Tiada siapa dapat menafikan bahawa kanak-kanak masa kini lebih maju daripada kanak-kanak dahulu. Mana tidaknya, kanak-kanak sekarang sudah didedahkan kepada dunia teknologi tinggi. Sebutlah apa sahaja; komputer, telefon pintar, tablet atau iPad, pasti kanak-kanak akan mengetahuinya.
Di sebalik keghairahan ibu bapa memberikan peranti teknologi kepada anak mereka, namun tahukah akan kesannya positif dan negatif kepada perkembangan tubuh dan minda mereka? Mari kita lihat bersama.
Kesan-kesan Positif
Alat bantu belajar
Pendedahan dunia teknologi kepada kanak-kanak membantu mereka untuk belajar. Banyak aplikasi pembelajaran yang boleh dimuat turun secara percuma dan berbayar menerusi komputer, tablet atau telefon pintar.
Bagaimanapun, fungsi komputer dan gajet ini tidak boleh menggantikan proses pembelajaran sebaliknya alat-alat ini hanya sebagai bahan bantuan dalam pembelajaran. Aplikasi ini boleh digunakan sebagai variasi kepada alat pembelajaran anak.
Pelbagai aplikasi yang merangkumi subjek Matematik, Sains, bahasa, Geografi dan banyak lagi boleh didapati untuk semua lingkungan usia. Aplikasi-aplikasi ini juga ada yang dilakukan secara santai seperti pembelajaran melalui permainan. Kesan bunyi dan grafik yang ada pada aplikasi dapat menarik minat kanak-kanak untuk belajar. Jadi, kanak-kanak tidak akan bosan belajar hanya melalui satu medium sahaja.
Lebih maju ke depan
Pengetahuan kanak-kanak terhadap komputer dan gajet menjadikan mereka lebih cekap dalam mengendalikan teknologi. Memandangkan dunia masa depan banyak bergantung kepada teknologi, justeru ini adalah langkah awal untuk kanak-kanak terdedah kepada dunia berteknologi canggih. Apabila kanak-kanak aktif menggunakan teknologi, mereka secara tidak langsung akan turut berminat untuk mempelajari perkara lain yang berkaitan dengan teknologi. Sikap mereka yang ingin tahu dan gemar meneroka ini akan membantu perkembangan minda mereka untuk menyelami keajaiban dan kehebatan dunia teknologi tinggi.
Kesan-kesan negatif yang perlu diberi perhatian
Kurang sosial
Jika kanak-kanak selalu didedahkan dengan teknologi, pergaulan mereka akan terbatas kerana ‘asyik’ tertumpu kepada komputer atau gajet masing-masing. Kelak mereka ini akan menjadi terasing dan berkelakuan seperti kera sumbang kerana lebih rela bermain gajet berbanding dengan bersembang dengan saudara mara atau rakan. Perkara ini patut diambil berat oleh ibu bapa kerana aspek sosial dan komunikasi ini amat penting di usia kanak-kanak untuk membentuk kemahiran sosial mereka seperti mendengar, memerhati dan berbual.
Kurang daya kreativiti
Penggunaan alat teknologi yang berlebihan akan membuatkan daya kreativiti kanak-kanak terbatas. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang menggunakan perisian secara berterusan, iaitu untuk jangkamasa yang lama, akan mengalami penurunan nyata dalam daya kreativiti mereka. Hal ini kerana permainan dalam peranti lazimnya bertujuan untuk mencapai ‘kemenangan’ dalam sesuatu permainan itu. Kepantasan jari lazimnya menjadi cabaran, dan bukannya mencabar minda masing-masing. Kemahiran motor serta hand-eye coordination mereka pun tidak digunakan untuk tujuan yang baik.
Awasilah jenis perisian
Setiap ibu bapa perlu memastikan perisian yang sesuai digunakan mengikut tahap umur dan perkembangan anak-anak. Ibu bapa dinasihatkan untuk membaca kandungan perisian terlebih dahulu sebelum membeli dan memuat turun ke dalam peranti. Sikap ibu bapa yang sambil lewa dalam memuat turun perisian dikhuatiri akan mendedahkan kanak-kanak kepada unsur negatif seperti keganasan atau seks, yang memang berleluasa di internet tanpa had.
Pergerakan terhad, fizikal terbantut
Penggunaan gadget yang berlebihan akan mengurangkan pergerakan tubuh badan kanak-kanak sehingga menyebabkan perkembangan mereka pun terbantut. Limitasi seperti ini dalam perkembangan fizikal mereka akan turut memberi impak negatif terhadap segala aspek di zaman kanak-kanak mereka, termasuk pembelajaran, perkembangan sosial dan lain-lain.
Lebih mudah menjadi gemuk
Lambat-laun, kanak-kanak yang hanya duduk bermain gajet sudah tentu akan mengalami masalah lebihan berat badan, mungkin juga ke tahap obesiti, kerana kurang bergerak. Malah kanak-kanak seperti ini juga berkemungkinan untuk mendapat penyakit berbahaya seperti kencing manis dan penyakit jantung pada usia yang muda.
Gejala tak cukup tidur
Disebabkan terlalu ketagih dengan gajet, kanak-kanak sanggup menahan mata untuk bermain gajet dan tidak cukup tidur. Hal ini bukan sahaja memberi impak negatif kepada pencapaian akademik mereka, malah kesihatan mereka juga turut terjejas, kerana kanak-kanak perlu rehat dan tidur secukupnya untuk membina daya tahanan tubuh badan yang lebih kuat supaya tidak mudah jatuh sakit.