Minggu awal mengandung adalah tempoh terpenting dalam kehamilan anda kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Pengambilan makanan dan vitamin yang betul dapat membantu ibu hamil mengelak daripada berlakunya kecacatan janin dan keguguran. Vitamin paling utama bagi ibu hamil adalah asid folik! Bersama Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi dari Columbia Asia Hospital Cheras, Dr. Haw Wan Lye untuk berkongsi tentang kepentingan asid folik kepada bakal ibu.
Asid folik adalah sejenis vitamin yang dipanggil folate (Vitamin B9), iaitu nutrien penting yang diperlukan untuk membina dan membaiki DNA, serta membantu dalam metabolisme vitamin dan sintesis asid amino. Keperluan folat meningkat semasa hamil kerana zat ini penting untuk tumbesaran dan perkembangan fetus terutamanya saraf tunjang bayi. Folat juga secara semula jadi terdapat dalam sayuran hijau dan buah sitrus, bijirin dan susu tepung.
Bila saya perlu mula mengambil asid folik?
Kekurangan folat dikaitkan dengan ketidaknormalan pada ibu (anemia, neuropati tambahan) dan kecacatan kelahiran fetus (ketidaknormalan kongenital) yang sering berlaku semasa awal kehamilan. Pakar menyarankan supaya wanita mula mengambil asid folik setiap hari sekurang-kurangnya sebulan sebelum mula hamil, dan setiap hari semasa hamil.
Berapa banyak asid folik yang diperlukan semasa hamil?
Bagi memastikan wanita hamil mendapat amaun folat secukupnya, National Institute of Health (NIH) dan Institute of Medicine (IOM) mengesyorkan pengambilan dos sebanyak 600mcg asid folik setiap hari.
Saranan pengambilan asid folik semasa hamil
600mcg – 2 hingga 3 bulan sebelum konsepsi dan sepanjang kehamilan.
500mcg – Diambil semasa penyusuan.
5mg– Perlu diambil oleh wanita yang berisiko mendapat anak dengan kecacatan saraf tunjang atau ubatan antikonvulsan. Wanita yang menghidap diabetes juga disarankan mengambil dos asid folik sebanyak ini.
Asid folik dengan sumber semula jadi
Kandungan asid folik dalam diet harian yang disarankan untuk bakal ibu ialah:
- Susu untuk wanita hamil yang dilengkapi dengan 100% asid folik = 400mcg
- Bayam ½ cawan = 115mcg
- Kacang lentil ½ cawan = 179mcg
- Hati lembu = 215mcg
Bagi memastikan ibu mendapat asid folik yang mencukupi setiap hari, ibu disarankan untuk mengambil suplemen asid folik ataupun multivitamin pranatal.
Manfaat asid folik
Kepada ibu hamil
• Mengelakkan masalah anemia untuk eritropoiesis aktif
*Folat, Cobalamin (Vitamin 9) dan zat besi
• Menghalang kelahiran pramatang
*Kelahiran pramatang adalah bayi yang lahir sebelum usia kandungan 37 minggu
• Mengelakkan keguguran fetus/ janin
• Bayi tidak mengalami masalah kurang berat badan semasa lahir
• Mengurangkan risiko penyakit hati kongenital
• Menghalang pertumbuhan intrauterine
• Mengurangkan kebarangkalian bayi mengalami masalah lelangit dan klef bibir
Kesimpulan
Pengambilan asid folik sebelum konsepsi dan semasa hamil adalah penting bagi melindungi fetus. Malahan, banyak kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan asid folik sebelum dan semasa hamil dapat membantu mengurangkan risiko anemia dan kelahiran bayi pramatang. Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian diperlukan untuk mengenal pasti masa, dos dan formulasi yang sesuai dalam pengambilan asid folik.
Dr. Haw Wan Lye
Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi
Columbia Asia Hospital Cheras