Kenali Tubuh Anda: Subur Atau Tidak?

Orang tua kata, wanita yang berpunggung besar akan mudah bersalin. Dan, jika bekas tempat duduknya panas selepas dia bangun, tandanya wanita itu subur. Benarkah stigma tersebut? Berapa ramaikah pasangan yang sedar akan kesuburan tubuh mereka?

Kesedaran tentang kesuburan adalah kaedah yang menggunakan fungsi normal dan semula jadi badan untuk menentukan hari yang membolehkan wanita untuk hamil. Ia juga dipanggil Perancang Keluarga Semula Jadi (NFP). NPF adalah kaedah mengawal kelahiran tanpa menggunakan sebarang alat atau dadah. Program ini merangkumi kaedah kalendar, suhu badan asas dan mukus serviks. Kaedah ini bertujuan untuk mengelakkan kehamilan daripada berlaku atau mengetahui waktu subur bagi meningkatkan peluang kehamilan.

Kaedah kalendar
Kitaran haid anda yang lepas boleh dijadikan panduan untuk menganggar waktu subur anda. Bagi mengesan kitaran haid dan mengenal pasti jangkaan ovulasi anda, sila ikut langkah demi langkah di bawah:

  1. Ketahui kitaran haid anda untuk tempoh 8 hingga 12 bulan
  2. Hari 1 akan menjadi hari pertama anda mula haid
  3. Pilih satu kitaran yang paling panjang dan satu kitaran yang paling pendek daripada kalendar period anda
  4. Hari pertama tempoh kesuburan anda akan ditentukan dengan menolak 18 hari daripada kitaran paling pendek. Contoh: Jika kitaran paling pendek 28 hari maka, (28-18=10). Maksudnya, hari pertama jendela kesuburan anda ialah hari ke-10 pada kitaran haid.
  5. Hari terakhir kesuburan pula dikira dengan menolak 11 hari daripada tempoh kitaran yang paling panjang. Contoh: Jika kitaran paling panjang anda 36 hari maka, (36-11=25). Maksudnya, hari terakhir jendela kesuburan anda ialah hari ke-25 pada kitaran haid. Jadi, tempoh subur anda ialah dari hari ke-10 hingga hari ke-25.

Seseorang wanita itu akan hamil jika sperma lelaki berjaya sampai ke salah satu daripada telur wanita (ovum). Jika anda sedang rancang untuk hamil, lakukan seks ketika tempoh jendela kesuburan.


Kaedah suhu badan asas
Suhu badan asas anda dikira dengan merujuk kepada perubahan pada suhu yang berlaku selepas ovulasi dan jika anda hamil, suhu akan kekal meningkat sehingga tempoh haid seterusnya. Dengan berpandukan carta, anda boleh mengagak bilakah waktu ovulasi anda.

  1. Ambil bacaan suhu setiap pagi selepas bangun tidur.
  2. Gunakan termometer asas untuk mengetahui perubahan kecil pada suhu badan anda.
  3. Catatkan suhu badan anda setiap hari di dalam kalendar.

Jika anda mencatatkan suhu badan anda setiap hari, anda akan dapat lihat suhu adalah konsisten sebelum tempoh ovulasi. Namun, sebaik sahaja menghampiri tempoh ovulasi, suhu akan menurun sedikit dan akan terus meningkat selepas ovulasi. Peningkatan suhu inilah yang menandakan ovulasi baru sahaja berlaku.


Kaedah mukus serviks
Konsistensi mukus serviks berubah semasa kitaran haid. Pada pertengahan kitaran, terdapat 3 hingga 4 hari anda kering selepas 5 hari kitaran haid.

Kebasahan mukus akan meningkat hari demi hari dan berakhir selepas 9 hari. Mukus semasa ovulasi mudah dikesan ketika ini iaitu ia akan menjadi lebih banyak, licin, jernih dan mudah diregang.


Sumber: http://www.nhs.uk/

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.