‘Baru-baru ini, doktor telah mengesahkan saya menghidapi masalah Pelvic Inflammatory Disease (PID) sehingga kedua-dua tiub saya tersumbat dan bengkak. Adakah ini penyebab saya masih tidak hamil?’
Apakah penyakit Pelvic Inflammatory Disease (PID)?
Ini adalah salah satu penyebab utama masalah kemandulan di seluruh dunia. Ianya adalah masalah penyakit kelamin berjangkit (STD – Sexually Transmitted Disease) yang boleh menyebabkan jangkitan serta kerosakan teruk pada organ peranakan wanita. PID boleh mengakibatkan saluran peranakan tersumbat dan bengkak serta risiko mendapat kandungan luar rahim (ectopic pregnancy) lebih tinggi.
Apakah punca PID?
Kes PID adalah lebih kerap dilaporkan di kalangan negara di mana seks rambang berlaku. Di negara USA, setiap tahun lebih dari 1 juta wanita dikatakan mengalami episod jangkitan PID. Disebabkan oleh PID lebih 100,000 wanita akan mengalami masalah fertiliti. Di Malaysia, bilangan wanita yang mengalami masalah PID tidak diketahui dengan tepat tetapi ada sumber-sumber yang mengatakan bilangan kes-kes PID telah meningkat kebelakangan ini.
PID disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria terutamanya Gonorrhoea dan Chlamydia pada pangkal rahim ie servik. Servik memainkan peranan penting sebagai benteng pertahanan untuk alat peranakan wanita. Akan tetapi, apabila jangkitan dan keradangan servik berlaku, kuman-kuman tersebut akan berjaya melepasi servik untuk menjangkiti bahagian lain alat peranakan wanita terutamanya saluran peranakan Falopio.
Punca-punca lain PID termasuklah kes pengguguran, penggunaan alat dalam rahim dan prosedur-prosedur pelvis serta semasa kelahiran. Selain itu, penggunaan pencucian vagina / douching mungkin juga boleh menyebabkan perubahan flora vagina serta memudahkan jangkitan kuman merebak dari bahagian faraj ke bahagian atas alat peranakan wanita.
Simptom-simptom PID
PID sukar dikesan pada peringkat awal kerana kebanyakan wanita tidak mempunyai simptom-simptom. Sebahagian besar wanita hanya akan mendapat diagnosis apabila mereka mengalami kesukaran untuk hamil ataupun apabila jangkitan tersebut sudah berada pada tahap kronik dan mengakibatkan kerosakan pada bahagian yang sukar diperbaiki.
Antara simptom-simptom yang mungkin dialami oleh pesakit PID:
- Kesakitan di bahagian pelvis atau bahagian atas kanan abdomen
- Demam
- Pengeluaran keputihan dari faraj yang berwarna hijau/ kuning serta berbau busuk
- Kesakitan semasa hubungan seks
- Pendarahan haid yang tidak teratur
- Kesakitan semasa membuang air kencing
Cara mengesan PID
Sekiranya PID disyaki, doktor yang merawat akan membuat pemeriksaan untuk mengesan jangkitan tersebut:
- Fizikal
- Imbasan scan
- Ujian darah dan air kencing
- Pembedahan laparoskopik
Pemeriksaan fizikal faraj wanita dapat mengesan kehadiran keputihan kuning/ kehijauan. Manakala, lelaki pula mengalami pengeluaran lendir kuning dari penis.
Imbasan scan mungkin dapat mengesan kehadiran tiub bengkak iaitu hydrosalphinx ataupun infeksi bernanah di bahagian ovari dan saluran peranakan ie tubo-ovarian abscess.
Pembedahan laparoskopik akan dapat mengesan kesan-kesan infeksi pada rahim dan saluran peranakan serta bahagian organ lain yang terlibat.
Implikasi PID
Implikasi PID termasuklah masalah kemandulan, sakit kronik di bahagian pelvis, kandungan ektopik serta impak psikologi kerana penghidap PID dan pasangan mereka.
Rawatan PID
- Penghidap PID dan juga pasangan mereka perlu diberikan antibiotik.
- Pembedahan sekiranya terdapat pengumpulan nanah ie abscess yang tidak sembuh dengan rawatan antibiotik.
- Rawatan kesuburan ie IVF sekiranya kedua-dua saluran peranakan sudah tersumbat dan rosak.
Dr. Natasha Ain Mohd Nor merupakan Pakar Obstetrik dan Ginekologi (Infertility) dari KL Fertility Centre. Beliau aktif menulis dan berkongsi informasi di blognya, www.drnatashanorfertility.com