Penjagaan Kesihatan Ovari Yang Boleh Menjamin Kesuburan

Penjagaan kesihatan ovari pada tahap yang optimum sangat penting bagi membolehkan seseorang yang bergelar ibu itu hamil. Semasa sesi temuduga BabyTalk bersama Dr Ida Lilywaty Md Latar, Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) di Hospital Pantai Cheras (PHC), beliau telah berkongsi pandangan tentang kesihatan ovari dan bagaimana ia memberi kesan kepada kesuburan.

Mengapa Kesihatan Ovari Ini Penting? Boleh Anda Terangkan Apakah Fungsinya Hingga Ia Boleh Mempengaruhi Tahap Kesihatan Dan Kesuburan Kaum Wanita?
Organ wanita yang berbentuk bulat kecil di pelvis dikenali sebagai ovari. Ia berada di setiap sisi rahim, berhampiran pembukaan tiub fallopio. Ovari mengandungi sel gamet betina, dipanggil oosit atau telur.

Ovari sangat penting untuk ovulasi wanita. Organ ini akan menghasilkan telur, yang berpotensi untuk disenyawakan oleh sperma yang akan membawa kepada kehamilan. Ia juga menghasilkan hormon wanita seperti estrogen dan progesteron.

Kedua-dua hormon ini penting bagi merangsang perkembangan ciri-ciri seksual sekunder. Di samping, dapat menjadikan kebarangkalian untuk hamil itu lebih tinggi, ia juga membantu dalam proses kelahiran dan penyusuan untuk wanita. Apabila seseorang wanita itu semakin berusia, bilangan oosit mereka akan berkurangan, dan, ovari akan berhenti menghasilkan hormon dan seterusnya hanya melepaskan telur secara fisiologi yang membawa kepada menopaus.

Apakah Penyakit Yang Selalu Dikaitkan Dengan Ovari?
Antara masalah kesihatan yang berkait rapat dengan masalah ovari ialah sista ovari, di mana ia akan menjadi maligan yang boleh membawa masalah seperti kilasan ovari, pecah atau pendarahan di dalam sista.

Selain itu, penyakit seperti sindrom ovari polikistik (PCOS) yang berlaku akibat daripada gaya hidup semasa yang tidak sihat. Masalah ini merupakan salah satu masalah kesihatan yang menjadi kebimbangan kaum wanita di seluruh dunia. Di tambah pula dengan trend peningkatan penghidapnya semakin meningkat akhir-akhir ini.

Apakah Simptom-Simptom Yang Boleh Diketahui Sekiranya Seseorang Itu Mempunyai Masalah Ovari?
Setiap individu yang mengalami masalah ovari mempunyai tanda-tanda berbeza mengikut diagnosis masing-masing. Kebiasaanya, sista ovari dijumpai semasa rawatan dan pemeriksaan tahunan. Kes-kes ini adalah fisiologi,dan hanya memerlukan pemantauan berkala.

Sista ovari yang membesar ini, boleh menyebabkan seseorang berasa sakit atau tidak selesa. Ia boleh menjadi lebih parah sekiranya berlaku kemalangan ovari seperti kilasan, pecah atau pendarahan. Sista ovari jenis lain seperti endometrioma mungkin boleh berlaku dengan lebih teruk dan menyebabkan kesakitan semasa haid. Secara lazimnya, pesakit PCOS mempunyai masalah kitaran haid yang tidak teratur, masalah jerawat dan hirsutisme (peningkatan berat badan atau muka) akibat ketidakseimbangan hormon.

Sangat menyedihkan apabila dua pertiga golongan yang menghidap kanser ovari ini hanya mengetahui penyakit mereka ini semasa di peringkat akhir. Pesakit-pesakit ini akan menunjukkan simptom seperti ketidakselesaan perut akibat pengumpulan cecair dalam perut, gejala tekanan, dan gejala-gejala lain seperti kehilangan berat badan dan selera makan.

Apa Itu PCOS Dan Apakah Rawatan Yang Disediakan?
Sindrom ovari polikistik (PCOS) berlaku apabila ovari atau kelenjar adrenal wanita menghasilkan lebih banyak hormon lelaki daripada biasa. PCOS akan menyebabkan sista bersaiz kecil tumbuh di kawasan ovari.

Antara gejala yang dialami termasuklah kitaran haid yang tidak teratur, pertumbuhan rambut yang berlebihan pada kawasan muka dan badan (hirsutisme) dan kulit berjerawat atau berminyak. Biasanya, wanita dengan PCOS mengalami obesiti, dan kebanyakan mereka mungkin mempunyai masalah dengan kesuburan. Wanita yang mengalami PCOS mempunyai risiko untuk menghidap diabetes, sindrom metabolik, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi

PCOS ini telah dikesan melalui pemeriksaan klinikal tipikal yang disebutkan di atas dengan ciri sokongan ovari polikistik pada ultrasound pelvis dan beberapa perubahan ujian darah hormon, terutama sekali untuk kes-kes yang teruk. Masih tiada ubat yang ditemui bagi merawat penyakit ini. Namun dengan melakukan senaman dan mengambil ubat hormon seperti pil perancang untuk mengimbangi tahap hormon, ia sedikit sebanyak dapat membantu mengawal gejala.

Boleh Anda Jelaskan Lebih Lanjut Tentang Kanser Ovari? Apakah Langkah-Langkah Pencegahan?
Kanser ovari merupakan salah satu kanser yang wujud dalam kalangan wanita di seluruh dunia. Malangnya, kanser ini tidak sama seperti kanser serviks, kerana tiada ujian saringan yang boleh menepati bagi mengesan kanser ini. Lebih daripada 75% wanita sudah terlewat membuat pemeriksaan, kerana melakukannya di saat-saat akhir dengan tahap kesihatan yang semakin merosot akibat gejala yang dialami hingga membawa kepada prognosis yang lebih buruk. Jadi, melakukan pemeriksaan awal adalah sangat penting bagi mengesan kanser tersebut.

Kira-kira 25% penghidap kanser ovari ini dikesan disebabkan oleh mutasi yang diwarisi dalam gen tertentu. Mengetahui latar belakang dan sejarah penyakit keluarga sangat penting bagi penilaian awal dan pengesanan kanser ovari.

Contohnya menggunakan pil perancangan keluarga selama lima tahun atau lebih, menjadikan kebarangkalian untuk menghidapi kanser ovari itu lebih rendah, dan golongan berisiko tinggi ini telah menggunakannya sebagai langkah pencegahan.

Wanita yang melahirkan anak selepas umur 35 tahun atau yang tidak pernah hamil mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser ovari. Oleh itu, membuat perancangan keluarga dapat mengurangkan risiko kanser, terutama sekali bagi golongan berisiko tinggi. Beberapa kajian mencadangkan bahawa penyusuan susu ibu itu sendiri mengurangkan risiko kanser ovari.

Apakah Tips Penjagaan Kesihatan Ovari Yang Terbaik?
Mengamalkan gaya hidup yang sihat sangat penting dalam mengekalkan kesihatan ovari, ini kerana ia berkait rapat dengan isu metabolisme wanita. Pemakanan yang seimbang dan kerap melakukan senaman dapat menghindar daripada masalah obesiti, yang mungkin menjadi pelopor PCOS dan ketidakseimbangan hormon.

Mengelakkan diri daripada pengambilan alkohol dan rokok merupakan antara amalan gaya hidup sihat terbaik. Bukan itu sahaja, kita juga digalakkan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dengan kerap, terutamanya bagi golongan wanita berisiko tinggi untuk mengesan masalah ovari lebih awal.

Membuat perancangan keluarga dengan teliti juga dapat memberi impak positif terhadap isu kesihatan ovari, ia boleh mengurangkan risiko kanser ovari dengan mengelakkan kehamilan pada usia yang lebih tua. Seterusnya menggalakkan penyusuan susu ibu sebagai salah satu langkah pencegahan kanser ovari.


Dr Ida Lilywaty Md Latar
Obstetrik dan Ginekologi (O&G),
Pantai Hospital Cheras (PHC)

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.