Ilmu Kesuburan Untuk Wanita Usia 20-an

Usia 20-an memanglah dikira antara usia yang baik untuk mendirikan rumah tangga dan menimang cahaya mata. Namun, jangan ingat semua wanita di usia 20-an mudah untuk terus hamil selepas berkahwin. Disebabkan faktor pemakanan dan gaya hidup masa kini, tidak mustahil wanita usia 20-an juga mengalami masalah kesuburan.

Bagi anda yang berkahwin di usia 20-an, berikut kami senaraikan apa yang perlu anda tahu tentang peluang kehamilan:

Bagaimana Anda Boleh Hamil?
Kira-kira 14 hari sebelum tibanya kitaran haid anda yang akan datang, ovari belah kanan atau kiri anda akan mengeluarkan telur, dalam proses yang dipanggil ovulasi. Telur anda akan menuju ke tiub falopio dan menunggu untuk bersatu dengan sperma. Semasa penetrasi yang melibatkan ejakulasi, berjuta-juta sperma akan berenang memasuki rahim dan hanya satu sahaja yang akan menembusi telur. Telur yang telah disenyawakan akan menempel pada dinding rahim dan membentuk embrio.

Bila Waktu Yang Sesuai?
Ambillah peluang untuk melakukan hubungan intim semasa ‘jendela kesuburan’ atau fertile window kerana akan meningkatkan peluang anda untuk hamil. Jendela kesuburan adalah tiga hari sebelum tempoh ovulasi, semasa hari ovulasi serta sehari selepas ovulasi. Kehamilan selalunya terjadi apabila hubungan intim berlaku dalam tempoh tersebut. Richard Paulson, Ketua Bahagian Reproduktif dan Infertiliti di University of Southern California Keck School of Medicine berkata, pasangan selalunya akan menunggu sehingga hari ovulasi atau selepasnya untuk melakukan hubungan intim. Bagaimanapun, menurutnya, jika ingin hamil, buatlah sebelum hari ovulasi.


Info
Sperma hanya boleh bertahan selama 24 hingga 48 jam di dalam vagina. Manakala, telur matang hanya akan hidup selama 12 hingga 24 jam selepas dirembes keluar dari kilang ovari. Jadi, anda perlu melakukan hubungan intim bersama pasangan 48 jam sebelum hari ovulasi atau semasa hari ovulasi itu sendiri.


Ada Pantang-Larang?
Minum terlalu banyak kopi atau alkohol boleh mempengaruhi kesuburan wanita. Menurut pakar, seseorang yang minum lebih daripada lima cawan kopi sehari boleh menyebabkan kesuburan menurun. Walau bagaimanapun, anda masih boleh menikmati kopi anda setiap hari, cuma perlu mengurangkan pengambilan kafein anda. Pakar berpendapat, dengan mengambil satu atau dua cawan kopi sehari adalah tidak mengapa. Anda masih boleh mengambil kafein antara 200 hingga 250 miligram sehari.

Kajian juga menunjukkan bahawa wanita yang mengambil dua minuman beralkohol sehari akan mengurangkan kadar kesuburan sehingga 60%. Bagaimanapun, sebagai orang Islam minuman beralkohol adalah haram.

Bukan sahaja alkohol, amalan merokok juga boleh merosakkan kadar kesuburan suami dan isteri. Bagi wanita, rokok boleh menjejaskan telur anda sementara bagi lelaki pula, merokok boleh mengurangkan pengeluaran sperma dan merosakkan DNA. Selalunya, pakar akan menyarankan para ibu untuk berhenti merokok sebelum hamil kerana merokok semasa hamil akan meningkatkan risiko keguguran.

Jaga Sperma
Ada pendapat yang mengatakan lelaki tidak digalakkan memakai seluar dalam ketat kerana boleh mengurangkan kesuburan. Selain itu, ada juga yang mengatakan lelaki tidak boleh terdedah kepada suhu panas yang berlanjutan seperti berendam terlalu lama di dalam tab mandian panas kerana boleh memberi kesan kepada sperma. Jadi, pesan pada pasangan anda untuk turut menjaga kesuburannya.

Persiapkan Tubuh
Siapa kata hanya wanita hamil perlu makan vitamin pranatal? Jika anda sedang merancang untuk hamil, anda juga perlu mula mengambil vitamin pranatal bagi memastikan rahim dan tubuh anda bersedia menerima tetamu sepanjang tempoh 9 bulan nanti. Vitamin pranatal perlu mengandungi asid folik, iaitu suplemen yang wajib anda ambil semasa merancang untuk hamil. Malah, pengambilan asid folik perlu diteruskan sehingga usia kehamilan 12 minggu. Anda digalakkan untuk mengambil 400mcg asid folik sehari. Akan tetapi, jika anda menghidap diabetes atau mempunyai sejarah anak mengalami spina bifida, maka anda perlu mendapatkan dos yang lebih tinggi. Pengambilan asid folik sebelum hamil dapat membantu pembentukan sistem saraf dan otak janin yang sihat semasa minggu-minggu terawal kehamilan. Ingatlah bahawa vitamin pranatal adalah berbeza dengan multivitamin biasa kerana multivitamin biasa mengandungi vitamin A yang berlebihan, yang mungkin akan merosakkan janin anda.

Sihatkah Anda?
Sebelum cuba untuk hamil, lebih baik jika anda mengetahui akan tahap kesihatan anda dahulu- terutama jika terdapat sejarah keluarga anda yang pernah mengalami masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, diabetes atau asma. Bukan itu sahaja, alang-alang anda sudah ada di hospital, semaklah tentang vaksinasi terkini anda. Sesetengah jangkitan seperti demam campak, rubella dan hepatitis B boleh menyebabkan keguguran atau kecacatan kelahiran. Jadi, amat penting untuk anda memastikan bahawa anda sudah menerima segala vaksin yang diperlukan. Jika anda perlu mendapatkan vaksin, doktor akan menasihatkan anda untuk mula merancang kehamilan sebulan selepas suntikan vaksin diberikan.

Masa Untuk Berubah
Pilihan gaya hidup yang sihat adalah penting semasa tempoh anda mencuba untuk hamil dan juga semasa kehamilan. Selain amalan pemakanan yang sihat, anda juga perlu melakukan aktiviti fizikal dan bijak menangani tekanan. Jika anda kurang atau lebih berat badan, doktor akan menyarankan berat badan yang bersesuaian sebelum anda mencuba untuk hamil. Bukan itu sahaja, amat penting untuk anda mengelakkan pengambilan rokok, alkohol, dadah atau pendedahan kepada toksik yang akan menyebabkan kesukaran untuk hamil.


Ajaklah pasangan anda untuk turut serta menjalani pemeriksaan prakonsepsi. Kesihatan dan gaya hidup pasangan juga amat penting kerana akan memberi kesan kepada anda dan juga bayi.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.