Kesan regangan kulit menjadi igauan ngeri buat ramai ibu hamil. Cela kulit semasa hamil ini membuatkan ramai mak buyung yang tertekan. Mana tidaknya, kulit yang dahulu licin dan halus kini sudah ditumbuhi garis-garis merah. Aduh! Bagaimana ingin merawatnya?
Kesan regangan kulit tidak boleh dielakkan, namun berita baiknya ialah kesan regangan kulit ini boleh dikurangkan kemunculannya. Terdapat ramai wanita yang bimbang jika garisan kesan regangan kulit tidak hilang daripada tubuh mereka. Malah, ada wanita yang sanggup melakukan rawatan pembedahan bagi menghilangkan kesan tersebut. Kini, anda tidak perlu bimbang lagi kerana terdapat cara semula jadi untuk mengurangkan kesan regangan kulit pada tubuh anda.
1. Putih telur
Mungkin ramai yang tidak tahu, putih telur kaya dengan protein dan asid amino. Protein yang terdapat di dalam putih telur membantu menyegarkan kulit anda. Sapukan lapisan putih telur pada bahagian kulit yang tercela tiga kali sehari. Biarkannya kering dahulu kemudian barulah dicuci dengan air. Teruskan lakukan ini selama dua minggu setiap hari untuk mendapatkan kesan yang sempurna.
2. Jus lemon
Jus lemon adalah rawatan yang mudah untuk menghilangkan kesan regangan kulit. Asid semula jadi yang ada di dalamnya dapat membantu mengurangkan dan memudarkan kesan regangan kulit. Bukan itu sahaja, asid semula jadi ini juga dapat membantu memudarkan parut jerawat dan memudarkan parut luka pada kulit. Apa yang anda perlu lakukan ialah keluarkan jus pada buah lemon dan sapukannya pada bahagian kulit yang meregang mengikut pusingan arah jam. Lakukan urutan lembut selama 10 minit dan biarkannya mengering. Kemudian, cuci bahagian kulit tadi dengan air suam.
3. Minyak zaitun
Sapuan minyak zaitun pada kulit semasa hamil dapat membantu mencegah kemunculan kesan regangan kulit. Minyak zaitun mengandungi vitamin E, yang berfungsi untuk membantu mengembalikan tisu kulit. Minyak ini juga dapat membantu melembutkan kulit jadi kulit anda akan mudah mengembang menjadikan kesan regangan kulit berkurangan. Minyak zaitun juga kaya dengan antioksidan dan nutrien yang baik untuk masalah gangguan kulit.
4. Air
Ibu hamil perlu minum air sekurang-kurangnya 8 gelas air kosong setiap hari. Minum air yang mencukupi dapat menghalang kulit daripada masalah kekeringan, yang seterusnya akan mendatangkan kesan regangan kulit.
5. Daun lidah buaya
Daun lidah buaya atau aloe vera merupakan rawatan homeopati yang paling berkesan untuk kesan regangan kulit dan pelbagai lagi masalah kulit lain. Aloe vera juga dikenali sebagai bahan memulih dan melegakan. Sapukan aloe vera terus pada kesan regangan kulit. Selepas beberapa minit, bersihkan dengan air suam. Lakukannya setiap hari untuk kesan terbaik.
6. Mentega koko atau shea
Sapuan mentega koko atau shea pada kulit beberapa kali setiap hari akan membantu melembapkan kulit kering dan juga memudarkan kesan regangan kulit. Jika anda sapukan bahan ini sepanjang kehamilan, anda mungkin dapat mengurangkan kemunculan kesan regangan sekaligus memudarkan garisan kesan regangan yang ada. Mentega koko juga terkenal sebagai bahan anti-penuaan dan anti-kedutan.
7. Minyak lavender, minyak badam dan chamomile
Sediakan campuran minyak yang kaya vitamin ini dengan memasukkan dua sudu teh minyak kacang badam, separuh sudu teh minyak lavender dan separuh sudu teh minyak chamomile. Gaulkan campuran minyak ini dan sapukannya pada bahagian yang terkena kesan regangan kulit.
8. Gula
Ambil sesudu gula dan campurkan dengan minyak badam dan jus lemon. Gaulkan dan sapukan pada bahagian kesan regangan kulit. Sapukan selama 8 hingga 10 minit dan kemudian bersihkan. Teruskan penggunaan selama sebulan atau sehingga kesan regangan kulit anda pudar.