Pakaian Si Manja Biarlah Sesuai Dengan Cuaca Kita

Memilih pakaian si manja sewaktu membeli-belah sememangnya suatu pengalaman yang mengujakan. Ibu mana yang tidak ingin melihat anak mereka menggayakan fesyen dan warna pakaian yang cantik serta menarik. Kedua-dua faktor tarikan ini adakalanya menyebabkan ibu dan bapa terlupa untuk melihatnya dari aspek keselesaan dan kesesuaian pakaian tersebut dengan cuaca setempat khususnya di Malaysia.

Image source: Adobe Stock

Secara faktanya, keadaan cuaca dan suhu di Malaysia hampir seragam sepanjang tahun iaitu antara 21° C sehingga 36° C. Walaupun menerima hujan yang agak banyak sepanjang tahun, namun dengan keadaan purata suhu yang tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas, adalah lebih baik sekiranya anda meletakkan faktor keselesaan sebagai penentu utama dalam pemilihan pakaian si manja. Itulah yang lebih bijak! Setelah mengenal pasti faktor keselesaan, barulah sesuai untuk anda menilai faktor lain seperti dari segi rekaan fesyen dan juga warnanya.

Pastinya ramai ibu yang ingin sekali mengetahui kaedah pemilihan pakaian si manja supaya bersesuaian dan selesa mengikut keadaan cuaca di Malaysia. Kebanyakan ibu pasti setuju bahawa baju yang terlalu tebal tidak begitu sesuai untuk bayi dengan keadaan cuaca negara kita yang agak panas. Oleh itu, pemilihan material kain memainkan peranan penting semasa membeli pakaian. Bukan hanya faktor material yang perlu dititik-beratkan. Perbincangan kali ini adalah khusus mengenai pemilihan pakaian si manja yang bersesuaian mengikut keadaan cuaca di Malaysia.

Aliran pengudaraan yang baik
Dalam keadaan cuaca yang agak panas, bayi dan kanak-kanak memerlukan pengaliran udara yang baik supaya suhu badan mereka tidak naik secara mendadak. Bagi orang dewasa, pengawalan suhu berlaku menerusi sistem perpeluhan. Namun, bayi yang masih dalam proses tumbesaran masih belum memiliki sistem perpeluhan yang baik. Oleh itu, agak sukar bagi mereka menurunkan suhu badan secara semulajadi dalam keadaan cuaca yang panas.

Pakaian si manja dengan sistem pengudaraan yang baik dilihat daripada beberapa sudut. Antaranya ketebalan pakaian, material kain, rekaan fesyen dan juga warna pakaian.


Secara umumnya, jika bayi anda kelihatan agak tenang, bahagia dan tidur dengan selesa sama ada ketika berada di dalam mahupun di luar rumah, maka anda telah memakaikan mereka dengan pakaian yang selesa.


Material terbaik ialah kain kapas
Kain kapas sesuai digunakan hampir dalam semua keadaan cuaca termasuk ketika hari sedang panas. Pakaian si manja yang dihasilkan daripada material kain kapas boleh didapati dengan begitu mudah pada masa kini.

Kain kapas cukup selesa apabila bersentuhan dengan kulit bayi. Ia menyediakan keseimbangan lembapan yang sesuai, sekaligus menjadikan ia material kain terbaik untuk dipakaikan kepada si manja anda. Salah satu kelebihan kain kapas ialah ialah kemampuannya menyerap lembapan atmosfera di sekelilingnya dengan kadar antara 8 sehingga 10 peratus. Ini menjadikan ia sentiasa lembut apabila bersentuhan dengan kulit bayi dan kanak-kanak.

Apabila kelembapan sekeliling meningkat pula, material kapas tersebut akan meruap untuk menyingkirkan lembapan yang berlebihan pada pakaian. Si manja anda akan tetap dalam keadaan selesa tanpa mengira suhu sekelilingnya.

Pakaian berbutang dan riben. Adakah ia sesuai untuk kanak-kanak?
Butang dan riben sememangnya menarik kerana ia dapat menampilkan keceriaan dalam rekaan fesyen pakaian kanak-kanak. Riben atau bow pada pakaian kanak-kanak boleh disesuaikan untuk penggayaan sebarang majlis rasmi dan tidak rasmi seperti sambutan hari jadi dan perkahwinan.

Anda bebas untuk menentukan fesyen si manja tersayang dengan kelengkapan butang dan riben. Namun, elakkan daripada mengenakan butang atau riben yang terletak di bahagian sensitif seperti leher dan pergelangan tangan. Butang dan reben di kedua-dua bahagian ini akan menyempitkan ruang pengaliran udara keluar dan masuk. Di samping itu, jahitan seumpama ini juga akan membuatkan kanak-kanak rasa tercekik.

Pertimbangkan juga faktor umur si manja anda. Butang dan riben pada bahagian leher dan pergelangan tangan juga sebenarnya dilihat kurang sesuai untuk bayi kecil yang berusia dua tahun ke bawah. Bayi akan lebih selesa dan bebas apabila dipakaikan dengan hiasan yang tidak terlalu sarat dengan pelbagai jenis jahitan ataupun tambahan hiasan.


Antara tanda-tanda bayi mengalami kepanasan ialah resah, tidak bermaya dan bernafas dengan laju. Lihat juga ada kadar perpeluhan yang mereka alami.


Pemakaian kanak-kanak ketika berada di luar
Semasa berada di luar rumah, si manja anda terdedah kepada keadaan cuaca yang panas dan pancaran cahaya matahari secara langsung ke kulit mereka. Pemilihan pakaian yang ketika berada di luar rumah sudah semestinya berbeza berbanding ketika berada di dalam rumah.

Bagi bayi yang berusia enam bulan ke bawah, anda boleh memakaikan mereka dengan baju berlengan panjang dan seluar panjang jenis legging. Ini bertujuan untuk melindungi kulit mereka dari terkena pancaran cahaya matahari yang begitu panas pada waktu-waktu tertentu. Contohnya, semasa waktu tengah hari.

Untuk bayi dan kanak-kanak yang melebihi usia enam bulan, tidak mengapa jika anda mengenakan mereka dengan pakaian pendek. Perlindungan kulit mereka boleh digantikan dengan alternatif lain seperti penggunaan payung dan krim perlindungan matahari yang bersesuaian mengikut peringkat umur kanak-kanak tersebut.

Bila si manja sesuai mengenakan sarung tangan dan kaki?
Anda sering menghadiahkan bayi yang baru lahir kelengkapan pakaian yang disertai dengan sarung tangan tangan dan kaki. Pendapat para ibu tentang keperluan sarung tangan dan kaki untuk bayi yang masih kecil kedengaran pelbagai. Ada yang berpendapat bahawa perkembangan kaki dan jari si kecil akan lebih baik tanpa mengenakan sarung di kedua-dua anggota badan ini.

Sebenarnya, penting untuk anda mengenakan sarung kaki dan tangan kepada bayi yang baru lahir. Salah satu tujuan pemakaiannya adalah untuk faktor keselamatan dan mengelakkan bayi dari kesejukan.

Namun begitu, ia tidak bermakna anda boleh menyarungkan tangan dan kaki mereka dengan sepanjang masa. Perhatikan kesesuaian cuaca di luar dan suhu di dalam rumah sebelum memakaikan sarung tangan dan kaki pada si manja anda. Pada hari yang sangat panas, bayi anda sebenarnya tidak memerlukannya terutamanya ketika anda membawanya berjalan-jalan ke luar rumah.

Suhu sekitar 28° C sehingga 32° C pada waktu malam adalah dianggap suhu normal yang tidak terlalu sejuk. Tidak mengapa jika tangan dan bayi anda tidak dilindungi dengan sarung ketika tidur. Penggunaan selimut bayi adalah lebih sesuai supaya jari dan kaki mereka lebih bebas dari sebarang sekatan.

Bayi dan kanak-kanak yang memakai lampin lebih mudah berpeluh di bahagian punggung, pinggul dan celah paha terutama dalam keadaan cuaca panas. Ini disebabkan ketebalan lapisan lampin itu sendiri. Pemilihan seluar yang nipis dan mampu menyerap peluh seperti kain kapas akan membuatkan mereka lebih selesa.

Pemilihan sarung kaki dan tangan
Dalam pemilihan sarung tangan dan kaki bayi, penting untuk dipertimbangkan beberapa faktor. Pertama, elakkan daripada saiz sarung yang terlalu kecil. Saiz yang sesuai dan selesa boleh ditentukan dengan cara memasukkan kedua jari tangan anda ketika sarung tersebut dipakaikan ke bayi anda. Adakah kedua-dua jari anda masih mampu digerakkan dengan bebas di dalamnya? Jika ya, bermakna sarung tersebut sesuai untuk dipakaikan kepada bayi anda.

Selain itu, elakkan juga sarung bertali yang terlalu ketat dan elastik. Tali ini akan menutupi pergelangan kaki dan tangan yang mungkin mengehadkan pengaliran udara keluar masuk dan aliran darah si manja anda.

Pakaian berwarna putih lebih selesa
Warna yang neutral dan tidak gelap sudah semestinya kelihatan lebih sejuk mata memandang. Warna-warna pakaian yang cerah seringkali menjadi pilihan para ibu. Warna gelap menjadi salah satu punca penyerapan haba. Antara warna panas yang perlu dielakkan ialah merah dan hitam. Satu-satunya warna yang diyakini tidak memerangkap haba ialah warna putih. Ia selesa dipakai sama ada dalam keadaan cuaca sejuk mahupun ketika hari panas.

Bagaimana pula dengan penutup kepala?
Secara ringkasnya, pemakaian penutup kepala seperti serkup kepala dan topi bukanlah satu keperluan. Anda mungkin pernah melihat petugas hospital mengenakan penutup atau serkup ke atas kepala bayi sebaik sahaja mereka selamat dilahirkan di hospital. Langkah ini dilakukan bertujuan untuk memanaskan tubuh mereka sebaik sahaja dilahirkan ke dunia. Namun, menurut pakar kanak-kanak, memakaikan topi dan penutup kepala bukan suatu keperluan sebaik sahaja anda membawa mereka pulang ke rumah.

Serkup kepala sesuai dikenakan dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk seperti negara-negara yang mengalami musim salji. Namun, bagi negara yang mengalami iklim khatulistiwa seperti cuaca di negara kita, penggunaan topi pelindung matahri adalah digalakkan ketika berada di luar dalam keadaan cahaya matahari yang memancar terik.


Featured image source: Pexel

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.