Salah satu masalah kesuburan yang dialami oleh kebanyakan wanita adalah endometriosis. Ia terjadi disebabkan oleh ketumbuhan selaput dinding rahim (endometrium) di luar rahim seperti di kilang telur, dinding pelvis, saluran peranakan, usus, faraj dan pundi kencing. Kenali penyakit ini dengan lebih lanjut dan cara rawatannya.
1) Terangkan lebih lanjut mengenai penyakit endometriosis?
Endometriosis adalah salah satu penyakit lazim yang boleh menyebabkan ketidaksuburan di kalangan wanita. Selaput endometrium yang ektopik akan menebal dan berdarah semasa kitaran haid. Akan tetapi, ia tidak dapat mengalir keluar dari tubuh. Ini boleh mengakibatkan inflamasi tisu di sekelilingnya dan seterusnya penghasilan tisu parut (‘adhesion’ atau ‘scar tissue’). Apabila ini terjadi kilang telur boleh terlibat dan membengkak dan darah kotor berkumpul di dalamnya (‘endometrioma’), manakala saluran peranakan juga boleh rosak dan tersumbat.
2) Apakah yang menyebabkan endometriosis terjadi?
Para doktor masih tidak tahu apakah yang menyebabkan endometriosis terjadi di kalangan sesetengah wanita. Terdapat beberapa teori yang telah dicadangkan seperti ‘haid retrograd’ di mana mengikut teori ini, sebahagian darah haid yang sepatutnya mengalir keluar melalui pangkal rahim, faraj dan seterusnya keluar tubuh mengalir menyongsang i.e ‘retrograd’ masuk ke atas dan dalam saluran peranakan serta pelvis. Sel-sel endometrium yang terkandung dalam darah haid tersebut akan melekat kepada saluran peranakan, kilang telur dan pelvis.
3) Apakah tanda-tanda penyakit endometriosis?
• Sengugut
• Sakit semasa melakukan hubungan intim bersama pasangan
• Kemandulan
• Sengugut sebelum datang haid
• Turun darah haid yang banyak atau tidak menentu
• Sakit perut yang kronik (‘chronic pelvic pain’)
Endometriosis adalah satu penyakit yang ‘enigma’. Ini adalah kerana simptom-simptom penyakit endometriosis adakala tidak setimpal dengan tahap endometriosis yang dihadapi. Ada sesetengah pesakit yang mengalami simptom endometriosis yang teruk, tetapi apabila pembedahan dilakukan tahap penyakit endometriosis yang dilihat oleh doktor adalah sedikit berbanding dengan simptom yang dialami.
4) Bagaimanakah penyakit endometriosis diklasifikasikan?
5) Bagaimanakah endometriosis didiagnosis?
Doktor boleh mengesyaki yang seseorang wanita itu mungkin menghidapi penyakit endometriosis daripada simptom-simptomnya. Akan tetapi, sesetengah pesakit tidak mempunyai simptom langsung hanya mungkin susah mengandung. Diagnosis yang tepat hanya boleh dilakukan melalui pembedahan ‘diagnostic laparoscopy’ di mana doktor akan memasukkan kamera melalui tebukan kecil di pusat pesakit. Melalui kamera doktor boleh memeriksa keadaan organ-organ dalaman terutama rahim, kilang telur dan saluran peranakan.
6) Apakah rawatan untuk pesakit yang menghidapi endometriosis?
Ini terpulang kepada umur pesakit, simptom yang dihidapi dan sama ada pesakit itu masih mahu mengandung. Rawatan boleh dibahagikan kepada konservatif, ubatan hormon ataupun pembedahan.
a) Konservatif: Kaedah ini bersesuaian untuk pesakit yang menghidapi hanya ‘mild’ endometriosis dan simptom yang sedikit.
b) Ubatan hormon: Lapisan endometrium yang ektopik boleh dikawal dengan menyekat tahap hormon estrogen dan progesteron di dalam tubuh pesakit. Hormon seperti pil perancang, progesteron dan Gonadotrophin-Releasing hormone (GnRH analog) dapat diberikan sebagai rawatan endometriosis. Contoh nama ubatan yang dikategorikan sebagai GnRH analog ialah Lucrin dan Zoladex. Hormon ini kerap diberikan selama beberapa bulan oleh doktor selepas pembedahan untuk memastikan sebanyak mungkin lapisan ektopik endometriosis dikurangkan.
c) Pembedahan: Ini adalah rawatan yang diberikan sekiranya pesakit mempunyai cyst yang besar di ovari, kemandulan atau simptom endometriosis yang teruk.
Dr. Natasha Ain Mohd Nor merupakan Pakar Obstetrik dan Ginekologi (Infertility) dari KL Fertility Centre. Beliau aktif menulis dan berkongsi informasi di blognya, www.drnatashanorfertility.com