Rasa pening, pitam, lesu dan sakit-sakit badan adalah simptom dan gejala kehamilan yang dihadapi oleh bakal ibu. Tubuh anda tentunya ingin dimanja dan dibelai. Dapatkan urutan semasa hamil di spa, namun pastikan ianya selamat!
Sepanjang 9 bulan tempoh kehamilan, sudah tentu sesekali anda ingin merehatkan tubuh anda. Rawatan spa dan urutan adalah salah satu cara terbaik untuk melegakan tekanan dan segala simptom yang berkaitan dengan kehamilan.
Ramai ibu hamil yang takut untuk melakukan urutan atau rawatan spa kerana khuatir akan memberi kesan kepada bayi mereka. Sebenarnya, urutan atau rawatan spa semasa hamil tidaklah membahayakan jika dilakukan oleh orang yang pakar dan berpengalaman dalam melakukan urutan pranatal. Malahan, rawatan spa dan urutan semasa hamil dapat membantu bakal ibu merehatkan badan, di samping melegakan sakit-sakit yang dialami sepanjang hamil. Urutan yang baik dapat membantu bakal ibu mengurangkan sakit belakang serta melegakan sakit bahu dan pinggul, selain mengembalikan semangat dan memulihkan emosi bakal ibu.
Menurut kajian, urutan pranatal dikatakan dapat memberikan beberapa kesan positif kepada ibu hamil, termasuklah:
- Mengurangkan kemurungan
- Melegakan sakit belakang dan sakit kaki
- Mendapatkan tidur lena
- Menyuntik hormon kegembiraan
- Menurunkan hormon tekanan
- Menurunkan tahap kortisol yang menjadi penyebab kepada tekanan
Berhati-hati dengan penggunaan minyak pati dan aromaterapi semasa hamil kerana anda tidak tahu kandungan di dalamnya. Dikhuatiri kandungan minyak tersebut akan memudaratkan fetus jika disapukan pada kulit. Beberapa minyak seperti lemon dan rosewood dipercayai selamat untuk ibu hamil. Walau bagaimanapun, anda disarankan untuk merujuk kepada pakar terapi spa anda dahulu.
Tahukah Anda?
Penting untuk anda mencari tukang urut yang berkelayakan dalam melakukan urutan pranatal kerana mereka mempunyai pengetahuan tentang kehamilan dan anatomi tubuh badan wanita hamil. Jadi, mereka akan tahu urutan dan sentuhan yang boleh, serta tidak boleh dilakukan pada tubuh anda.
Selain itu, perkara paling utama yang perlu dibuat jika hendak ke spa adalah, memberitahu pekerja di spa tentang kehamilan anda. Kebanyakan spa ada menyediakan pakej khas buat wanita hamil termasuklah urutan istimewa dan urutan kaki.
Walau bagaimanapun, elakkan rawatan-rawatan yang boleh memudaratkan kandungan anda seperti sauna, mandi air panas, rawatan kulit perang, lulur atau steam. Hal ini kerana, rawatan yang panas akan menyebabkan suhu badan anda meningkat dan boleh memudaratkan bayi.
Bagi anda yang ingin melakukan rawatan muka, pastikan produk yang digunakan tidak mengandungi sebarang bahan kimia. Tanya dulu jenis produk yang digunakan oleh pihak spa sebelum melakukan rawatan muka. Pastikan hanya bahan semula jadi yang diletakkan di wajah anda.