Sentuhan dan belaian kasih sayang ibubapa terhadap bayi mereka amat berharga untuk kesihatan keseluruhan bayi tersebut. Apabila bayi diurut, hormon penenang iaitu serotonin dilepaskan dan hormon tekanan (stress) iaitu kortisol, disekat. Hasilnya degupan jantung si kecil lebih perlahan dan teratur, dan dia akan berasa lebih damai dan kurang merengek.
Urutan adalah salah satu cara ibubapa dapat berinteraksi dan juga menunjukkan kasih sayang mereka kepada si manja. Urutan bukan sahaja dapat menenangkan bayi, malah membantunya untuk mendapatkan tidur yang lena. Selain itu, urutan seluruh badan juga dapat membantu meningkatkan berat badan bayi, membantu penghadaman dan mengurangkan ragam.
Masa terbaik untuk mengurut bayi
Lakukan urutan semasa bayi anda dalam mood yang baik, tidak meragam dan berada dalam keadaan selesa. Terpulang kepada anda berapa lama masa yang ingin diambil untuk melakukan urutan. Sebaik-baiknya, lakukan urutan selepas memandikan bayi dan lakukannya secara konsisten. Anda juga boleh melakukan urutan di waktu malam sebelum waktu tidur si manja anda.
Cara dan teknik urutan
- Cipta suasana tenang semasa melakukan urutan.
- Baringkan si manja di atas tilam atau meja tukar lampin. Dapatkan interaksi mata dengan si manja.
- Semasa pertama kali melakukan urutan, lakukan secara lembut sehingga bayi biasa dengan sentuhan urutan anda.
- Mulakan urutan pada perut bayi, kemudian di kepala, leher, bahu, bahagian atas badan, peha, kaki dan tangan.
- Letakkan si manja dalam posisi meniarap dan lakukan urutan di belakang badan.
- Kerap sebut nama si manja kerana dapat membantunya menghilangkan tekanan.
- Perhatikan reaksi si manja semasa pertama kali menerima urutan daripada anda. Jika dia menunjukkan rasa gembira, anda boleh teruskan urutan.
Namun, jika dia menunjukkan ketidakselesaan, berhenti mengurut dan cuba lagi pada lain hari.
Membantu tumbesaran bayi pramatang
Sentuhan kasih sayang amat penting bagi bayi pramatang. Bayi pramatang yang kerap diurut menunjukkan perkembangan positif dari sudut mentalnya. Selain itu bayi ini juga lebih cepat pulih dan sihat berbanding bayi pramatang yang tidak diurut.
Keistimewaan-keistimewaan mengurut bayi
- Membantu tumbesaran fizikal bayi termasuk perkembangan otot-otot
- Meyakinkan bayi yang dia dikasihi dan mengeratkan ikatan kasih sayang bayi dan ibubapa
- Menenangkan bayi dan membantunya tidur dengan lebih lena
- Merangsang perkembangan psikologi bayi
- Membantu meredakan kesakitan bayi semasa demam