Proses bercerai susu untuk bayi seawal usia enam bulan bukanlah perkara yang mudah. Anda perlu memperkenalkan makanan pejal pertamanya secara berperingkat. Malah, pemilihan makanan juga perlulah tepat supaya bayi mendapat khasiat dan nutrisi yang secukupnya untuk tumbesaran mereka. Banyak resipi yang telah anda cuba lakukan di rumah, namun anda juga ada kalanya rambang mata melihat makanan bayi komersil yang banyak terdapat di pasaran.
Makanan separa pejal mula diperkenalkan kepada bayi ketika usia mereka enam bulan. Boleh dikatakan hampir setiap minggu anda akan menukar menu baru untuk diperkenalkan kepada bayi anda. Sememangnya, bayi perlu diberikan pelbagai jenis makanan yang berkhasiat supaya mereka dapat mengenal bermacam-macam rasa.
Sewaktu mula ingin memperkenalkan makanan bayi, anda pasti akan berasa keliru sama ada ingin memberikan makanan homemade yang dibuat sendiri di rumah ataupun membeli sahaja makanan komersil yang banyak dijual di kedai dan di pasar raya. Mungkin pada awalnya, anda bersemangat memberikan makanan yang dimasak sendiri untuk bayi anda tetapi semakin meningkat bulan usia bayi anda, anda sudah mula mencari pilihan lain. Tambahan pula, jika anda merupakan seorang ibu berkerjaya yang mempunyai kekangan masa untuk menyiapkan makanan bayi di rumah. Masakan tidak, pulang sahaja dari kerja anda perlu menyediakan makanan untuk pasangan, mengemas rumah, membasuh pakaian bayi dan macam-macam lagi perkara yang perlu anda lakukan. Jadi, tidak hairanlah ada juga ibu-ibu yang memilih jalan memberikan bayi mereka makanan komersil.
Dalam pada itu, pelbagai pandangan dari ibu bapa lain tentang pemberian makanan bayi turut menjadi penyebab anda waswas untuk memberikan makanan bayi komersil kepada si manja. Jadi, mana satu yang boleh anda ikuti?
Homemade
Makanan yang dibuat di rumah adalah diyakini selamat untuk bayi kerana anda sendiri yang mengetahui kandungan atau bahan yang anda letakkan dalam resipi masakan si manja. Dengan memasak sendiri, anda dapat mengawal bahan-bahan yang diperlukan serta tidak diperlukan untuk tumbesaran bayi anda.
Keselamatan dan kesihatan anak anda diyakini selamat kerana anda yang akan mengendalikan sesi memasak. Pastinya, anda akan memastikan bahan yang anda pilih dikendalikan dengan betul seperti mencuci sayur-sayuran dan buah-buahan sebelum memasaknya atau mungkin anda hanya akan mengukus buah avokado atau kentang berbanding merebusnya, bagi mengekalkan khasiat yang ada pada bahan tersebut.
Semasa pertama kali memperkenalkan makanan pejal kepada bayi, anda perlu:
- Perkenalkan satu-satu jenis makanan dalam beberapa hari sebelum beralih ke makanan baru yang lain bagi mengenalpasti sama ada bayi anda ada alahan terhadap makanan tersebut.
- Jika anak anda tidak mahu menghabiskan satu-satu jenis makanan, cuba memberinya kembali selepas beberapa hari kerana mungkin dia belum sesuai dengan makanan yang diberikan.
- Tidak meletakkan bahan-bahan perasa seperti gula ataupun garam pada makanan bayi.
- Makanan yang sesuai diberikan kepada bayi usia enam bulan ialah makanan separa pejal seperti puri.
- Jika bayi masih belum boleh menerima makanan pejal, cuba campurkan sedikit susu ibu dalam makanannya.
Makanan komersil
Makanan komersil sering diberikan kepada bayi sebagai alternatif kepada makanan homemade, terutama bagi ibu bapa berkerjaya. Di samping menghidangkan bayi dengan makanan yang dimasak sendiri, tentunya ada ibu bapa yang telah siap-siap membeli makanan komersil sebagai persediaan jika anda mempunyai kekangan masa untuk menyediakan makanan homemade.
Makanan komersil yang lazimnya terdapat di pasaran adalah seperti bijirin nasi, oat, barli dan puri buah atau sayur.
Rata-rata ibu bapa memilih makanan bayi komersil kerana mudah untuk disediakan. Namun, terdapat juga kegusaran pada ibu bapa untuk memberikan anak mereka makanan komersil. Hal ini kerana banyak khabar angin yang mengatakan makanan komersil terdapat perasa tambahan, gluten dan pengawet. Justeru, jika ibu bapa ingin membelikan si manja makanan komersil, anda perlulah meneliti beberapa perkara sebelum membelinya.
Periksa label pada bungkusan
Pastikan makanan bayi anda tidak mengandungi bahan tambahan, perasa dan pewarna tiruan, atau garam dan gula.
Lihat khasiat
Jika anda ingin membeli bijirin untuk bayi lihatlah khasiat yang terkandung di dalamnya seperti kandungan zat besi atau sebagainya. Pastikan juga khasiat yang dilabel adalah khas untuk bayi dan bukannya orang dewasa. Perhatikan juga label sama ada kandungan bahan terdapat susu lembu atau susu soya yang mungkin memberi alahan kepada bayi anda.
Beli satu-satu jenis
Sama seperti makanan homemade, makanan komersil juga hanya perlu diberikan satu-satu jenis sahaja dan tidak bercampur dengan jenis-jenis lain. Hal ini adalah bagi mengenal sama ada si manja anda ada memiliki alahan terhadap satu-satu jenis makanan.
Perhatikan tarikh luput
Perkara paling penting sebelum membeli barang makanan adalah dengan melihat tarikh luput barang tersebut. Jika membeli makanan dalam tin, pastikan anda tidak memilih tin yang mempunyai kesan kemek atau karat kerana dikhuatiri memberi kesan terhadap kandungan makanan di dalam tin tersebut.
Organik lebih baik
Biarpun anda ingin membelikan anak anda makanan komersil, sebaik-baiknya pilihlah makanan yang berasaskan bahan organik supaya anak anda mendapat khasiat yang sepatutnya.
Ingatlah, makanan komersil hanyalah sebagai pengganti kepada makanan homemade. Jangan pula terlalu kerap memberikan si manja makanan komersil walaupun anda telah melihat khasiat yang terkandung padanya. Sebaik-baiknya, masakan hasil tangan anda adalah lebih elok diberikan supaya ikatan antara anda dan bayi lebih bermakna.