Seorang bayi sudah tentunya merengek tak kira masa. Ada kalanya kita tahu sebabnya, dan ada kalanya kita langsung tak tahu mengapa si-manja menangis begitu. Inilah sebabnya kenapa kita perlu memahami ‘bahasa’ seorang bayi. Ianya agak penting supaya kita dapat mengambil tindakan yang sewajarnya lalu mententeramkan bayi berkenaan.
Bukan semua bayi mempunyai bahasa dan gaya yang serupa semasa mereka ingin menyampaikan kehendak mereka kepada si-penjaga. Namun begitu, kita masih boleh cuba mengecam beberapa tanda dan petunjuk am dengan memerhatikan bahasa tubuh seorang bayi yang sedang merengek.
Pandangan merata
Ada kalanya seorang bayi akan cuba mengelak tenungan penjaganya, lalu akan memusing kepalanya. Kadang-kadang, bayi akan memandang sekeliling seolah-olah tercari-cari sesuatu. Aksi ini lazimnya bermaksud bahawa bayi itu telah menerima terlalu banyak stimulasi dari persekitarannya dan ingin berehat – dalam lain kata, biarlah bayi itu rehat dan usahlah memanggil namanya ( kerana itu pun suatu stimulasi untuk si-kecil). Setelah berehat dengan cukupnya, bayi tersebut pasti akan sedia untuk bermain atau berkomunikasi sekali lagi dengan penjaganya.
Menggosok telinga
Ada kalanya si bayi didapati meraba-raba telinga seolah-olah tidak selesa atau keliru. Jika aksi ini disertai dengan tangisan dan rengekan, si manja anda mungkin mengalami masalah jangkitan pada telinga, oleh itu, bawalah dia berjumpa dengan doktor. Jika dia hanya bermain-main dengan telinganya, kemungkinan besar dia baru sedar bahawa ada anggota tubuh lain di sebelah kepalanya!
Menendang dan menghentak kaki
Kadang-kadang seorang bayi akan menendang-nendang atau menghentakkan kakinya bagi menyampaikan maksud bahawa dia sedang teruja di saat itu. Namun, kemungkinan besar juga dia tidak selesa, di mana tendangan kaki itu mungkin disertai dengan tangisan. Mungkin lampinnya sudah penuh, lembab atau kotor? Jadi, periksalah si manja supaya pasti!
Ada juga tanda gembira!
Pandangan mata ke mata
Jika si bayi tersenyum dan memandang mata penjaganya dengan tenungan yang lama, kemungkinan besar bayi itu sedang cuba mengecam wajah penjaganya itu. Jika pandang sambil senyum, maksudnya dia gembira dengan kehadiran penjaganya. Jadi, tunggu apa lagi? Senyumlah balik!
Membebel
Jika si bayi mengeluarkan bunyi ‘bbbbb’ dengan keadaan air liurnya bertakung pada mulut, ia bermakna si kecil itu sedang cuba untuk bercakap. Dia akan bermain dengan suaranya untuk memberitahu sesuatu dan juga mengajak si penjaganya untuk berborak.
Featured image: Shutterstock