Masalah Kencing Kotor

Adakah anda pernah mengalami situasi di bawah selepas bersalin? Rasa sakit semasa kencing? Atau terkencing semasa batuk, bersin dan ketawa Jangan pandang remeh hal ini kerana anda mungkin mengalami masalah kencing kotor. Teruskan membaca artikel di bawah…

Sesetengah ibu baru mungkin akan berdepan dengan komplikasi selepas bersalin. Antaranya ialah masalah kencing kotor atau kencing tidak lawas. Kebiasaannya, masalah kencing kotor ini sering dihadapi oleh mereka yang sedang hamil terutama semasa trimester pertama dan bulan-bulan terakhir kehamilan.

Namun, tidak mustahil juga jika ibu baru turut mengalami masalah yang sama. Hal ini adalah kerana kaum wanita lebih mudah dijangkiti penyakit ini disebabkan saluran air kencingnya lebih pendek berbanding lelaki. Apabila jaraknya pendek, kuman dari luar lebih mudah untuk masuk ke dalam pundi kencing sekali gus menyebabkan jangkitan.

Wanita baru bersalin mungkin akan trauma dan menahan kencing kerana takut luka bersalin mereka pedih atau sakit. Ibu yang mengambil epidural semasa bersalin juga mungkin akan mengalami gangguan saraf pada pundi kencing sehingga menyebabkannya terdedah kepada masalah kencing kotor.


Kencing kotor terjadi kerana jangkitan kuman pada sistem saluran kencing merebak pada buah pinggang. Lazimnya, kencing kotor terjadi disebabkan oleh jangkitan dari luar dan masalah tahan kencing.


Jangan dibiarkan
Masalah kencing kotor tidak boleh dibiarkan kerana akan menyebabkan masalah lain pada badan. Jika penyakit ini tidak dirawat dengan sempurna akan menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang pada tempoh panjang. Selain itu, ibu baru juga akan mengalami demam jika masalah kencing kotor berterusan.

Bagi mengatasi masalah ini, ibu baru disaran untuk melakukan senaman kegel bagi memastikan otot sekitar pelviks dan pundi kencing kembali normal. Senaman kegel juga boleh dilakukan semasa anda hendak batuk, tergelak atau bersin.

Selain itu, latih pundi kencing anda untuk kencing setiap 30 minit. Hal ini adalah bagi mengelakkan anda untuk tidak kencing langsung. Kemudian, bolehlah dijarakkan lagi waktu kencing dalam satu jam sekali atau dua jam sekali dan seterusnya.

Elakkan juga meneran semasa membuang air besar kerana usus anda tidak boleh memberi tekanan tambahan kepada pundi kencing. Minum sekurang-kurangnya lapan gelas air masak setiap hari bagi mengelakkan dehidrasi dan jangkitan saluran kencing.

Kurangkan minuman kopi, sitrus, tomato, minuman ringan dan alkohol bagi mengelakkan iritasi dan membuatkan anda sukar untuk mengawal pundi kencing. Jangan menggunakan tampon, sebaliknya gunakan pad bagi membantu menyerap kebocoran air kencing anda.

Penjagaan kebersihan bahagian intim adalah penting. Pastikan anda mengelap kemaluan anda dari depan ke belakang bagi mencegah bakteria di bahagian belakang merebak ke faraj anda.


Kencing kotor selepas bersalin mungkin akan berlarutan antara tiga hingga enam bulan atau mungkin lebih lama jika tidak dirawat bagi sesetengah ibu baru.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.