Minggu-minggu terawal selepas bersalin adalah tempoh penting bagi si ibu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru. Dengan penat bersalin yang masih belum habis, si ibu perlu menyesuaikan diri dengan kehadiran bayi baru. Belum lagi ditambah dengan hal menguruskan diri sendiri. Disebabkan itulah, fasa berpantang dibuat bagi membolehkan para ibu baru berehat dan memanjakan diri selepas bersalin. Semua ibu baru perlu mendapatkan tempoh rehat selepas bersalin bagi mengelakkan gejala meroyan.
Semasa minggu pertama selepas melahirkan bayi, badan anda mula untuk menerima isyarat bahawa anda sudah tidak hamil dan sedang dalam proses untuk pulih. Tempoh ini dinamakan postpartum atau tempoh selepas melahirkan anak. Badan anda akan melalui banyak perubahan sepanjang proses anda untuk mengembalikan tubuh seperti sebelum hamil. Walau bagaimanapun, perubahan-perubahan ini adalah berbeza untuk setiap wanita.
Minggu pertama selepas bersalin juga adalah waktu untuk anda mengeratkan hubungan (bond) dengan bayi di samping menetapkan rutin penjagaan si manja. Selain itu, anda perlu membawa bayi menjalani pemeriksaan semasa 2 hingga 6 minggu selepas bersalin. Inilah masa yang terbaik untuk anda bertanyakan sebarang soalan kepada doktor anda, termasuklah pertanyaan tentang merancang keluarga.
Keadaan tubuh selepas bersalin
Untuk beberapa hari pertama, anda akan berasa sakit-sakit atau lenguh-lenguh badan dan sangat letih. Ini akan berlanjutan sehingga beberapa minggu. Badan anda akan kembali pulih sekitar 4 hingga 6 minggu kemudian, dan mungkin akan berlanjutan terutama jika anda bersalin secara pembedahan. Sementara itu, anda juga mungkin akan mengalami sedikit pendarahan dan kesakitan kerana rahim anda sedang mengecut.
Penjagaan diri sendiri
Anda akan mudah berasa letih semasa minggu awal selepas bersalin. Bawa bertenang, Mama! Jangan terbawa-bawa dengan emosi selepas bersalin. Cuba tips-tips di bawah bagi membantu anda menyesuaikan diri dengan rutin baru di samping membantu anda menjalani alam berpantang dengan lancar.
- Curi masa untuk tidur semasa bayi sedang lena
- Cari pembantu, bidan atau ahli keluarga anda untuk membantu anda semasa minggu-minggu awal selepas bersalin
- Hanya menerima kunjungan keluarga atau jiran terdekat semasa minggu awal berpantang. Ini bagi membolehkan anda cukup rehat semasa berpantang
- Rancang penjagaan anak jika anda ada anak yang lain, seperti meminta tolong ahli keluarga anda menjaga anak yang sulung
- Rancang percutian dekat untuk anda keluar sebentar dari rumah. Perubahan angin ini dapat membantu anda berasa kurang tertekan dan kurang letih
- Minum banyak air terutama jika anda menyusukan anak
Jika anda risau tentang penjagaan tubuh anda semasa berpantang, mintalah nasihat daripada doktor. Lazimnya, doktor akan memberitahu anda waktu yang sesuai untuk mula melakukan senaman, hubungan intim dan penggunaan tampon.
Keadaan emosi selepas bersalin
Minggu-minggu pertama selepas bayi lahir adalah tempoh yang menerujakan anda dan juga memenatkan. Anda mungkin ketika itu teruja dengan kehadiran bayi baru. Akan tetapi, pada masa yang sama, anda tidak lari daripada berasa kepenatan disebabkan tidak cukup tidur dan masih berusaha untuk menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baru.
Kebanyakan ibu baru bersalin akan mengalami baby blues semasa minggu-minggu pertama selepas kelahiran bayi. Dan, gejala ini akan memuncak sekitar hari ke-4 dan biasanya akan berkurangan dalam masa kurang daripada 2 minggu. Walau bagaimanapun, jika masalah baby blues anda berlanjutan sehingga beberapa hari, atau ada ketikanya anda rasa ingin mencederakan diri sendiri ataupun bayi, terus dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli keluarga anda. Anda mungkin mengalami masalah postpartum depression atau meroyan. Gejala meroyan perlu dirawat segera. Disebabkan itulah, sokongan suami, ahli keluarga dan orang terdekat amat penting kepada ibu baru bersalin.