Masa Berkualiti Untuk Ibu & Anak

Bonding merujuk kepada ikatan istimewa yang terjalin antara ibu atau bapa dengan anak mereka. Sempena Hari Ibu ini, hiburkan hati anda dengan meluangkan masa berdua bersama dengan si manja. Percayalah! Tiada yang lebih membahagiakan anda berbanding melihat keluarga anda gembira.

Sebagai ibu bekerjaya, sudah tentu kebanyakan masa anda banyak diluangkan di tempat kerja. Balik dari kerja pula, tugasan di rumah sedang menanti. Selain menguruskan anak, anda juga perlu memastikan keadaan rumah bersih dan selesa untuk keluarga anda tinggal dan berehat. Pernahkah anda tertanya-tanya, bilakah waktu berkualiti yang dapat anda luangkan bersama anak-anak anda? Tahukah anda bahawa kesejahteraan, keselamatan dan keyakinan diri anak-anak secara tidak langsung adalah bergantung kepada masa berkualiti mereka bersama ibu bapa.

Bagaimana meluangkan masa berkualiti bersama anak
Kebanyakan ibu menganggap dengan menyediakan anak makan dan menyiapkan anak ke sekolah adalah mencukupi untuk mereka menjalankan tanggungjawab mereka sebagai ibu. Ini adalah tidak benar sama sekali! Komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak adalah penting. Luangkan masa sekejap bersama anak setiap hari dengan bertanyakan aktiviti mereka pada hari tersebut dan melayan anak anda bercakap. Kanak-kanak memerlukan ibu bapa untuk mendengar segala cerita mereka dan melayan mereka berborak.

Masa berkualiti bukanlah masa yang anda luangkan bersama anak-anak anda dengan terlalu banyak aktiviti. Cukup dengan hanya anda meluangkan masa bersama-sama ketika makan, berborak, bermain atau memeluk si manja. Semasa melakukan perkara ini, elakkan gangguan-gangguan luar seperti merendahkan bunyi radio, televisyen ataupun telefon. Berikan tumpuan sepenuhnya kepada anak anda buat seketika. Tinggalkan segala masalah kerja anda dan dapatkan emosi yang sihat semasa meluangkan masa berkualiti bersama si manja.

Berikut adalah beberapa cadangan untuk anda meluangkan masa berkualiti bersama anak anda.

Berborak: Hanya berbual kosong tentang perkara-perkara mudah. Mungkin bagi anda ianya remeh tapi amat bermakna kepada si kecil. Contohnya, “Adik makan apa tengah hari tadi?” atau “Cikgu cakap apa kat sekolah?” Hal ini secara tidak langsung membuatkan anak anda rasa disayangi dan tahu anda mengambil berat tentang dirinya.

Buat kerja bersama: Kebanyakan ibu bapa melarang anak daripada mengacau mereka semasa menyiapkan kerja harian di rumah. Jangan begitu, Mama! Kerja di rumah seperti menyapu, melipat kain baju atau memasak boleh menjadi masa berkualiti anda bersama si kecil.

Aktiviti seni bersama: Kanak-kanak gemar melakukan aktiviti seni seperti melukis, menconteng atau mewarna. Ini juga boleh dijadikan aktiviti bermanfaat bersama anak dengan meluangkan masa bersama mereka semasa melakukan aktiviti tersebut.


Aktiviti Lain Ibu Dan Anak

  • Berjalan atau bersiar-siar di taman.
  • Mengajar anak menunggang basikal atau papan luncur.
  • Berenang.
  • Main badminton.
  • Menyanyi dan menari bersama.
  • Membacakan buku cerita sebelum tidur.
About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.