Setiap ibu bapa pasti memiliki hasrat untuk melihat anak-anak mereka mencapai kecemerlangan dari segi kognitif, afektif dan psikomotor atau holistik. Ibu bapa adalah orang yang pertama mendidik anak-anak sebelum memasuki prasekolah atau sekolah rendah.
Sebagai pendidik pertama kepada anak-anak, semestinya anda adalah seorang yang berpengetahuan tentang perkembangan mereka. Namun, sebagai ibu bapa, adakah anda cukup berpengetahuan dalam memastikan kecemerlangan anak anda?
Pendidikan awak kanak-kanak: Pelaburan terbaik untuk keluarga
Dalam kesibukan masa ibu bapa yang tiada noktah ini, jawapannya mungkin ya atau mungkin tidak. Mungkin juga kita dapat berkongsi sedikit pengalaman menggunakan ilmu Neuro-Linguistic Programming (NLP) untuk mempertingkatkan perkembangan bahasa dan komunikasi anak-anak yang mampu menukar anak anda menjadi seorang yang cemerlang.
Profesor ekonomi dari Universiti of Chicago, James J.Heckman berkata, “Pulangan pelaburan paling tinggi adalah pelaburan dalam pendidikan awal kanak-kanak iaitu melabur seawal mungkin, dari umur lahir sehingga umur lima tahun”. Pelaburan terbaik merujuk kepada pembangunan awal kanak-kanak yang berkualiti bermula dari lahir. Jadi, mengapa anda perlu menunggu lagi sedangkan sudah tahu bahawa keuntungan besar pelaburan adalah kepada anak anda.
Apa itu NLP?
Neuro-Linguistic Programming atau NLP adalah satu program sains dan seni kecemerlangan diri yang menunjukkan bagaimana manusia berfikir, beremosi dan menzahirkan kelakuannya. Melalui kaedah-kaedah NLP, manusia dapat berkomunikasi dengan lebih berkesan.
Apakah perkembangan bahasa dan komunikasi awal kanak-kanak?
Umumnya, tiga aspek penting yang semua ibu bapa mesti tahu iaitu perkembangan kognitif, psikomotor dan afektif. Perkembangan awal yang perlu diketahui adalah kemahiran komunikasi kanak-kanak, awal literasi & awal matematik, pemikiran logik, dan pengetahuan asas tentang dunia persekitaran. Cuba kita tanya diri kita, adakah persekitaran yang disediakan dan ilmu yang kita ada membantu pembelajaran anak-anak kita? Adakah persekitaran di rumah kita membantu merangsang perkembangan bahasa dan komunikasi anak-anak kita? Jika kita merasakan pentingnya masa depan anak-anak, kita perlu menyediakan suasana di rumah yang membantu merangsang perkembangan mereka. Kita kena ketahui perkembangan kognitif terutamanya bahasa berlaku dengan pesat dan optimum pada usia mereka enam tahun pertama. Melalui asuhan dan pendidikan yang sesuai, minda kanak-kanak ini dapat dirangsang serta bahasa dan komunikasi mereka dapat dipertingkatkan.
Bagaimana NLP melonjakkan perkembangan bahasa dan komunikasi anak-anak?
NLP dapat digunakan untuk membantu kanak-kanak meningkatkan keupayaan dan keberkesanan belajar supaya mendapat hasil yang luar biasa. Ini termasuklah bagaimana mengendalikan diri dan emosi yang lebih baik ketika belajar, membina sistem kepercayaan dan nilai diri yang lebih mantap, keyakinan yang luar biasa dan menolak segala kebimbangan serta ketakutan. Antara cara NLP melonjakkan perkembangan anak-anak adalah:
1. Mengetahui ilmu NLP dan aplikasinya
Hasil kajian jangka panjang mendapati pelaburan pada peringkat awal kanak-kanak memberi pulangan yang positif kepada ibu bapa, masyarakat dan negara. Semua kajian di dalam dan di luar negara juga tidak menolak bahawa penglibatan aktif antara ibu bapa dan anak dalam pendidikan awal kanak-kanak membantu meningkatkan perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak dalam semua aspek. Penglibatan aktif di sini bermaksud mengambil peduli dan mempunyai ilmu untuk membantu anak menjadi cemerlang.
Berjayanya seseorang anak dalam hidup menunjukkan berjayanya ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka. Teknik komunikasi NLP mampu mengembangkan bahasa dan komunikasi anak-anak bermula di rumah. Peranan ibu bapa dalam memberi perhatian sepenuhnya kepada anak-anak dapat membantu perkembangan holistik kanak-kanak. Secara fitrahnya, potensi dan kecerdasan anak-anak boleh dikembangkan sekiranya ibu bapa mempunyai pengetahuan dalam membantu anak, seterusnya potensi ini akan lebih cepat berkembang.
2. Memoptimumkan minda separa sedar
Pakar psikologi membahagikan minda kita kepada dua iaitu minda separa sedar (90%) dan minda sedar (10%). Memoptimumkan minda separa sedar dengan aktiviti anak menjadikan aktiviti pembelajaran menyeronokkan buat kanak-kanak. Pembelajaran yang seronok membolehkan ingatan anak-anak lebih kekal dan berpanjangan berbanding dengan amalan menghafal.
Saya percaya asas perkembangan komunikasi kanak-kanak adalah bergantung pada bagaimana interaksi ibu bapa mereka. Bahasa adalah asas penting dalam membina kemahiran sosial dan intelek kanak-kanak. Proses ini perlu didedahkan sejak awal lagi iaitu dari lahirnya mereka ke dunia. Contohnya, mandikan dan tidurkan anak-anak kita dengan bahasa kerana dengan berkomunikasi membantu mereka membina perbendaharaan kata mereka. Untuk berkomunikasi dengan baik, maka kanak-kanak perlu menguasai kosa kata asas. Dengan perkembangan kosa kata dan bahasa yang optimum akan mempengaruhi perkembangan komunikasi kanak-kanak, seterusnya mempengaruhi kemahiran sosial dan inteleknya serta meningkatkan daya kreativiti di samping menonjolkan bakat semula jadinya.
Antara aktiviti NLP yang dicadangkan adalah hiburan mendidik melalui aktiviti membaca, menyanyi, dan bercerita. Bacaan pada anak-anak boleh dimulakan dengan buku-buku bergambar atau menawarkan buku besar jika anak-anak masih kecil. Dengan membaca buku-buku cerita juga akan membantu kanak-kanak menguasai kosa kata. Jika anak anda dapat menceritakan semula cerita yang didengari oleh mereka adalah sudah memadai pada peringkat awal. Aktiviti-aktiviti melukis dan menulis juga adalah sebahagian daripada awal literasi. Kadang-kadang kita terlupa lagu-lagu atau zikir-zikir yang dahulunya dinyanyikan oleh ibu bapa kita juga membantu pendidikan kanak-kanak.
3. Teknik modeling
Peranan ibu bapa dalam usaha untuk mempertingkatkan potensi anak mereka dalam bidang awal literasi boleh diwujudkan melalui “role model”. Ibu bapa adalah ikon pada si manja dan anak-anak, jadi biar ikon ini berterusan sehingga mereka dewasa. Tunjukkan contoh terbaik kerana ibu bapa merupakan individu yang paling rapat dengan kanak-kanak. Mereka perlu sentiasa menarik perhatian anak mereka kepada perwatakan dan tingkah laku yang baik agar si anak dapat menjiwainya.
Anak lazimnya ingin meniru apa yang dibuat oleh ibu bapanya serta akan menyukai apa yang ibu bapa suka. Jika di rumah sendiri kurang buku dan ibu dan ayah pula kurang membaca, suasana yang menggalakkan amalan membaca tidak dapat diwujudkan di rumah. Oleh itu, ibu bapa harus memastikan terdapat buku-buku dan bahan bacaan untuk dibaca di rumah. Sekiranya kanak-kanak tersebut terjumpa buku atau bahan bacaan di setiap sudut rumahnya, dia akan dapat merasakan betapa pentingnya buku dalam kehidupan keluarganya. Ibu bapa juga boleh meletakkan buku-buku di dalam kereta supaya kanak-kanak ini boleh membaca di mana-mana sahaja.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak dengan membaca bersama. Ibu bapa hanya memerlukan 15 hingga 30 minit untuk membaca dengan anak. Ramai juga yang suka mengamalkan membaca cerita sebelum tidur. Ia merupakan amalan yang baik kerana membaca bersama dapat mengeratkan hubungan ibu atau ayah dengan anak dan boleh dijadikan rutin harian. Selain itu, kanak-kanak ini boleh juga diajar membaca. Ia merupakan satu aktiviti pengukuhan dan peneguhan di rumah setelah belajar membaca di tadika atau prasekolah. Sekiranya anak itu masih tidak boleh membaca, ibu bapa janganlah menilainya dan anggaplah sesi itu sebagai sesi tambahan yang menyeronokkan dalam memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak.
Kesimpulan
Kita percaya NLP mampu mempertingkatkan perkembangan bahasa dan komunikasi anak-anak. Prasyaratnya adalah ibu bapa perlu mempunyai sikap dan amalan positif serta pengetahuan yang boleh membantu mempengaruhi perkembangan bahasa anak mereka. Ibu bapa haruslah menyediakan segala keperluan dan persekitaran yang sesuai untuk kanak-kanak ini belajar dan memupuk minat mereka terhadap ilmu.
Penglibatan ibu bapa dalam setiap aktiviti harian yang dilakukan anak-anak dapat mengembangkan bahasa serta membentuk diri kanak-kanak untuk mempunyai kemahiran sosial yang tinggi. Bahasa dan komunikasi adalah asas kepada kemahiran sosial yang lain. Tanpa kemahiran bahasa, kemahiran sosial yang lain akan terjejas.
Artikel sumbangan Profesor Madya Dr. Nordin Mamat, NLP Master Trainer, Pakar Pendidikan Awal Kanak-kanak, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak merangkap Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim, Perak.