Otak kanak-kanak ibarat span yang akan menyerap apa sahaja yang diajarkan kepada mereka. Ketika inilah peluang untuk ibu bapa memanfaatkan peringkat ini dengan mengajar kanak-kanak tentang pembelajaran atau perkara yang terbaik buat diri mereka. Salah satunya adalah dengan cara mengajar bahasa.
Kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa tidak dapat disangkal lagi. Justeru itu, setiap ibu bapa perlu memulakan langkah awal untuk mendidik anak-anak mencintai bahasa Inggeris. Selain berkomunikasi, anda boleh memupuk minat anak terhadap bahasa Inggeris melalui buku. Namun begitu, pemilihan buku yang betul dan bertepatan dengan peringkat umur kanak-kanak perlu dilakukan supaya minat anak semakin bercambah. Ketahui panduan memilih buku bahasa Inggeris untuk kanak-kanak berusia bawah 7 tahun:
1. Tema
Apakah yang disukai oleh anak anda? Adakah dia menyukai haiwan, buah-buahan atau bangsawan? Pilih buku berdasarkan minat anak anda. Jika kegemarannya berkaitan dengan haiwan, anda boleh belikan buku cerita tentang haiwan seperti Red Riding Hood atau jika anak anda menggemari cerita fantasi seperti kehidupan putera puteri, anda belikannya buku Cinderella atau Snow White.
2. Gambar
Tidak semua kanak-kanak boleh membaca dengan baik. Justeru itu, bagi meningkatkan lagi minat anak anda terhadap buku bahasa Inggeris, belikannya buku yang mengandungi banyak gambar. Gambar atau ilustrasi yang ada dalam buku dengan warna-warna yang menarik dapat membuatkan anak anda berminat untuk mengetahui cerita yang disampaikan dalam buku tersebut.
3. Teks
Kanak-kanak tidak sukakan buku yang mengambil masa berhari-hari untuk dihabiskan. Jadi, anda pilihlah buku yang memaparkan kurang perkataan untuk anak-anak. Selain itu, pilih juga buku yang memaparkan huruf yang besar-besar bagi memudahkan kanak-kanak untuk membaca. Jangan pula anda belikan anak anda buku seperti novel untuk pembacaan mereka. Kanak-kanak gemarkan buku yang ringkas dengan ayat yang pendek-pendek untuk memahami jalan cerita yang ada dalam buku.
4. Sajak
Bagi buku bahasa Inggeris, kanak-kanak akan lebih mudah tangkap jika ayat yang digunakan dalam buku berbentuk sajak. Ingatkah anda sajak Baa Baa Black Sheep dan Twinkle Twinkle Little Star? Bentuk-bentuk perkataan seperti ini dengan gaya pembacaan yang menarik dapat menarik minat kanak-kanak untuk terus membaca. Selain itu, jika anda belikan anak anda buku yang berbentuk cerita, carilah buku yang mengandungi perkataan berulang-ulang. Contohnya seperti buku Monkey Puzzle.
5. Kepelbagaian
Biarpun anak anda meminati satu-satu jenis cerita, namun jangan hanya memberikannya membaca satu jenis buku sahaja. Berikan kepelbagaian genre bacaan buat anak anda. Contohnya, untuk buku pertama anda berikan peluang kepada anak anda memilih buku yang diinginkan mengikut minatnya (dengan bantuan anda), tetapi buku kedua dan seterusnya, cubalah pilih buku lain yang boleh dipelajari oleh anak anda seperti buku berkaitan nombor, angkasa atau tubuh badan.