Mengapa Bayi Perlu Waktu Bermain?

Cuba perhatikan bayi anda semasa dia sedang bermain. Pasti anda akan lihat wajahnya tersenyum girang sambil menunjukkan pelbagai ekspresi teruja.

Melalui bermain, bayi dan kanan-kanak akan membentuk elemen yang diperlukan untuk berjaya dalam kehidupan mereka, iaitu bermula daripada kemahiran penyelesaian masalah, kemahiran sosial sehinggalah asas literasi iaitu mengenal huruf, matematik dan asas sains.

Kanak-kanak yang sibuk bermain sebenarnya sedang belajar. Bayi yang bermain blok bukan hanya menggerakkan blok tersebut sahaja sebaliknya mereka sedang belajar. Bermain blok merupakan cara pembelajaran dan pemahaman tentang bentuk dan keseimbangan. Bermain dengan rakan-rakan sebaya lain juga penting bagi bayi dan kanak-kanak. Di sini, kanak-kanak belajar kemahiran sosial, bertolak-ansur dan berkongsi, yang kesemuanya adalah aspek penting dalam pembentukan emosi dan sosial. Melalui bermain juga, kanak-kanak akan belajar lebih banyak aspek tentang kemahiran yang diperlukan di dalam kehidupan mereka.

Image source: Unsplash

Belajar menyelesaikan masalah
Untuk berjaya dalam akademik dan sosial, kemahiran menyelesaikan masalah adalah penting. Secara tidak langsung, bayi dan kanak-kanak boleh mempelajarinya melalui bermain. Pelbagai jenis mainan semasa perkembangan bayi dan kanak-kanak adalah alat yang menghala kepada kecemerlangan mereka baik dari segi pembelajaran atau kehidupan.

Malahan juga, jika ibu bapa memberikan perkakas rumah seperti mangkuk plastik, kotak atau cawan plastik kepada bayi mereka supaya mereka berhenti menangis juga sebenarnya menyediakan peluang anak kecil untuk menerokai saiz dan isipadu barang tersebut serta memanipulasi objek dalam cara yang berbeza. Hal ini sekaligus membentuk ke arah kanak-kanak yang berfikiran kreatif.

Bahasa
Adakah anda selalu berbicara dengan bayi anda? Adakah anda suka mendendangkan lagu kepada bayi atau bercerita kepada mereka? Tahukah anda bahawa semua perbuatan ini membawa kepada perkembangan dalam bahasa mereka supaya mereka lebih cintakan bahasa dan memahami bahasa dengan betul. Cara ini juga merupakan kaedah informal untuk anda mengajar anak anda berkomunikasi dan memahami bahasa pertuturan.

Image source: Pexel

Bermain dengan angka
Bayi mula belajar konsep matematik sejak awal lagi, cuma kita tidak perasan bayi sudah mula mempelajarinya melalui bermain. Apabila anda mendedahkan bayi kepada barang mainan yang mereka minati, mereka akan mengenal saiz mainan sama ada lebih kecil atau lebih besar, lebih banyak atau lebih sedikit, lebih panjang atau lebih pendek serta lebih berat atau lebih ringan. Anda boleh terus bermain dengan mereka dengan menyanyi sambil mengira mainan.

Ketua kecil
Bermain tidak memerlukan anak anda rasa terpaksa perlu bermain. Anda juga tidak boleh mendesak anak untuk memilih permainan yang dirasakan sesuai buat diri mereka. Setiap kegemaran kanak-kanak adalah berbeza. Mereka yang akan membuat keputusan untuk bermain mainan mengikut minat. Apabila bercakap tentang barang mainan, cara terbaik yang boleh anda cuba lakukan adalah dengan menyediakan mainan yang sesuai mengikut peringkat umur mereka. Bayi dan kanak-kanak sebenarnya mudah menyesuaikan diri dengan mainan yang sesuai mengikut usia mereka jika anda memberikan mainan yang tepat.

Justeru, peruntukkan waktu untuk anak anda bermain kerana mereka akan mendapat banyak manfaat melaluinya.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.