Pernahkah anak anda mengadu sakit tengkuk, bahu, pinggang atau belakang badan? Apakah tindakan anda selepas menerima aduan anak anda? Kebanyakan ibu bapa mungkin merasakan hal ini adalah remeh terutama jika yang mengadu adalah anak yang berusia 10 tahun.
Mungkin anda merasakan anak anda sengaja mengada-adakan cerita ataupun ingin menarik perhatian. Namun, sedarkah anda, apakah perkara yang membuatkan ‘penyakit orang dewasa’ ini singgah ke badan anak anda?
Perkembangan terjejas
Tahukah anda bahawa penggunaan harian peralatan tertentu mungkin penyebab anak anda mengadu sakit badan, dan juga, tumbesarannya pun mungkin terbantut? Perhatikan sejenak cara anak anda menggendong beg sekolahnya Bagaimanakah cara anak anda duduk sewaktu menonton televisyen, sewaktu makan atau sewaktu mengadap komputer? Ya, kesemua ini mungkin menjadi punca-punca yang menyebabkan kesihatan dan perkembangan anak anda terjejas.
Gaya hidup kanak-kanak kini yang sudah semakin tidak aktif dan kurang bergerak menyebabkan mereka ini terdedah kepada pelbagai isu kesihatan termasuk postur yang tidak baik serta sakit tulang belakang. Tambahan pula, posisi duduk yang tidak betul menyumbangkan lagi risiko kepada penyakit tersebut.
Kanak-kanak memerlukan peralatan yang direka khas untuk mereka kerana tubuh mereka mempunyai fisiologi yang berbeza berbanding orang dewasa. Rekaan sesetengah peralatan dan juga perabot yang tidak betul menyebabkan perkembangan kanak-kanak terjejas. Justeru itu, anak anda memerlukan barangan yang direka secara ergonomik bagi memastikan mereka membesar dengan sihat.
Produk ergonomik yang perlu untuk anak anda:
- Alat tulis
- Beg sekolah
- Meja tulis
- Kerusi
- Katil
- Tandas
- Perkakas makanan
Apa itu ergonomik?
Ergonomik diambil dari perkataan Greek iaitu ergo dan nomos yang membawa maksud peraturan bekerja yang bertujuan untuk memastikan suatu peralatan, kemudahan dan proses yang dilakukan dalam sesuatu aktiviti serasi dengan manusia. Ergonomik dalam konteks ini merujuk kepada seni menghasilkan produk yang memberikan keselesaan optima tanpa menyebabkan sebarang tekanan atau kecederaan kepada si pemakai. Hal ini dilakukan dengan mengkaji interaksi di antara tubuh manusia dengan produk yang digunakan.
Mengapa pilih ergonomik?
Perabot yang direka secara ergonomik dapat menggalakkan aliran darah yang lebih baik dalam tubuh kanak-kanak. Penambahan aliran darah ini akan meningkatkan pengambilan oksigen sel badan, yang membawa kepada tumbesaran yang lebih sempurna.
Dalam jangka panjang, tulang belakang dan otot anak anda akan lebih sihat dan terbentuk dengan sempurna jika menggunakan produk ergonomik yang betul.
Selain itu, kanak-kanak yang diberikan perabot ergonomik juga kurang berisiko untuk mendapat masalah tulang belakang, sebaliknya, tumbesaran otot dan tendon mereka mungkin dapat diperbaiki.
Kriteria memilih barangan ergonomik
Sewaktu membeli barangan ergonomik, anda perlu mempertimbangkan beberapa faktor lain, dengan tidak hanya berpandukan rupa semata-mata. Antara ciri-ciri yang perlu anda ketahui ialah keselesaan, keselamatan, persekitaran dan saiz badan anak anda.
Perabot yang direka secara ergonomik lazimnya diselaraskan untuk memenuhi keperluan anak yang membesar, terutama dari segi ketinggian dan berat badan. Sebelum membeli barangan tersebut, pastikan anak anda mencuba dahulu produk untuk memastikan keselesaan maksima.