Dalam merawat parut pembedahan C-Section atau C-sec adalah lebih baik jika anda biarkan dahulu luka kering sepenuhnya sebelum memulakan langkah untuk mengurangkan kesan parut.
Selepas menjalani pembedahan bersalin, anda masih perlu fikirkan tentang parut pembedahan C-sec pada perut anda. Para pakar serta ibu-ibu yang berpengalaman menyarankan supaya ibu yang menjalani kelahiran secara pembedahan merawat parut dengan penjagaan yang rapi, dan ikuti dua peringkat rawatan seperti di bawah:
PERINGKAT 1:
Tunggu sehingga luka kering dan sembuh sepenuhnya. Luka pembedahan selepas bersalin pada awalnya kelihatan parah. Namun, anda perlu ingat bahawa semua luka memakan masa untuk sembuh. Apa yang perlu anda lakukan adalah memastikan yang luka anda itu tidak akan sama selepas tempoh enam bulan. Maksudnya, ia perlulah kering dan lebih baik daripada luka semasa awal bersalin. Pada peringkat awal, tumpukan kepada proses penyembuhan luka.
Proses penyembuhan luka C-sec mengambil masa kira-kira empat hingga enam minggu. Dalam tempoh pemulihan, anda akan berasa tidak selesa dan mungkin mengalami kelesuan.
- Tumpukan perhatian anda kepada pembersihan luka dan pantau sebarang tanda jangkitan yang mungkin berlaku. Perhatikan rasa gatal, bengkak, kemerahan atau lelehan nanah pada luka. Jika ada salah satu tanda-tanda ini, segeralah berjumpa dengan doktor. Langkah terbaik untuk memastikan luka anda cepat baik dan parut cepat sembuh adalah dengan mengelakkan jangkitan.
- Relaks. Dapatkan rehat apabila perlu. Dalam beberapa minggu terawal, elakkan daripada meletakkan sebarang benda yang lebih berat daripada bayi anda pada bahagian perut anda.
- Dapatkan sokongan pada abdomen. Lakukan postur yang betul semasa anda berdiri atau berjalan. Pegang abdomen anda semasa pergerakan terkejut seperti batuk, bersin atau ketawa.
- Ambil ubat yang diperlukan. Doktor anda mungkin akan menyediakan ubat seperti ibuprofen, acetaminophen (Tylenol, lain-lain) ataupun ubatan lain untuk melegakan sakit. INFO: Kebanyakan ubat tahan sakit adalah selamat untuk ibu mengandung.
- Minum air secukupnya bagi menggantikan semula cecair yang hilang semasa proses bersalin dan penyusuan. Selain itu, air yang mencukupi dapat mengelakkan masalah sembelit.
- Elak daripada menegangkan perut. Cubaan menegang boleh mengoyakkan fibre kolagen baru yang terbentuk untuk menutup luka, sekali gus melambatkan lagi penyembuhan lagi luka.
Selepas enam minggu, periksa dengan doktor anda jika luka anda sudah pulih. Jika sudah pulih sepenuhnya, anda boleh terus ke fasa kedua iaitu untuk mengurangkan kemunculan parut.
Pantau jahitan luka pembedahan C-sec untuk sebarang tanda jangkitan. Segera berjumpa dengan doktor jika:
- Luka torehan masih merah, bengkak atau basah
- Anda demam panas lebih daripada suhu 38°C
- Rasa sakit pada kesan jahitan
PERINGKAT 2:
Langkah-langkah merawat dan mengurangkan kesan/parut.
Mampatan, urutan parut C-sec dan terapi silikon adalah tiga cara semula jadi dan tanpa pembedahan untuk meminimakan kemunculan parut C-sec.
- Jika anda mempunyai parut yang tebal dan sensitif, anda boleh lakukan urutan pada parut. Namun, dapatkan dahulu konsultasi daripada doktor anda. Mulakan urutan hanya selepas luka anda tertutup sepenuhnya tanpa tertinggal kuping.
- Urut lembut bahagian parut dengan menggunakan hujung jari. Anda boleh gunakan minyak atau losen ataupun tanpa kedua-duanya. Lakukan bulatan kecil dan usap dari atas ke bawah (kira-kira 1cm) sepanjang bekas parut dan lakukan secara terbalik selama 2-3 minit, 2-3 kali sehari.
- Lakukan lama sedikit pada bahagian yang tebal. PERHATIAN: Cara ini tidak sepatutnya membuatkan anda berasa sakit atau menimbulkan ketidakselesaan atau bengkak pada parut.
- Jika parut kelihatan merah, lakukan urutan di sekeliling parut bukannya di atas parut. Jika sudah sembuh sepenuhnya dan tidak lagi kelihatan merah, barulah anda teruskan dengan urutan intensif. Bagi melakukannya, tekan ke dalam parut daripada pelbagai arah. Kenal pasti juga bahagian yang pergerakannya terhad.
- Semasa anda mengurut parut C-sec, losen terbaik yang anda boleh gunakan adalah jenis yang terbukti secara saintifik dalam menghilangkan parut.
- Terapi silikon adalah satu lagi rawatan parut C-sec yang selalu digunakan untuk membantu meminimakan kemunculan dan saiz parut. Di samping itu, rawatan ini juga boleh mengurangkan rasa gatal, terbakar dan kemerahan pada parut.