Masalah pendengaran seringkali dikaitkan dengan warga emas. Namun, tahukah anda bahawa masalah ini juga boleh berlaku kepada bayi juga?
Simptom awal jika seseorang bayi itu mempunyai masalah pendengaran adalah bayi tidak memberi tindak balas terhadap sebarang bunyi. Secara semula jadinya, bayi akan berpaling ke arah bunyi jika terdengar walaupun hanya sedikit bunyi.
Terdapat dua faktor yang menyebabkan masalah pendengaran berlaku pada bayi. Pertama, masalah kongenital, iaitu keadaan di mana bayi mengalami masalah ini sejak lahir, contohnya situasi yang dinamakan canal. Secara ringkasnya, ia keadaan di mana anatomi telinga bayi semasa lahir tidak wujud dengan sempurna seperti tiada cuping telinga ataupun tiada saluran telinga. Kedua, bayi boleh mengalami masalah pendengaran jika selepas lahir mendapat jangkitan lahir virus atau masalah seperti jaundis/ demam kuning yang terlampau tinggi sehingga memberi masalah kepada pendengaran.
Neonatal hearing screening
Di Malaysia, ujian saringan pendengaran (neonatal hearing screening) diwajibkan untuk bayi baru lahir bagi mengesan sama ada mereka mengalami masalah pendengaran ataupun tidak. Lazimnya, ujian saringan ini akan dilakukan di awal usia bayi satu hari. Jika ujian tersebut lulus, maksudnya organ pendengaran bayi terbentuk dengan sempurna dan bayi boleh bertindak balas kepada bunyi. Akan tetapi, jika ujian gagal, pakar akan rujuk semula dan melakukan ujian kali kedua ketika usia bayi 1 bulan.
Ujian kedua dilakukan kerana ada kemungkinan semasa ujian pertama, terdapat air ketuban tersumbat dalam telinga bayi baru lahir. Jika disebabkan masalah itu (air ketuban), sepatutnya dalam tempoh sebulan selepas ujian pertama itu sudah tiada masalah. Namun, sekiranya ujian kedua masih lagi gagal, ibu bapa perlu membuat temu janji untuk ujian saringan kali ketiga iaitu semasa umur bayi 3 bulan. Ujian spesifik yang dilakukan oleh pakar analogi akan memberitahu sama ada keputusannya lulus ataupun gagal. Jika masih gagal, ujian berterusan akan dilakukan semasa bayi berusia 6 bulan dan seterusnya semasa umurnya setahun. Bayi akan dipantau dan menjalani ujian yang lengkap sampai usianya setahun.
Ibu bapa disarankan supaya membawa anak menjalani ujian lebih awal supaya bantuan boleh diberi seawal mungkin kepada bayi yang dikesan mengalami masalah pendengaran. Lebih awal rawatan dilakukan, lebih baik keputusannya. Pengesanan awal penting untuk bayi kerana masalah pendengaran boleh memberi kesan kepada perkembangan otak mereka.
Dua ujian saringan untuk bayi adalah ujian Auditory Brainstem Response (ABR) dan ujian Otoacoustic Emissions (OAE).
Langkah untuk mengelak masalah pendengaran di kalangan kanak-kanak
Kurangkan bunyi kuat
Kanak-kanak berumur di bawah lima tahun sering diberikan mainan yang berbunyi bising. Ibu bapa disarankan untuk mengelak daripada memberikan anak-anak mereka, khususnya bayi sebarang mainan yang berbunyi kuat. Begitu juga keadaannya jika anak-anak menggunakan gajet seperti tablet dan smartphone. Kurangkan bunyi pada gajet yang diberikan pada anak-anak.
Beri perhatian khusus kepada kesihatan anak
Jika anak anda mengalami masalah yang berkaitan saluran pernafasan seperti batuk ataupun selesema, jangan biarkan ianya berlarutan. Bawa anak anda mendapatkan rawatan segera. Jika dibiarkan, kemungkinan akan berlaku lelehan atau cecair dalam telinga seperti nanah, di mana ia mampu meninggalkan kesan buruk pada pendengaran kanak-kanak.
Perhatikan pertuturan si kecil
Memang perlu untuk kanak-kanak di bawah usia lima tahun untuk belajar bahasa. Pendengaran akan memberi kesan kepada kemahiran pertuturan kanak-kanak. Kanak-kanak akan bertutur mengikut apa yang mereka dengar. Contohnya, kalau dia (kanak-kanak) dengar ‘saya’, dia akan sebut ‘saya’. Akan tetapi, jika pendengarannya terjejas, yang disebabkan oleh faktor seperti tahi telinga tersumbat ataupun keras, atau nanah dalam telinga, perkataan ‘saya’ yang disebut akan menjadi ‘caya’ atau ‘aya’. Satu huruf akan hilang disebabkan kurang pendengaran.
Pendengaran dan aktiviti otak
Pendengaran adalah ibarat satu input. Apa-apa bunyi atau apa-apa perkataan yang disebutkan kepada bayi akan disambung secara langsung kepada otak. Lagi banyak input yang kita berikan kepada bayi, lagi bertambah banyak aktiviti dalam otak mereka. Jika berlaku masalah atau kehilangan pendengaran, apa yang kita bagi 100%, kanak-kanak hanya akan dapat 50% sahaja di mana aktiviti otak kurang aktif.
Featured image source: www.ourkidsmagazine.com