Kekal Cantik Dari Hujung Rambut Hingga Hujung Kaki

Memiliki tubuh badan yang sihat dan cantik merupakan impian setiap insan, termasuklah para wanita yang bergelar ibu. Benar, kecantikan lahir dari dalam tetapi kecantikan luaran juga harus dititikberatkan bagi menambah keyakinan diri serta menjamin kesihatan yang baik. Jadi, apakah cara yang terbaik dalam menjaga kecantikan dari kepala hingga ke hujung kaki supaya anda kekal berseri walau pun sudah mempunyai anak?

Tidak mustahil untuk mendapatkan kulit yang mulus, rambut yang sihat dan cantik serta tubuh yang menawan jika anda mengetahui rahsia dan teknik yang betul.

Rambut Mahkota Wanita
Rambut umpama mahkota bagi wanita. Bagaimana hendak memastikan rambut sentiasa sihat dan cantik?

Atasi masalah kelemumur
Kelemumur merupakan musuh utama sesetengah wanita yang inginkan rambut yang sihat berseri. Masalah rambut berkelemumur mampu menggugat keselesaan anda dalam menjalani kehidupan seharian. Malah, kelemumur yang jatuh di bahu adalah amat memalukan!

Tahukah anda, bahan semula jadi seperti jus perahan limau nipis atau limau purut dapat membantu mengatasi kelemumur?. Sapukan secara rata ke seluruh kulit kepala dan dibiarkan selama beberapa minit sebelum dibilas. Cara ini bukan sahaja dapat merawat dan sekaligus menghindari kelemumur, malah akan menjadikan kulit kepala anda lebih wangi.

Hindari rambut berbau
Bagi kebanyakan wanita bertudung pula, mereka akan mudah mengalami masalah rambut berbau akibat terperap terlalu lama dan tiadanya aliran udara. Bagi mengatasi masalah ini, semburkan wangian rambut sebaik sahaja tudung dibuka. Ini dapat mengembalikan kesegaran kulit kepala dan mengekalkan haruman wangi rambut.

Melawan Penuaan
Siapa yang tidak mahu mempunyai kulit muka yang lembut dan kelihatan muda selalu? Atau dipuji kelihatan lima tahun lebih muda dari usia sebenar? Tetapi, bagaimana cara penjagaan agar kulit muka sentiasa anjal dan mulus?

Segelas air di waktu pagi
Tahukah anda, hanya dengan mengamalkan meminum segelas air sebaik sahaja bangun dari tidur dapat menaikkan seri wajah anda? Pastikan anda minum segelas air sebelum menggosok gigi kerana enzim yang terdapat dalam mulut anda mampu membantu melancarkan perjalanan darah dan menaikkan seri muka. Tetapi, jangan berhenti setakat itu sahaja, ya! Pengambilan air minuman perlulah berterusan sepanjang hari sekurang-kurangnya dua liter sehari. Ini dapat mengelakkan badan dari mengalami dehidrasi yang menjadi punca kulit kusam dan tidak bermaya.


  • 2 gelas air selepas bangun tidur
  • 1 gelas air sebelum mandi
  • 1 gelas air sebelum makan
  • 1 gelas air sebelum masuk tidur

Ambillah Vitamin C yang cukup
Penjagaan pemakanan juga dapat membantu mengembalikan keremajaan kulit anda. Mengambil makanan yang mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi mampu melindungi kulit dari radikal bebas setelah terdedah terlalu lama di bawah cahaya matahari. Vitamin C juga merangsang penghasilan kolagen yang bertindak sebagai agen melembapkan kulit serta mengurangkan kedutan. Antara makanan yang kaya dengan vitamin C ialah buah-buahan seperti epal, delima, kiwi dan anggur. Buah-buahan ini bukan sahaja enak, malah membantu menjaga kulit anda untuk kelihatan lebih muda.

Mata yang memukau
Dari mata turun ke hati. Mata yang memukau pasti memikat sanubari. Akan tetapi, untuk mendapatkan mata yang memukau bukanlah mudah. Ikuti tips di bawah.

Dapatkan tidur yang cukup
Setiap orang dewasa harus tidur sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam sehari. Tidak mendapat tidur yang cukup bukan sahaja akan membuatkan seseorang kelihatan tidak bermaya, malah akan menyebabkan mata menjadi sembab serta terbentuknya lingkaran gelap bawah mata.


Tanggalkan mekap mata sebelum tidur
Tidak menanggalkan solekan mata sebelum tidur juga boleh menyebabkan kesembapan selain merosakkan kulit di persekitaran mata. Oleh itu, sentiasa pastikan mekap mata dibersihkan sepenuhnya sebelum tidur.


Pentingnya cermin mata anti ultraviolet (UV)
Pastikan anda sentiasa memakai cermin mata anti ultraviolet (UV) setiap kali terdedah kepada cahaya matahari. Kesihatan mata sebenarnya mudah terjejas jika terdedah terlalu lama kepada sinar UV matahari dan boleh menyebabkan kerosakan kornea, kanta dan selaput retina mata. Penggunaan kaca mata anti UV dapat membantu untuk mengelakkan terjadinya silau mata sekali gus mengurangkan risiko kerosakan mata.

Senaman mata elak kelesuan
Selepas menghadap komputer terlalu lama pasti mata akan mengalami keletihan dan terasa kering. Terdapat beberapa langkah senaman mata yang boleh dilakukan bagi mengembalikan semula kesegaran mata. Tutup mata secara perlahan-lahan sehingga sepenuh mata tertutup dan lalukan sebanyak sepuluh kali. Selain itu, anda juga boleh cuba menggerakkan mata ke kiri, kanan, atas dan bawah dan diulang semula selama lima minit. Hasilnya, mata akan kembali segar.

Gigi putih, senyuman berseri
Siapa yang tidak tertawan jika ada bidadari tersenyum padanya dengan gigi putih yang tersusun rapi? Pasti mampu memukau setiap mata yang memandang. Jadi, bagaimana hendak mendapatkan senyuman bak bidadari ini?

Banyakkan kalsium, kurangkan manisan
Kalsium amat baik untuk memastikan gigi sentiasa sihat dan kuat. Makanan seperti susu, yogurt dan keju mengandungi kandungan kalsium yang tinggi. Elakkan dari mengambil makanan yang tinggi kandungan gula, yang boleh menyebabkan plak serta karang gigi.

Amalkan flossing
Pastikan anda melakukan flossing gigi sekurang-kurangnya sekali sehari. Flossing adalah satu cara pembersihan celah gigi dengan menggunakan benang khusus yang dipanggil dental floss yang mudah didapati di farmasi seluruh negara. Pegang dental floss dengan kedua tangan dan gerakkan benang di setiap celah gigi anda. Flossing dapat membersihkan sisa makanan yang terdapat di celah gigi yang sukar dicapai oleh berus biasa. Sisa makanan yang terdapat di celah gigi ini akan menyebabkan gigi rosak jika dibiarkan terlalu lama. Jadi, flossing mampu menyelamatkan senyuman anda.

Kuku patut bersih dan cantik
Kebersihan kuku melambangkan peribadi seseorang. Kuku yang kotor dan rapuh pasti menjemput pandangan jengkel orang sekeliling. Jadi, apakah penjagaan yang betul untuk memastikan kuku sentiasa cantik dan bersinar?

Potong kuku secara teratur
Untuk mendapatkan kuku yang sentiasa cantik, pastikan anda memotong kuku tangan dan kaki secara teratur dan kerap kerana kuku yang panjang akan mudah memerangkap kekotoran, dan juga mudah patah. Potongan juga haruslah kemas. Kuku boleh juga dikikir bagi menghaluskan hujung kuku.

Hentikan tabiat menggigit kuku!
Tinggalkan tabiat menggigit kuku serta-merta! Tabiat buruk ini bukan sahaja akan mengakibatkan rapuhan pada hujung kuku, malah menggalakkan bakteria dari kuku berpindah ke mulut.

Penjagaan kaki
Kulit kaki yang kering dan bersisik merupakan sesuatu yang lazim akibat daripada pengabaian. Sungguh tidak menarik! Apa kata anda menunjukkan kasih sayang sedikit kepada kaki anda yang amat berjasa itu?

Rajinlah menggunakan pelembab
Kulit kaki tidak mempunyai kelenjar yang menghasilkan minyak. Oleh itu, kaki cenderung untuk menjadi kering dan mungkin juga gatal. Gunakan pelembab yang berasaskan minyak pada kaki bagi mengekalkan kelembapan. Sebaiknya, gunakan setiap kali selepas mandi.

Sebenarnya, tidak susah untuk menjaga tubuh agar sihat dan kelihatan muda. Apa yang penting adalah kesungguhan dan usaha berterusan. Jangan sekadar separuh jalan sahaja, ya! Tubuh adalah aset terpenting bagi kita, jadi penjagaan tubuh yang rapi menjadi satu kemestian. Usahlah tunggu untuk tubuh bermasalah baru hendak bertindak. Waktu untuk bertindak adalah sekarang. Selamat mencuba!


Featured image: Shutterstock

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.