Bayangkan senario berikut: Belum pun hujung bulan, wang yang ada sudah habis dibelanja. Atau pun, tiba-tiba berlaku kecemasan yang memerlukan wang seperti kereta rosak, anak sakit atau anak mendapat tawaran universiti tetapi tiada wang simpanan. Senario lain yang agak biasa diperhatikan ialah, ada saja jualan murah, rasa macam semua hendak dibeli, tidak kira keperluan ataupun tidak, sehingga terlebih belanja dan kekurangan wang untuk perkara-perkara lain yang lebih mustahak.
Pernahkah anda menghadapi mana-mana situasi seperti di atas? Jika pernah, bermakna ada yang tidak kena dengan pengurusan kewangan anda. Yang mana satu keperluan, yang mana satu kehendak, anda tidak dapat bezakan.
Mengapa perlu sentiasa bersedia
Pengurusan kewangan bukan sekadar kaedah mengurus perbelanjaan, simpanan, pelaburan dan hutang, tetapi merupakan persiapan untuk menghadapi masa hadapan yang belum pasti. Seringkali bagi mereka yang bekerja di sektor swasta dikejutkan dengan e-mel “HCM Announcement: Medically Board Out” iaitu mereka yang diberhentikan kerja kerana masalah kesihatan, walhal sebelum itu, mereka juga merupakan salah seorang penyumbang kepada pendapatan syarikat. Jika anda adalah individu tersebut, bagaimanakah agaknya reaksi anda untuk berhadapan dengan kehidupan selepas diberhentikan kerja?
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-4 yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara pada tahun 2004 mendapati, antara punca berlakunya penceraian adalah disebabkan oleh masalah kewangan.
Menyedari masalah tersebut, LPPKN sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam aspek pembangunan keluarga mengambil inisiatif memperkenalkan Kursus Smart Belanja@LPPKN yang dilancarkan hampir 10 tahun lepas, iaitu pada 22 Julai 2009.
Kursus Smart Belanja@LPPKN
Antara objektif kursus ini adalah untuk memberi informasi penting kepada keluarga mengenai kepentingan merancang dan menguruskan kewangan dengan baik serta membolehkan keluarga membina pelan perancangan kewangan yang lebih sistematik. Kursus ini terbuka kepada semua golongan keluarga ( penjawat awam, swasta dan persendirian ).
Terdapat pelbagai tips yang dikongsikan di dalam kursus ini terutamanya dalam bab pengurusan kewangan. Antara tips asas yang dapat dikongsi bersama ialah:
Sehubungan itu, LPPKN melihat pengurusan kewangan keluarga merupakan satu kemahiran yang penting supaya keluarga boleh berbelanja mengikut kemampuan dan mencapai matlamat kewangan yang ingin dicapai di samping dapat membina sebuah keluarga sejahtera.
Pengajaran untuk anak sekolah
Anak yang sedang bersekolah mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang mungkin mempunyai gaya hidup yang berbeza daripada mereka. Rakan-rakan mereka juga mungkin mempunyai barang-barang yang berjenama mahal atau mewah. Disebabkan itu, anak perlu diajar dari kecil kepentingamenyimpan duit berbanding dengan memiliki atau mengumpul harta benda yang mahal. Lebih-lebih lagi jika suatu benda mewah yang diingini itu yang tidak penting atau diperlui. Mereka perlu tahu bahawa wang boleh habis dengan cepat jika kita tidak cermat dalam pembelanjaan. Terangkan pada anak bagaimana hendak membuat pilihan baik semasa membeli dan bagaimana hendak membeli barang mengikut kemampuan dan bukan mengikut kehendak atau nafsu. Disebabkan itu juga ibu bapa harus melibatkan anak-anak mereka dalam aktiviti pembelian semasa mereka kecil lagi supaya mereka biasa dengan sikap cermat semasa membelanja duit di masa hadapan.
Seronoknya menabung!
Kanak-kanak pasti suka menabung jika aktiviti itu menyeronokkan mereka. Carilah tabung yang menarik dan berilah mereka sedikit wang sebagai permulaan untuk simpanan mereka. Doronglah mereka untuk menyimpan sebahagian wang belanja harian mereka dan setiap minggu, kiralah jumlah yang telah berjaya disimpan supaya mereka didorong untuk menyimpan lagi. Tabiat menabung ini adalah permulaan yang baik dalam mengajar anak tentang kebaikan menabung untuk kesejahteraan masa depan nanti.
Artikel disediakan oleh Pegawai Penerangan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka, Mohd Zakri Rihan.