Ke Arah Kehamilan: Persediaan Prekonsepsi

Jika anda sedang merancang untuk hamil, tentunya ada berbagai tanda tanya mengenai cara-cara untuk meningkatkan peluang kehamilan anda. Diharapkan, artikel ini dapat menjawab segala pertanyaan anda.

Bersediakah anda?
Walaupun kehamilan itu dianggap perkara semula jadi, seorang wanita perlu bersedia dari segi kesihatan fizikal, mental dan juga emosi supaya kehamilan itu berada dalam keadaan sempurna dari mula hinggalah bayi dilahirkan.

Kesihatan fizikal dan juga pengambilan nutrisi yang seimbang amat penting kerana bayi akan membesar dalam rahim si ibu, sambil mengambil tenaga dan juga nutrisi dari si ibu. Sebarang kemusykilan dari segi ini mampu menjejaskan perkembangan kesihatan bayi dalam kandungan. Keadaan mental dan emosi pula perlu stabil untuk kebaikan bayi dalam kandungan, kerana sebarang tekanan dari segi ini mampu mempengaruhi kesihatan bayi tersebut. Jadi, adakah anda bersedia untuk menerima tetamu khas yang akan menginap dalam rahim anda selama sembilan bulan yang akan datang?


Faktor-faktor yang mempengaruhi peluang kehamilan

  • Umur. Sebaik sahaja usia anda mencecah 35 tahun, peluang untuk hamil akan semakin berkurangan seiring dengan peningkatan usia anda.
  • Kitaran haid tidak teratur. Keadaan ini mungkin menimbulkan masalah kerana sukar untuk mengenalpasti waktu subur anda.
  • Kekerapan bersama. Semakin jarang anda bersama pasangan, semakin rendah peluang untuk kehamilan.
  • Tempoh percubaan untuk hamil. Jika anda tidak hamil selepas setahun mencuba, peluang anda semakin rendah.
  • Kesihatan tubuh badan: Tubuh yang lemah atau kekurangan zat mampu merumitkan usaha kehamilan.

Kepentingan penjagaan prekonsepsi
Penjagaan prekonsepsi amat penting, namun ramai yang mengabaikannya. Ia melibatkan pemeriksaan doktor, lazimnya untuk kedua-dua bakal ibubapa untuk mengenalpasti sama ada mereka berada dalam keadaan kesihatan keseluruhan yang sempurna untuk merancang suatu kehamilan. Isu-isu kesihatan seperti berat badan yang berlebihan, tekanan darah yang tinggi, kencing manis dan sebagainya perlu ditangani sebelum kehamilan berlaku. Jika terdapat sebarang masalah kesihatan, doktor akan menyarankan langkah-langkah yang sewajarnya untuk kebaikan ibu (dan juga bapa) dan bakal anak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.