Menangani Ruam Lampin

Kebanyakan bayi pasti mengalami ruam lampin semasa umur mereka antara satu hingga 12 bulan. Ruam jenis ini lazimnya berlaku di sekitar kawasan sulit, di celah kelangkang dan juga di bahagian punggung. Kulit bayi yang terkena ruam ini harus dijaga rapi supaya pulih kembali.

Ruam lampin terjadi berikutan pendedahan kulit pada air kencing dan/atau najis. Di samping itu, kelembapan berpanjangan, geseran antara kulit dan lampin serta pengeluaran ammonia dari najis tadi boleh menimbulkan iritasi pada kulit si manja dan menimbulkan ruam lampin. Ruam lampin adalah salah satu punca bayi merasa tidak selesa dan merengek.

Bagaimana hendak mengelaknya?
Kata orang mengelak adalah lebih baik daripada merawat, dan ruam lampin memang dapat dielak dengan sedikit usaha dan juga ketelitian dalam penjagaan kulit bayi. Berikut adalah cara-cara untuk mengelakkan ruam lampin.

Lebih kerap tukar lampin: Ini juga bermaksud menukar lampin bayi sebelum air kencing ataupun najis dapat bertindakbalas dengan kulit. Oleh itu, periksalah lampin bayi sekerap mungkin untuk mengetahui jika bayi itu telah membuang air besar, atau lampinnya telah basah dengan air kencing.

Sapukan krim ruam lampin: Krim ruam lampin bukan sahaja untuk merawat ruam yang sedia ada tetapi juga dapat membantu mengelak daripada terkena ruam. Ia berfungsi sebagai penghadang antara kulit bayi yang sensitif dengan air kencing atau najis, supaya dapat membeli sedikit masa sebelum lampin bayi itu ditukar.

Bersihkan kulit bayi dengan produk pembersih yang sesuai: Bukan semua produk bayi seperti tisu basah dan sebagainya sesuai untuk semua bayi. Banyak antara kes-kes ruam lampin muncul akibat daripada penggunaan produk yang tidak sesuai. Jika was-was, gunakan air bersih dan kapas sahaja untuk membersihkan kulit bayi dan berikannya peluang untuk pulih sepenuhnya. Yang pentingnya, kulit mesti bersih daripada sisa-sisa najis.

Pilih lampin yang sesuai dan serasi dengan kulit bayi: Terdapat pelbagai jenama lampin yang kian popular di pasaran tetapi tidak semestinya semua jenama tersebut sesuai dengan kulit semua bayi, malah ada bayi yang mempunyai alahan terhadap sesetengah jenama lampin disebabkan bahan-bahan buatan lampin tersebut. Jika sejenis lampin itu disyaki menyebabkan kulit bayi yang memakainya merah dan beruam, hentikan pemakaian lampin tersebut dengan segera dan gunakan lampin kain sementara menunggu ruam itu pulih.

Biar tanpa lampin untuk seketika: Setiap hari, cuba biarkan si-manja bermain tanpa lampin untuk sekurang-kurangnya setengah jam untuk membolehkan kulit punggung bernafas. Alaskan lantai atau permukaan lain dengan tuala bersih sebelum meletakkan si-manja di atasnya.


Pakai-buang atau lampin guna semula?
Ramai yang berpendapat bahawa lampin guna semula dapat membantu menangani ruam lampin dengan baik manakala lampin pakai buang tidak sesuai untuk dipakai jika ingin mengelak ataupun merawat ruam lampin. Hakikatnya ialah, tidak kira apa jenis lampin pun yang digunakan, tanpa penjagaan rapi, ruam lampin pasti muncul. Oleh itu, rajinlah menukar lampin, jaga kebersihan kawasan lampin bayi dan berilah perhatian sewajarnya kepada produk penjagaan kulit bayi.


Perlukah berjumpa dengan doktor?
Lazimnya, ruam lampin merupakan keadaan yang dapat ditangani dengan sendiri di rumah dengan penjagaan rapi. Walau bagai mana pun, jika keadaan ruam itu bertukar menjadi serius, dan bayi pula mengalami demam disebabkan jangkitan kuman di kawasan lampin, bawalah dia berjumpa dengan doktor untuk mendapat rawatan dan juga ubat-ubatan yang sepatutnya.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.