Berpantang 44 Hari Vs 100 Hari: Apa bezanya?

Setiap wanita yang melahirkan perlu melalui tempoh berpantang, sekurang-kurangnya bagi wanita Malaysia, tanpa mengira kaum dan latar belakang. Ada yang melalui tempoh 44 hari atau 40 hari, adakalanya sehingga 100 hari. Ramai wanita beranggapan tempoh ini memeritkan.

Ketika berpantang, pelbagai perkara dan makanan yang dilarang. Dari segi kesihatan, berpantang adalah sangat penting bagi ibu selepas bersalin.

Tentu ramai yang mengeluh dan terfikir untuk mengelak daripada berpantang, kan? Sebenarnya kita patut rasa bertuah kerana sungguhpun kita sudah berada di era moden, tradisi berpantang tidak pernah lekang ditelan zaman. Walaupun kurang arif dengan tradisi ini, ibu-ibu moden masih mengamalkannya dengan bantuan orang yang lebih berpengalaman seperti ibu, ibu mertua, bidan, atau pakar kesihatan wanita.

Kenapa Lama Sangat Berpantang?
Berpantang ialah sejenis penjagaan fizikal dan emosi yang rapi untuk kebaikan jangka masa panjang. Sama juga halnya bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan – biasanya kita hanya akan dapat melihat hasil yang efektif apabila telah menjaga disiplin dan pemakanan buat beberapa tempoh tertentu. Malah, menurunkan berat badan terlalu cepat adalah merbahaya dan berisiko tinggi.

Apa Perbezaan Pantang 44 Hari Dengan 100 Hari?
Sebenarnya pantang selepas hari ke-44 adalah lebih fleksibel berbanding dengan awal kelahiran kerana badan wanita telahpun mulai sembuh dan emosi mereka semakin stabil.

Lantaran itu, terdapat beberapa kelonggaran seperti boleh keluar bersiar-siar, membuat kerja-kerja rumah yang ringan, dan menguruskan bayi. Menu harian juga kian kembali normal. Amalan seperti memakai bengkung (kecuali yang menjalani pembedahan) dan bertangas menggunakan herba seperti serai wangi, kunyit dan lada hitam tidak perlu dilakukan setiap masa meskipun ia amat digalakkan. Sementara itu, amalan bertangas boleh diteruskan untuk mengetatkan peranakan dan menghilangkan bau badan.

Sungguhpun begitu, kebanyakan pakar berpendapat bahawa makanan sejuk seperti ais, kangkung, dan bayam masih perlu dielakkan. Pengambilan jamu dan herba-herba panas pula janganlah terus dilupakan. Selain itu, kita dinasihatkan untuk meminimumkan penggunaan penghawa dingin dan elakkan mandi air sejuk.

Sesetengah pendapat popular mengaitkan pantang 100 hari dengan menghindari hubungan intim suami isteri demi menjaga kesihatan dalaman wanita. Sungguhpun belum ada bukti saintifik buat masa ini, teori ini mungkin bersandarkan kepada mood wanita yang masih belum bersedia untuk mengadakan hubungan intim. Kebanyakan mereka juga masih fobia terhadap luka episiotomi.

Kebaikan Pantang 100 Hari

  • Berbanding pantang 44 hari, berpantang selama 100 hari kian relevan berikutan timbulnya bermacam-macam penyakit pada masa sekarang. Antara masalah kesihatan yang mungkin timbul akibat tidak menjaga pantang termasuklah gangguan kencing, sakit pinggang, gangguan hubungan kelamin, dan rahim jatuh.
  • Ia dapat mengurangkan gangguan angin dalam badan, menjadikan tubuh si ibu lebih bertenaga serta stabil dari segi emosi.
  • Selain itu, penjagaan bersalin sehingga 100 hari dipercayai mampu menjadikan ibu benar-benar sihat dan kembali hebat sebagaimana baru berkahwin dahulu.

Cabaran Berpantang 100 Hari
44 hari adalah tempoh yang sudah cukup lama bagi wanita untuk menahan diri daripada pelbagai perkara yang biasa dilakukannya. Lanjutan 100 hari mungkin hanya akan berhasil dengan kemampuan, kesanggupan dan motivasi yang tinggi.

Kebanyakan wanita sudah mula bekerja dalam tempoh 60 hari. Malah, ada yang sudah kembali ke pejabat seawal 30 hari disebabkan kesibukan kerja. Sebaik mula bekerja, ramai yang tidak mampu meneruskan pantang kerana terasa beban dan leceh.

Setelah tempoh 44 hari, biasanya wanita sudah tidak mempunyai sesiapa untuk membantu menguruskan bayi. Maka, wanita ini biasanya mempunyai masa yang terhad untuk diri sendiri. Bayangkanlah, proses menyusu badan sahaja sudah mengambil banyak masa dan tenaga setiap hari. Bagaimana mahu berpilis, bertangas, lulur, bertungku, dan sebagainya?

Ada wanita yang akan berasa tertekan kerana terlalu memaksa diri mereka melakukan sesuatu yang sukar di saat-saat emosi mereka belum cukup kukuh. Hal ini patut dibendung kerana boleh menjadi punca kemurungan.

Setiap individu harus mengenali badannya sendiri dan sama sekali tidak boleh membandingkannya diri mereka dengan orang lain. Ini kerana, setiap wanita mempunyai tahap ketahanan dan penerimaan yang berbeza bergantung kepada situasi masing-masing.

Saat selepas melahirkan bayi pula bukanlah sesuatu yang mudah buat sesetengah wanita kerana ia mungkin membuatkan hidup mereka berubah dengan mendadak. Oleh itu, walau apa pun tindakan kita selanjutnya, lakukanlah dengan bersederhana.

Apa kebaikan jika berpantang?

  1. Untuk mengembalikan tenaga yang telah banyak digunakan ketika proses melahirkan anak.
  2. Memberi masa kepada luka-luka dalaman dan luaran sembuh sepenuhnya.
  3. Menjaga kesihatan ibu selepas bersalin.
  4. Mengelakkan mengandung dalam masa terdekat.
  5. Memastikan tubuh si ibu sentiasa sihat untuk jangka masa panjang.

9 amalan penting semasa berpantang

  1. Mandi air suam, bagi mengelakkan badan masuk angin jika ibu kesejukan.
  2. Minum air suam banyak, supaya susu ibu banyak dan ibu tidak terhidrasi.
  3. Makan jamu/vitamin bagi mengecutkan rahim dan memulihkan tenaga serta kesihatan ibu.
  4. Penyusuan secara konsisten dapat mengecutkan rahim dan meningkatkan imun bayi.
  5. Pakai baju tertutup (baju sejuk) dan stokin supaya ibu sentiasa panas dan tak masuk angin.
  6. Usah terlalu sensitif dan cubalah mengawal emosi (mengelakkan meroyan).
  7. Berbengkung bagi mendapatkan bentuk badan yang cantik.
  8. Bertungku dan bertangas bagi melancarkan pengeluaran darah kotor.
  9. Paling penting banyakkan berehat.

Mengapakah amalan berpantang terlalu ketat?
Ramai yang mengeluh dan tidak kurang juga yang mengelak daripada berpantang kerana amalan berpantang yang terlalu ketat. Namun sebenarnya ada sebab di sebalik amalan tersebut, dan tidak semuanya patut diambil bulat-bulat.

Ini boleh dilihat dari segi makanan dalam berpantang seperti ikan bilis. Pada zaman dulu ketika rata-ratanya kehidupan adalah susah, ikan bilis merupakan sumber makanan yang mudah didapati selain berfungsi membekalkan protein kepada badan. Penambahan halia atau lada hitam pula membantu membuang angin dan memanaskan badan. Kerana itulah sesetengah orang tua menekankan ibu yang dalam pantang supaya mengambil makanan ini. Namun pada masa sekarang, banyak sumber protein lain yang boleh diambil seperti ikan dan daging.

Sesetengah orang tua juga melarang ibu-ibu minum terlalu banyak air ketika berpantang, tidak lain kerana mahu memastikan si ibu tetap makan dan tidak kenyang air semata-mata. Perkara ini tidaklah menghairankan, kerana makanan patut menjadi ubat atau penawar dalam proses pemulihan. Tetapi pada hari ini kita tahu bahawa meminum air adalah baik untuk kesihatan, terutamanya bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi mereka. Oleh itu, minumlah air sebanyak yang dikehendaki, tetapi cuba jangan terlebih minum sebelum masa makan.


Featured image source: Unsplash

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.