Mabuk kehamilan, juga dikenali sebagai morning sickness, lazimnya bukan sesuatu yang serius tetapi bagi ibu hamil yang mengalaminya, ketidakselesaan yang disebabkan oleh mabuk hamil ini kadang-kadang melampau. Harapan kami, tips dalam artikel ini dapat membantu.
Alam kehamilan sememangnya suatu pengalaman yang indah bagi setiap wanita. Tetapi, sebagaimana didapati ramai wanita yang hamil, mabuk kehamilan mungkin mencabar pengalaman ini. Boleh dikatakan hampir setiap wanita hamil merasai simptom awal kehamilan ini yang termasuk rasa muntah-muntah, loya dan pening kepala. Meskipun istilah bahasa Inggerisnya ialah morning sickness, atau sakit pagi, namun tidak semestinya wanita hamil mengalami gejala ini di waktu pagi sahaja. Mabuk kehamilan ini boleh juga dialami pada bila-bila sahaja, termasuk waktu malam. Malah, ramai yang tidak cukup tidur kerana terpaksa bangun di malam gara-gara simptom mabuk kehamilan. Simptom ini boleh dialami seawal usia 6 minggu dan berterusan sehingga usia 12 hingga 14 minggu kehamilan. Ada juga wanita yang mengalaminya sepanjang tempoh kehamilan.
Tips Untuk Pengawalan Mabuk Kehamilan
Berehat
Letih berulang-alik ke tandas untuk muntah? Tambahan pula jika anda berada di tempat kerja, pasti waktu kerja anda terjejas kerana terlalu banyak kali ke tandas. Jadi, ambillah cuti sakit atau cuti rehat bagi merehatkan diri daripada melakukan sebarang kerja. Begitu juga jika anda seorang suri rumah yang sedang mengalami mabuk kehamilan – berehat seketika daripada melakukan kerja-kerja rumah dan kerja harian.
Jauhi aroma yang tidak menyenangkan
Salah satu penyebab yang mampu memburukkan lagi keadaan morning sickness ialah bau-bauan. Tidak kiralah sama ada bau-bauan tersebut busuk ataupun wangi, namun hidung ibu mengandung yang sedang mengalami mabuk kehamilan kadangkala sukar dijangka. Ada kalanya ibu hamil tidak boleh bau haruman minyak wangi yang biasa dipakai oleh suami ataupun diri sendiri. Dan, ada ketikanya ibu hamil alah kepada haruman penyegar kereta, pencuci lantai ataupun sabun basuh. Jika begitu, elakkan diri anda daripada menghidu haruman-haruman tersebut. Ramai ibu hamil mendapati bahawa aroma pudina dan/atau lemon dapat membawa kelegaan apabila timbulnya mabuk kehamilan. Bawalah sebotol haruman seperti itu ke mana-mana jika ia dapat membantu.
Carilah punca
Gejala mabuk kehamilan pada amnya akan datang dan pergi. Jika anda dapat memberi sedikit perhatian kepada masa-masa perasaan loya itu muncul, kemungkinana besar anda dapat mengetahui puncanya. Mungkin ia berlaku setiap kali anda terbau sesuatu bau tertentu. Ataupun, mungkin ia asyik timbul apabila sedang makan makanan tertentu? Carilah puncanya dan anda mungkin dapat mengawal mabuk kehamilan itu serba sedikit.
Kehamilan menyebabkan kepekaan hidung
Menurut pakar, salah satu punca mengapa hidung wanita hamil lebih peka adalah kerana peningkatan hormon estrogen dalam tubuh mereka. Hormon ini akan menyebabkan deria bau wanita hamil meningkat dan sesetengah bau akan membuatkan mereka rasa loya atau tidak selesa.
Makan sedikit tapi kerap
Sebagai ibu hamil, memang mencabar kalau terpaksa berdepan dengan perasaan loya setiap kali ingin makan. Namun begitu, ingatlah bahawa tubuh anda serta bayi dalam kandungan anda perlukan nutrien-nutrien tertentu untuk kesihatan dan perkembangan. Cubalah kurangkan amaun yang dimakan dan tambahkan pula kekerapannya. Ramai ibu hamil telah mendapati bahawa cara ini membawa kelegaan kepada mereka.
Minum air – Jangan tunggu sehingga dahaga
Tahukah anda bahawa dahaga adalah tanda tubuh anda sedang mengalami dehidrasi? Menurut kajian, dehidrasi mampu memburukkan lagi perasaan loya yang sedia ada dan seterusnya menyebabkan muntah-muntah. Jika keadaan ini berterusan, ia mungkin menjejaskan kesihatan ibu dan bayi. Oleh itu, pengambilan air yang secukupnya disarankan untuk membantu mengawal mabuk kehamilan.