Majoriti kanak-kanak yang sedang membesar mempunyai satu sikap yang sinonim iaitu cenderung untuk memilih makanan yang kurang berkhasiat. Ini menjadikan mereka begitu cerewet dalam pemilihan makanan.
Mereka dengan mudah akan menolak makanan yang tidak digemari dengan perilaku yang kurang menyenangkan seperti merengus dan membentak-bentak. Keadaan ini menimbulkan kesukaran bagi ibu dan bapa terutama semasa berada di meja makan.
Melayani selera anak-anak kecil yang cerewet dalam pemilihan makanan mewujudkan kesukaran terutamanya bagi seorang ibu. Tugas penyediaan menu harian keluarga yang berbeza-beza setiap hari bukanlah suatu perkara yang mudah. Ini kerana, seorang ibu perlu memastikan hidangan tersebut mampu memenuhi selera setiap ahli keluarganya.
Namun, agak sukar untuk menyeragamkan selera kanak-kanak dengan selera orang dewasa. Satu jenis hidangan yang dimasak untuk semua ahli keluarga tidak semestinya bersesuaian dengan selera menu si kecil anda. Maka dengan itu, masalah anak cerewet dalam memilih makanan ini seharusnya ditangani dengan pendekatan yang bijak dan berhemah.
Ragam Si Kecil Ketika Di Meja Makan
Salah satu tanda kanak-kanak tidak menyukai suatu makanan yang dihidangkan ialah apabila mereka menolak untuk makan suatu hidangan yang dihulurkan dengan mimik muka yang tidak menyenangkan.
Sikap sebegini akan menambahkan lagi kekecewaan si ibu yang bertungkus lumus menyediakan makanan. Lebih parah lagi, kita tidak mahu anak-anak yang masih kecil ini merengek di hadapan orang ramai semasa menikmati makanan di restoran kerana pastilah ia akan mengganggu kehadiran pelanggan lain. Menjadi tanggungjawab ibu dan bapa untuk mendidik anak-anak yang masih kecil ini supaya menghormati apa jua rezeki makanan yang dihidangkan.
Mendidik si kecil supaya tidak cerewet memilih makanan adalah antara didikan awal yang memberi impak yang besar terhadap perilaku mereka setelah dewasa. Didikan secara konsisten dan penuh disiplin pasti mampu mengubah perilaku si kecil supaya tidak meragam dan tidak lagi cerewet memilih makanan. Ikuti beberapa tips berguna yang dicadangkan ini tentang bagaimana mengatasi sikap anak-anak yang cerewet memilih makanan.
Bertanya tentang makanan kegemaran mereka, elakkan tawar-menawar
Adalah lebih baik sekiranya anda bertanya lebih awal kepada si kecil jenis masakan yang diingini pada hari tersebut. Setiap kanak-kanak pasti ingin menikmati makanan kegemaran yang disukai. Bertanya pendapat tentang rancangan masakan anda akan membuatkan mereka rasa lebih dihargai.
Tetapi, bersikap bijaklah semasa bertanya pendapat si kecil tentang menu masakan yang diinginkan. Sebagai contoh, si kecil anda telah meminta hidangan ayam goreng selama seminggu berturut-turut. Bagi kanak-kanak, satu-satunya hidangan ayam yang paling enak di atas dunia ini ialah ayam goreng.
Anda pula mempunyai perancangan lebih menarik iaitu menu nasi ayam kerana ia lebih berkhasiat apabila disertakan dengan sayur salad dan kuah sup yang kurang berminyak. Di sini, anda tidak perlu tawar menawar untuk menyediakan jenis masakan mengikut pilihan mereka. Sebaliknya, yakinkan mereka bahawa menu masakan berasaskan ayam anda itu jauh lebih menyelerakan dan sedap berbanding ayam goreng yang digoreng dengan minyak semata-mata.
Pemanis Mulut
Tetapkan menu pemanis mulut seperti kek, aiskrim dan biskut pada hari-hari tertentu sahaja untuk mengelakkan ketagihan kanak-kanak terhadap makanan manis.
Ajar mereka supaya bersederhana dalam saiz hidangan
Salah satu kaedah untuk menganggarkan saiz hidangan makanan untuk si kecil ialah dengan melihat kepada saiz badan anak anda.
Adakalanya ibu bapa terlalu gemar memaksa anak-anak menghabiskan makanan dalam hidangan saiz yang besar. Antara alasan yang diberikan ialah supaya anak membesar dengan cepat. Tanggapan sebegini sebenarnya kurang tepat dan patut dielakkan oleh ibu bapa. Ia adalah antara penyebab kanak-kanak menjadi cerewet semasa di meja makan.
Biarlah si kecil anda menentukan sendiri sama ada ingin menghabiskan semangkuk, sepinggan atau bertambah hidangan nasinya. Kaedah terbaik ialah anda menyediakan pilihan untuk saiz hidangan lauk. Sebagai contoh, telur sambal yang dipotong empat bahagian, ikan goreng yang dipotong kecil-kecil, mengurangkan campuran sayuran hijau dalam sup sayur dan sebagainya. Dengan cara ini, kanak-kanak dapat mendisiplinkan diri dalam semasa memilih saiz hidangan makanan mengikut apa yang dikehendakinya.
Biarkan si kecil makan sendiri
Majoriti kanak-kanak yang masih kecil gemar sangat gemar berdikari dalam bab menyuap makanan. Mereka seboleh-bolehnya tidak mahu disuapkan makanan oleh orang dewasa kerana merasa lebih seronok apabila dapat bermain dengan sudu, garfu, makanan di dalam pinggan mangkuk, menyuapkan makanan ke dalam mulut dan memegang cawan dengan sendiri.
Bayi yang berusia sembilan bulan ke atas biasanya sudah boleh menggenggam objek seperti makanan. Kebiasaannya bayi yang dilatih untuk makan sendiri akan kurang meragam di meja makan. Malah, adakalanya mereka lebih selesa makan tanpa layanan berlebihan oleh ibu bapa. Berikan mereka sudu dan garfu plastik untuk membiasakan mereka menyuap sendiri makanan ke mulut.
Fahami punca si manja cerewet semasa makan
Seringkali juga ibu bapa menjadi berang atau naik marah apabila melihat si kecil mencampakkan makanan yang tidak digemari ke atas lantai. Sikap sebegini pastinya tidak elok jika dibiarkan. Namun, memarahi mereka tanpa cuba memahami punca si kecil bersikap demikian juga akan menyukarkan lagi anda untuk mengawal perilaku cerewet anak anda.
Perilaku anak yang sebegini sebenarnya merupakan salah satu petanda kesukaran untuk mereka menyesuaikan diri dengan suatu makanan baru. Adakalanya mereka tidak tahu cara untuk makan suatu jenis makanan. Sebagai contoh, kesukaran untuk mengunyah hirisan epal yang tidak dibuang kulit yang akhirnya menyebabkan mereka membuang buah tersebut ke lantai.
Membiarkan kanak-kanak menyuap sendiri sup sayur yang panas akan membuatkan mereka hilang sabar. Di usia yang masih kecil, sudah pasti mereka tidak tahu bagaimana meniup makan supaya ia tidak terlalu panas. Apabila kanak-kanak hilang sabar semasa di meja makan, mereka akan bertindak merengek dan menangis disebabkan perut yang belum dipenuhi ketika lapar.
Tips
Sentiasa mengajar si kecil supaya mendahulukan hidangan utama yang mengenyangkan seperti nasi sebelum menikmati sebarang jenis pemanis atau pencuci mulut. Hidangan utama bertujuan supaya mereka cepat kenyang. Dengan ini, mereka dapat mengurangkan kuantiti pengambilan makanan yang kurang mengenyangkan.
Sediakan dua pinggan yang berasingan
Sikap membuang makanan ke lantai yang dilakukan oleh anak-anak kecil perlu diperbetulkan sedari awal. Salah satu cara mengajar mereka supaya menghormati makanan ialah dengan mengajar mereka mengasingkan makanan yang disukai dan yang tidak disukai.
Caranya adalah dengan menyediakan pinggan berasingan dan memberi arahan kepada mereka untuk tidak membuang makanan ke lantai. Sebaliknya galakkan mereka mengasingkan makanan yang tidak disukai dalam pinggan berasingan yang disediakan tanpa pertolongan orang dewasa. Cara ini dapat mengajar mereka beradab dan menghormati nilai makanan yang dihidangkan.
Kreatif dalam penyediaan makanan
Pada usia kanak-kanak yang penuh imaginasi dan kreativiti, mereka biasanya lebih tertarik terhadap makanan yang dipersembahkan luar daripada kebiasaan. Pernahkah anda melihat bagaimana kreatifnya gaya orang Jepun menyediakan hidangan bento yang sungguh comel dan berwarna-warna sebagai bekalan makanan anak mereka di sekolah?
Penyediaan bento sememangnya memerlukan daya kreativiti seseorang. Anda boleh membentukkan makanan menjadi karakter kartun kegemaran si kecil. Pelbagaikan menu hidangan dalam satu bekas supaya mereka boleh melihat kepelbagaian warna dalam satu hidangan. Anda boleh bekalkan nasi, lauk, pemanis mulut seperti kek dan buah-buahan dan juga sayuran dalam satu bekas hidangan bento.
Bersabar Melayani Karenah Anak Yang Cerewet Makan
Bersikap menengking serta tidak mempedulikan reaksi cerewet di kecil ketika makan hanya akan menjadikan mereka bertindak lebih agresif. Sebagai ibu bapa yang matang, anda seharusnya perlu lebih bertenang dalam mengawal keadaan. Berikan nasihat yang baik serta pamerkan contoh yang positif tentang adab terhadap makanan di depan anak-anak yang masih kecil. Dengan cara ini, mereka akan dapat menilai dengan mata hati dan menghargai betapa berharganya nilai setiap makanan.
Featured image source: www.nbcnews.com