Tugas membesarkan anak di era moden ini amatlah mencabar, berbeza dengan cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa masa dulu. Perkara paling utama adalah bagaimana cara kita menjalankan tugas sebagai ibu bapa bagi mengikut trend masa kini. Kami kongsikan beberapa trend dunia keibubapaan yang lazimnya dilakukan oleh ibu bapa moden.
Sesi fotografi materniti/ bayi baru lahir
Kami amat pasti bahawa acara ber‘posing’ depan kamera profesional dengan memakai pakaian hamil sambil menonjolkan perut anda tidak pernah dilakukan pada masa dulu. Malahan, kebanyakan sesi fotografi untuk bayi baru lahir (dengan pakaian dan alatan menarik) juga hanya ‘timbul’ pada era terkini.
Untuk bakal atau ibu bapa baharu, sesi fotografi tidak kiralah materniti ataupun bayi baru lahir boleh dikategorikan sebagai tradisi baru untuk ibu bapa moden sekarang. Ini bukanlah foto sekeping dua yang diambil untuk dijadikan memori, sebaliknya yang sedang kita perkatakan ini adalah tentang sesi photo eksklusif yang memerlukan gambar bakal ibu dan anak diambil untuk dimuatkan dalam satu album. Tambahan pula, apabila sekarang ini sudah ada laman sosial, lagilah ramai ibu bapa yang berminat melakukan sesi fotografi bagi mengabadikan memori bermakna tersebut di dalam akaun media sosial mereka.
Babymooning
Bercuti ke sana sini sementara belum bersalin adalah trend ibu bapa zaman moden sekarang. Lazimnya, babymoon dilakukan semasa ibu berada dalam trimester kedua atau ketiga. Ia dibuat bagi membolehkan ibu hamil meluangkan masa berdua bersama suami sebelum bayi lahir.
Bilik bayi
Satu-satunya persamaan antara ibu bapa dahulu dan kini adalah menyediakan beberapa kelengkapan bayi baru lahir seperti selimut dan sarung bantal bayi handmade. Berbeza keadaannya pada hari ini, kerana ibu bapa moden kini lebih cenderung menyiapkan sebuah bilik khas bayi yang mengandungi perabot mesra bayi, tempat tidur bayi, dekorasi dinding dan banyak lagi mengikut tema yang diidamkan. Menyediakan bilik khas bayi atau nurseri boleh mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan, malah sesetengah ibu bapa juga akan bercanggah pendapat dalam menyiapkan nurseri kerana masing-masing berbeza citarasa.
Beberapa dekad dahulu, penyediaan bilik bayi di rumah adalah sesuatu yang janggal khususnya di kalangan keluarga orang Asia. Hal ini kerana secara tradisi, bayi selalunya tidur di sebelah atau berhampiran dengan ibu bapa, bukannya berada di bilik yang berasingan dengan ibu bapa. Secara tidak langsung, penyediaan nurseri membawa kita kepada trend baharu dalam dunia keibubapaan.
Kegunaan alat pemantau bayi
Alat peranti ini telah mengambil alih dunia keibubapaan moden. Pernahkah anda terfikir anda boleh memantau aktiviti si manja dari jauh sahaja? Dengan alat pemantau bayi, ibu bapa boleh memerhatikan jika bayi menangis, sedang tidur ataupun sudah terjaga, serta semua aktiviti harian bayi biarpun tidak berada di dalam satu bilik. Jadi, ibu bapa boleh melakukan kerja rumah dengan lancar dan hanya memantau bayi dari jauh sahaja menerusi alat pemantau bayi.
Tahukah anda?
Sebelum munculnya alat pemantau bayi, ibu bapa perlu terkejar-kejar melakukan dua, tiga kerja pada satu-satu masa. Sekejap memasak di dapur, tinggalkan dapur sekejap sambil menjenguk bayi dan begitu juga sebaliknya. Jadi, sudah pastinya penggunaan alat pemantau bayi amat membantu para ibu bapa!
Senangnya menggunakan anduh bayi
Meskipun penggunaan pendukung bayi bukanlah suatu benda baharu, namun sudah tentu ibu bapa dahulu tidak terjangka akan inovasi rekaan anduh bayi sekarang ini. Direka dengan material yang lebih selesa dan kukuh, anduh bayi kini dibuat lebih bergaya sesuai dengan kehidupan ibu bapa moden sekarang.
Ketahui perkembangan bayi menerusi telefon mudah alih
Teknologi membawa kita kepada pelbagai benda baharu dan menarik, termasuklah juga dalam dunia keibubapaan moden ini. Contohnya, kewujudan aplikasi yang membolehkan ibu bapa memantau kekerapan anak membuang air besar, corak tidur dan juga keperluan pemakanan kanak-kanak- jadi mudah untuk ibu bapa memberitahu doktor akan perkembangan si kecil semasa kunjungan ke klinik.
Tenangkan bayi
Ini salah satu isu kontroversi yang melibatkan trend penjagaan bayi terkini, iaitu cara untuk menenangkan bayi. Salah satu masalah yang ibu bapa hadapi adalah ketika menangani bayi kerap menangis. Bagi ibu bapa moden, mereka akan menggunakan alat tertentu untuk menenangkan si manja seperti memainkan alat bantu tidur bayi yang mengandungi lagu lullaby.
Kecil-kecil sudah dihantar ke sekolah
Inilah trend terkini ibu bapa moden sekarang, iaitu menghantar bayi (yang masih belum berjalan) memasuki playschool ataupun kelas pengayaan. Di kelas inilah nanti bayi akan belajar tentang kemahiran motor, sosial dan banyak lagi.