Jangan Sampai Tak Cukup Zat!

Nutrien yang tidak mencukupi di dalam badan manusia memang memudaratkan kesihatan, namun jika tubuh seorang wanita yang hamil tidak mencukupi nutrien dan zat-zat yang penting, bukan sahaja memudaratkan dia sendiri, tetapi juga bayi dalam kandungannya.

Apa itu vitamin pranatal?
Wanita yang mengandung pasti akan dibekalkan suplemen kesihatan oleh klinik kerajaan atau pun klinik swasta di mana mereka menjalankan pemeriksaan pranatal bulanan masing-masing. Suplemen ini dinamakan vitamin prenatal dan ia mengandungi nutrien-nutrien yang penting untuk si ibu dan juga bayinya. Vitamin jenis ini direka mengikut dos yang diperlukan untuk bakal ibu. Biasanya, suplemen ini merupakan gabungan beberapa jenis vitamin dan zat galian yang penting, namun, jika si ibu mengalami deficiency (kekurangan sesuatu zat dalam badannya), ia akan diberi sebagai suplemen tunggal.

Benar, para ibu hamil boleh mendapatkan vitamin melalui pemakanan yang sihat, namun jika difikirkan adakah mereka akan mendapat semua zat harian yang diperlukan pada setiap hari? Jadi, cara yang lebih mudah adalah dengan pengambilan vitamin pranatal bagi membantu bakal ibu untuk mendapat kesemua nutrisi yang diperlukan dalam diet mereka.

Vitamin pranatal mengandungi pelbagai jenis vitamin dan mineral; termasuklah vitamin penting iaitu asid folik, zat besi, iodin, kalsium dan omega-3.

Mengapa perlu ambil vitamin pranatal?
Vitamin pranatal perlu diambil sebagai sejenis jaminan pengambilan nutrien yang lengkap dan cukup bagi si ibu dan juga bayinya. Dalam sesetengah kes, vitamin pranatal dapat juga mengurangkan risiko kecacatan bayi dalam kandungan dan juga dapat mengurangkan risiko kelahiran pramatang dan bayi kurang berat badan semasa lahir. Selain itu, vitamin pranatal juga dapat membantu bakal ibu untuk menjamin pengambilan nutrien yang mencukupi supaya sentiasa sihat sepanjang kehamilan.

Nutrien-nutrien penting untuk menjamin kesihatan ibu dan bayi

Asid folik
Asid folik adalah vitamin penting yang perlu diambil bagi wanita yang ingin hamil dan wanita hamil. Asid folik dapat membantu untuk mengelakkan kecacatan tiub neural, di samping membantu pembentukan saraf dan sel-sel lain.

Kecacatan tiub neural akan berlaku pada 28 hari pertama selepas konsepsi, iaitu tempoh di mana kebanyakan wanita belum tahu lagi bahawa mereka sedang hamil. Memandangkan ada kehamilan yang berlaku secara tidak dirancang, jadi, setiap wanita yang telah berkahwin disarankan untuk mengambil 400mcg asid folik sehari, bermula sebelum konsepsi sehinggalah 12 minggu pertama semasa kehamilan.

Bagi wanita yang pernah hamil dan pernah melalui pengalaman kecacatan tiub neural pada bayinya, mereka perlu memberitahu kepada doktor masing-masing – kemungkinan mereka memerlukan dos asid folik yang berbeza.

Kalsium
Kalsium juga penting untuk wanita hamil bagi pembentukan tulang dan gigi. Lazimnya, kalsium yang terdapat pada vitamin pranatal mempunyai kadar yang lebih tinggi berbanding multivitamin biasa. Kekurangan kalsium kini juga dikaitkan dengan risiko pre-eklampsia bagi wanita mengandung. Dos yang diperlukan ialah 1,000mg kalsium sehari.

Iodin
Iodin amat penting untuk kesihatan serta fungsi kelenjar tiroid wanita semasa hamil. Kekurangan iodin boleh membantutkan pertumbuhan fizikal, kecacatan mental dan masalah kepekakan dalam bayi. Kekurangan yang melampau mampu juga membawa maut pada bayi.

Zat besi
Zat besi dapat membantu pembentukan sel darah merah ibu dan bayi- serta membawa oksigen ke seluruh badan. Pengambilan zat besi juga dapat mengurangkan risiko kelahiran bayi pramatang.

Wanita hamil disarankan untuk mengambil 27mg zat besi. Walau bagai mana pun, dapatkanlah nasihat doktor tentang dos yang sesuai supaya tidak mengalami masalah sembelit dan pedih perut.


Apabila zat-zat galian bercanggah
Jangan ambil pil zat besi bersama dengan pil kalsium kerana ia akan menghalang penyerapan salah satu zat tersebut ke dalam tubuh.


Omega-3
Omega-3 penting untuk perkembangan otak dan menjamin penglihatan yang baik. Sumber terbaik bagi omega-3 ialah minyak ikan. Dos yang dicadangkan untuk wanita hamil ialah 200-300 mg sehari, namun dapatkanlah nasihat doktor anda.


Doz biasa bagi vitamin dan zat galian untuk wanita mengandung

  • 400mcg asid folik
  • 400IU vitamin D
  • 200-300mg kalsium
  • 70mg vitamin C
  • 3mg thiamin
  • 2mg riboflavin
  • 20mg niacin
  • 6mcg vitamin B12
  • 10mg vitamin E
  • 15mg zink
  • 17mg zat besi
  • 150mcg iodin
About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.