Panduan Ibu Tidur Lena Semasa Trimester ke-3

Bukan mudah untuk mendapatkan tidur nyenyak dengan keadaan perut yang semakin membesar. Jika sebelum ini anda seorang yang gemar tidur meniarap, kini anda perlu menukar posisi tidur anda demi keselesaan tubuh dan keselamatan bayi.

Semasa hamil, mendapatkan keselesaan di waktu malam bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi jika anda berada di trimester ketiga dan menghampiri tempoh bersalin. Belakang badan anda akan rasa sakit-sakit, kaki rasa kejang dan perut yang membesar membataskan anda untuk tidur pada posisi yang selalu anda lakukan.

Ketika ini, sudah tentu yang terlintas di fikiran anda ialah posisi tidur yang boleh mengurangkan ketidakselesaan tubuh sekali gus memelihara keselamatan bayi dalam kandungan.


Meniarap? Meniarap? Terlentang? 
Apakah posisi tidur yang selamat semasa hamil? Mungkin ada sudah biasa dengan posisi tidur yang tertentu, namun tahukah anda bahawa anda perlu menukar posisi tidur anda semasa hamil. Bukan sahaja untuk keselesaan tubuh anda tetapi juga anda perlu fikirkan keselamatan bayi dalam kandungan. Posisi mana yang menjadi pilihan anda? Teruskan membaca…



Info
Selain mengiring ke kiri, posisi mengiring ke kanan juga baik. Akan tetapi, anda digalakkan untuk berubah posisi mengiring ke kanan dan kiri bagi membolehkan anda tidur dengan selesa.


Tips posisi tidur
Berikut merupakan beberapa tips posisi tidur bagi membantu anda mendapatkan tidur yang selesa dan sekali gus melindungi bayi anda semasa tidur.

Untuk sokongan perut dan bahagian belakang badan: Letakkan bantal di bawah perut atau di antara lutut anda. Dapatkan bantal kehamilan/ materniti khas yang panjang bagi memberikan lebih keselesaan kepada tubuh anda. Letakkan bantal tersebut di bawah badan anda supaya dapat membantu anda mengiring, dan menghalang anda daripada berubah posisi sehingga menghempap perut.

Untuk mudah bernafas: Letakkan bantal di bahagian sisi tubuh anda bagi menaikkan dada.

Untuk elak pedih hulu hati: Tinggikan bantal di bahagian kepala bagi membantu asid turun ke perut dan mengelakkan asid perut naik ke bahagian esofagus.


Awas
Jangan panik jika posisi anda berubah dari mengiring ke terlentang semasa anda tidur. Biarkan badan anda bergerak mencari posisi yang selesa berbanding terjaga di setiap minit bagi mengekalkan posisi. Anda memerlukan tidur yang cukup semasa kehamilan terutamanya di penghujung kehamilan.


Panduan untuk tidur lena

1. Bantal ekstra – Untuk sokong perut dan belakang badan.

2. Susu – Minum segelas susu suam sebelum tidur untuk membantu mudah tidur.

3. Makan – Makanan yang tinggi karbohidrat seperti roti dan biskut kraker dapat membantu mudah tidur.

4. Relaks – Aktiviti seperti yoga atau urutan dapat membantu anda tenangkan minda dan rehatkan otot.

5. Mandi – Mandi air suam sebelum tidur dapat membantu anda mendapatkan tidur yang lena dan melegakan badan.

6. Elak makan – Memang bayi anda lapar, tetapi anda disarankan untuk mengelakkan makanan berat dua jam sebelum tidur.

7. Turunkan suhu – Badan anda akan rasa panas semasa hamil. Jadi, bagi mendapatkan tidur yang lena, turunkan suhu penyaman udara di bilik anda dan pastikan bilik sentiasa nyaman.

8. Rutin tidur – Jika anda sudah biasa tidur lewat malam, tetapkan tidur anda lebih awal dan ikuti rutin tidur. Kelak, mata anda akan biasa dengan rutin tidur yang baru dan mudah untuk rasa mengantuk.

9. Lembapkan kulit – Letakkan losen pada tubuh selepas mandi dan sebelum tidur.

10. Tetapkan mood – Malapkan lampu semasa tidur dan biarkan bilik sunyi dan senyap sebelum tidur bagi menaikkan suasana untuk beradu.

11. Pakaian – Gunalah pakaian tidur yang sesuai, sebaik-baiknya diperbuat daripada kain kapas atau material yang dapat menyerap peluh semasa anda tidur.


Sumber: www.parenting.com, www.webmd.com

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.