda sedang menggunakan imaginasi yang sihat.

Dari sudut pandangan orang dewasa, bermain olok-olok hanyalah satu benda yang biasa. Akan tetapi, bagi kanak-kanak pula, aktiviti ini dapat membina kemahiran mereka, yang merupakan salah satu perkembangan penting di alam kanak-kanak, dengan cara berimaginasi dan meletakkan diri mereka menjadi orang lain. Kanak-kanak yang melakukan permainan ini juga, secara tidak langsung sedang bereksperimentasi dengan kehidupan sosial dan emosi mereka.

Meningkatkan Kemahiran Bahasa
Jika anda perhatikan anak anda semasa bermain, dia akan bercakap dengan diri sendiri (jika main berseorangan) atau berinteraksi dengan rakannya. Ketika ini akan keluar perkataan-perkataan baru disebutkan oleh si kecil bersama rakannya. Ada kalanya anda sendiri tidak tahu bahawa si kecil anda sudah bertambah kosa kata. Mungkin perkataan-perkataan ini didapati melalui mulut ibu bapanya, orang sekeliling, televisyen, radio atau melalui guru dan rakan-rakan di sekolah. Secara tabie’nya, kanak-kanak gemar untuk meniru dan bermain olok-olok bagi membantu mereka menguasai bahasa. Melalui mainan olok-olok, si kecil dapat menggunakan perkataan baharu mengikut apa yang mereka lihat atau dengar.

Belajar Tentang Diri Sendiri Dan Dunia Sekeliling
Kanak-kanak yang bermain olok-olok ada kalanya akan bertukar menjadi dramatik, di mana pengalaman ini menyediakan pembelajaran mereka tentang apa yang mereka sukai atau tidak, minat dan keupayaan mereka tentang sesuatu perkara.

Semasa bermain, anak anda akan bereksperimen dan berusaha mengendalikan situasi berdasarkan apa yang mereka perhatikan. Contohnya, lihatlah bagaimana anak anda bermain dengan anak patung atau mainan mereka. Kanak-kanak lazimnya akan mengambil patung tersebut dan melakonkan sesetengah situasi dengan menganggap mereka adalah patung tersebut.

Memupuk Imaginasi
Ibu bapa boleh menjalankan tugas mereka dengan cara memupuk imaginasi dalam diri anak mereka seperti menyediakan peluang untuk kanak-kanak berimaginasi di dalam rumah. Berikut adalah beberapa barang yang boleh membantu kanak-kanak berimaginasi:

  • Bahan yang sesuai untuk membina ‘rumah’ atau ‘bangunan’: Kotak kosong yang besar
  • Bahan untuk bergaya seperti model: Pakaian-pakaian lama, tudung, kain batik lusuh, kasut sukan, topi dan tas tangan
  • Bahan untuk di ‘pejabat’: Telefon mainan, alat tulis, buku, majalah
  • Pelakon: Anak patung, anak patung haiwan, kereta mainan
About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.