Disiplin Tanpa Menjerit

Ingatkah anda akan cara didikan yang diterapkan oleh ibu bapa kita sewaktu kecil dahulu? Kebanyakan ibu menggunakan cara jeritan untuk tujuan mendisiplinkan anak. Berbeza dengan cara si bapa yang hanya menggunakan bahasa tubuh bagi mengajar si anak. Yang mana lebih berkesan? Cara ibu atau cara bapa?

Sedarkah anda bahawa kanak-kanak ada kalanya ‘sudah kebal’ dengan jeritan anda memarahi mereka. Kebanyakan ibu berfikir cara jeritan adalah satu-satunya cara untuk membuatkan anak mendengar kata. Namun, apabila sudah kerap menjerit, kanak-kanak akan rasa lali dengan cara ibu bapa mereka menunjukkan kemarahan. Ketahui kaedah lain yang lebih berkesan bagi mendisiplinkan anak dan cara mengelakkan anda cepat ‘naik darah’ berhadapan dengan perangai anak.

Tarik nafas
Saat kemarahan anda ingin meletus melihatkan perangai anak, tenangkan diri anda dahulu. Toleh muka anda ke arah lain, bertentangan dengan anak anda, tutup mata dan tarik nafas. Tarik nafas dalam-dalam kemudian hembus. Ulang perbuatan ini beberapa kali sehingga anda betul-betul tenang. Rangka ayat dahulu tentang apa yang ingin anda perkatakan kepada anak anda.

Fokus pada perbuatan
Apabila anda mengajar anak untuk menunggang basikal, adakah anda akan terus memarahi mereka jika mereka masih belum pandai menunggang untuk cubaan pertama? Sudah tentu tidak, kan? Begitu juga halnya untuk menegur anak. Anda perlu memberi tunjuk ajar kepada mereka dahulu. Ibu bapa perlu menggunakan cara yang positif untuk mengajar anak dengan cara menumpukan pada perlakuan mereka. Contohnya, jika anak anda menyepahkan mainannya, tegur anak anda dan beritahunya secara spesifik akan kesan perbuatan menyepahkan mainan. Bersabarlah dalam mendidik anak-anak.

Tegas
Anda tidak perlu menjerit untuk menegur anak. Cukup dengan hanya anda mengeraskan suara untuk menunjukkan bahawa anda sedang memberi arahan yang penting kepada anak. Tegur anak anda dalam persekitaran yang tenang tetapi menggunakan kata-kata yang tegas. Jadi, tekak anda tidak sakit dan anak anda pula akan mendengar kata.

Peraturan yang jelas, terang
Sentiasa ingatkan anak anda tentang peraturan-peraturan yang mesti mereka ikuti baik di dalam rumah mahupun di luar rumah. Terangkan juga akan kesannya kepada anak anda jika mereka melanggar peraturan yang telah ditetapkan.


Puji anak jika berkelakuan baik
Berikan pujian pada anak anda jika dia berkelakuan baik dan mendengar kata. Sebaliknya, elakkan memberi perhatian kepada anak jika dia melakukan perbuatan yang tidak baik. Ada kalanya, anak anda berulang melakukan perkara yang anda tidak sukai kerana inginkan perhatian daripada ibu bapa. Jadi, jangan beri perhatian atau tunjukkan mogok pada anak anda jika dia melakukan perbuatan yang tidak baik.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.