Checklist Barang Perlu Bawa Bila Ibu Menyusu Di Luar!

Susu ibu mengandungi komponen penting untuk melindungi dan membina sistem imun bayi yang belum matang. Malah susu ibu lebih mudah dihadam daripada susu formula bayi yang lain menjadikannya makanan ideal untuk menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan yang sihat.

Seorang ibu yang komited untuk memberikan penyusuan susu ibu secara eksklusif perlu bersedia untuk melakukannya di mana-mana mereka berada termasuklah di tempat awam. Tetapi bila di luar, persediaannya mungkin perlu lebih rapi berbanding di dalam rumah.

Segelintir ibu mungkin malu dan segan untuk menyusukan anak di tempat awam kerana tidak mahu mendedahkan diri mereka dan bimbang mengganggu orang di sekeliling yang tidak dikenali.

Walau apa pun alasannya, ibu pasti tidak akan menolak bila melihat bayi menangis kerana kelaparan. Namun apakah antara keperluan penyusuan yang terbaik untuk ibu ketika di luar atau tempat awam?

1. Bra menyusu yang bagus
Bra menyusu memudahkan anda menyusukan bayi di khalayak ramai. Rekaannya lebih selesa, elastik, dan menyokong bentuk payudara. Bra penyusuan mempunyai cangkuk, zip atau bukaan tertentu yang membantu bayi mendapat akses mudah ke payudara.

Sesetengah ibu lebih suka melapikkan puting di bawah baju-T atau tank top, untuk memberikan perlindungan tambahan semasa menyusu di ruang awam.

Atau anda boleh juga menggunakan bra khusus untuk mengepam susu. Bra jenis ini memiliki dua lubang tertutup yang boleh dibuka dan ianya berfungsi untuk menyokong ketika kegunaan breast pump. Sesuai untuk ibu yang berkerja atau menggunakan kaedah exclusive pumping.

2. Krim puting
Bayi yang baru lahir dan kerap menyusu dalam beberapa bulan pertama boleh menyebabkan puting payudara ibu kering, meradang, dan sakit. Krim lanolin boleh membantu melegakan puting yang sakit dan melindunginya daripada rekahan dan kerengsaan untuk jangka masa lama.

Cari krim yang selamat untuk bayi anda dan boleh digunakan dengan mudah. Kami cadangkan sesuatu yang diperbuat daripada bahan-bahan semulajadi atau organik.

3. Bantal menyusu
Walaupun tidak semua memilikinya, bantal penyusuan sebenarnya boleh membantu meletakkan bayi dalam keadaan yang selesa semasa menyusu terutamanya bayi yang baru lahir.

Ia adalah bantal khas yang melingkari pinggang ibu untuk menyokong bayi semasa mereka menyusu. Bantal ini boleh menyelamatkan belakang, bahu dan lengan ibu dari sakit dan kejang.

4. Pam susu badan
Pam susu adalah keperluan yang hampir semua ibu menyusu perlukan. Terdapat banyak pam elektronik lain yang tersedia untuk ibu pilih.
Pam payudara manual adalah antara pilihan yang bagus. Sesetengah pam payudara manual yang anda pam dengan tangan memberikan anda kawalan sepenuhnya ke atas kelajuan dan sedutan.

Pam payudara silikon pula mampu melekat pada payudara untuk menangkap kebocoran susu yang keluar semasa proses menyusu.

Bagi ibu bekerja yang sibuk, pam elektrik mungkin pilihan tepat untuk anda. Ia muat betul-betul dalam coli anda, dan membolehkannya mengepam sendiri dengan bebas tanpa bantuan tangan atau sebagainya.

Apa-apa pun, belajar penggunaan pam susu ini dengan betul. Baca manual, pastikan anda membeli saiz yang betul, dan jaga kebersihan pam sebelum dan selepas digunakan.

5. Botol dan berus botol
Dalam memilih botol susu yang baik, anda perlu ingat harga yang mahal tidak menjamin kualiti yang bagus. Namun sebaliknya pilihlah botol susu yang bebas BPA, mudah dicuci, saiz yang bersesuaian untuk digunakan semasa travel, jenis material botol kaca, dan memiliki puting yang hampir menyerupai puting payudara ibu.

Bila ada botol perlulah jaga kebersihannya juga. Cuci bersih botol susu anak menggunakan berus span atau berbulu untuk elak pembiakan bakteria.

6. Selimut menyusu
Selimut menyusu atau juga dipanggil nursing cover adalah kelengkapan penting sekiranya anda perlu menyusukan bayi di tempat-tempat awam dan ramai orang.

Ia berfungsi memberikan anda privasi sendiri dan lebih selesa tanpa rasa segan bila berada di restoran, pusat beli-belah atau tempat-tempat awam yang lain.

Malah selimut ini juga membantu bayi anda lebih fokus semasa menyusu dan mengurangkan gangguan dari persekitaran.

Ada banyak pilihan selimut menyusu di pasaran. Apa yang anda perlukan sebenarnya adalah memilih gaya yang sesuai untuk anda dan tidak terlalu mencolok mata sehingga menjadi perhatian orang.

7. Pelapik payudara
Pelindung puting adalah penghalang silikon nipis yang boleh membantu memudahkan ibu ketika peringkat awal proses penyusuan.

Pelindung puting boleh mengelakkan kecederaan pada puting atau mempercepatkan proses penyembuhan puting yang luka atau merekah.

Dikatakan kombinasi pelapik payudara dan krim putting boleh membantu ibu kekal selesa semasa minggu awal penyusuan.

Namun penggunaan pelapik ini hanya bersifat sementara sahaja. Hal ini kerana, penggunaan jangka panjang boleh menyebabkan kerengsaan payudara, dan juga mastitis jika tidak digunakan dengan betul.

Berjumpalah dengan perunding laktasi untuk belajar cara menggunakan pelindung puting dengan betul.

8. Makanan ringan yang sihat
Sama pentingnya dengan kekal terhidrat, anda juga perlu kekal kenyang sepanjang masa!

Ibu yang menyusukan bayi perlu mengambil lebih banyak kalori daripada orang biasa. Jadi mempunyai snek tambahan atau makanan ringan yang sihat di tangan boleh membantu ibu mendapatkan nutrisi ketika diperlukan dengan mudah.

Makanan ringan yang sihat penting untuk penghasilan susu. Jika anda mendapati diri anda berasa lapar semasa sesi penyusuan, cuba sediakan snek ringan yang sihat dan cepat terlebih dahulu.

Makanan ringan berkualiti termasuklah seperti epal dengan mentega kacang, sayur-sayuran dengan hummus, bar protein, pretzel, popcorn atau badam.

9. Beg penyimpanan susu ibu
Beg penyimpanan susu ibu sangat sesuai untuk ibu yang ingin menyimpan susu yang telah dipam di dalam peti sejuk.

Untuk lebih mudah, anda boleh melebalkannya dengan tarikh dan masa mengepam sebelum sampai pada tarikh luput yang merosakkan susu.

Beg penyimpanan susu amat bermanfaat kepada ibu yang kembali bekerja dan perlu mengalihkan bayi mereka kepada penyusuan botol pada siang hari.

Ramai ibu tidak tahu berapa banyak beg penyimpanan yang mereka perlukan, tetapi biasanya mereka boleh mulakan dengan membeli satu kotak dan memikirkan berapa banyak susu yang mereka boleh simpan setiap hari.

Mulakan penyusuan susu ibu dengan penuh yakin dan nikmati perjalanan anda bergelar seorang ibu dengan penuh senyuman!

 

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.