Sebaik sahaja anda bergelar ibu bapa, anda perlu menjaga tutur kata anda. Ini merupakan asas utama keibubapaan yang perlu anda pelajari dan ikuti!
Salah satu pencapaian terawal si manja anda adalah ‘mengajuk’. Tak percaya, cuba ingat kembali detik semasa anda bermain mengagah dengan si kecil. Bayi anda akan cuba mengikut apa yang anda lakukan, contohnya, jika anda menjelir lidah dia pun akan meniru perbuatan anda. Begitu juga jika anda memuncung bibir atau membuat bau busuk, si manja pasti akan meniru memek muka anda.
Fasa seterusnya dalam perkembangan kanak-kanak adalah mendengar dan mengajuk percakapan orang yang rapat dengannya. Contohnya, anda ajar si manja menyebut perkataan Ma-ma, Pa-pa atau Da-da; dan jangan terkejut apabila tidak lama selepas itu anak anda boleh meniru percakapan anda!
Semakin si manja anda membesar, dia akan memasang telinga mendengar semua perbualan anda tidak kira baik atau buruk. Adakalanya ibu bapa tidak sedar terkeluar perkataan yang tidak sepatutnya seperti ‘bodoh’, ‘padan muka’, ‘tak guna’ ataupun perkataan makian. Justeru, si kecil yang mendengar tidak terkecuali akan terikut-ikut menggunakan perkataan-perkataan ini.
Bukan hanya perkataan yang keluar daripada mulut ibu bapa sahaja, malah perkataan yang mereka dengar di dalam radio dan televisyen juga boleh jadi tidak wajar didengar oleh si kecil. Oleh itu, ibu bapa perlulah memantau semua medium yang boleh si manja anda dengari.
Tips Bonus
Ibu bapa disaran supaya menggunakan perkataan yang betul semasa mengajar anak bercakap. Layan si manja bercakap seperti anda berbicara dengan orang dewasa. Contohnya, sebut ‘ambil’ berbanding menyebut ‘mik, mik’ ataupun sebut ‘sedap’ berbanding ‘dap, dap’.
Jika anda menggunakan bahasa bayi apabila bercakap dengan si manja, anda hanya akan melewatkan perkembangan kognitifnya dengan menjadikan bahasa lebih mengelirukan untuk anak kecil anda.
Bukan itu sahaja, dalam berbahasa juga, penggunaan intonasi turut memainkan peranan. Jika ibu bapa menggunakan nada yang tinggi semasa bercakap (seperti marah), si manja juga nanti akan terbiasa menggunakan nada tinggi seolah-olah itu merupakan nada percakapan biasa. Jadi, kepada ibu bapa, bersiap sedialah untuk menukar gaya percakapan anda menjadi lebih sopan kerana ia merupakan asas penting untuk melatih penggunaan bahasa anak-anak.