Pentingkah Muzik?

Mentaliti masyarakat kita sering mengaitkan muzik sebagai hiburan yang melalaikan dan memandang enteng akan keperluan muzik dalam kehidupan. Rata-rata ibu bapa menganggap muzik sebagai bidang picisan dan seboleh-bolehnya tidak mahu anak-anak menjadikan bidang muzik sebagai profesion. Itu mungkin tanggapan sesetengah pihak. Akan tetapi, tahukah ibu bapa akan kepentingan muzik dalam perkembangan kanak-kanak?

Ingatkah anda sewaktu kecil dahulu, ibu anda mendendangkan adik-adik anda dengan alunan zikir atau lagu-lagu lama yang mendamaikan bagi mendodoikan bayi tidur? Lihatlah kesannya selepas beberapa ketika ibu menepuk-nepuk lembut paha bayi sambil mengalunkan irama indah yang sarat dengan nasihat. Pasti bayi tersebut lena diulit mimpi.

Kuasa muzik sebenarnya sudah terlihat ketika itu, namun tidak ramai yang menyedarinya. Malah, banyak kajian yang dibuat oleh pakar mendapati bayi dalam kandungan juga akan rasa tenang apabila mendengar muzik yang mendamaikan mereka. Pakar juga bersetuju bahawa muzik diperlukan untuk merangsang minda bayi di mana bunyi yang terhasil pada suara atau alat muzik dapat menjana pertumbuhan sel-sel neuron dalam otak bayi.

Muzik mempunyai kuasa luar biasa dalam mempengaruhi emosi bayi dan kanak-kanak. Kebanyakan ibu bapa sedar irama muzik yang lembut dan mendamaikan mampu menenangkan bayi yang meragam.

Walau bagaimanapun, pakar turut bersetuju bahawa hanya muzik yang sesuai boleh diperdengarkan kepada bayi dalam kandungan dan juga bayi. Muzik yang dipilih perlulah tidak terlalu kuat sehingga membingitkan telinga bayi itu. Jika anda memasang mana-mana muzik dengan bunyi yang kuat, bukan bayi sahaja yang akan terkejut, malah orang dewasa juga pasti tidak gemar mendengar bunyi bingit yang memekakkan telinga.

Belajar melalui muzik
Muzik memainkan peranan penting dalam mempercepatkan perkembangan otak bayi dan kanak-kanak. Cubalah membuat eksperimen kepada kanak-kanak bagi melihat kesan muzik.

Contohnya, ajar anak anda menyebut A, B, C dan seterusnya selama tiga hari berturut-turut. Lihatlah kesannya selepas tiga hari. Adakah anak anda boleh menyebut A, B, C dengan lancar mengikut turutan? Kemudian, cuba pula mengajar anak anda menyebut A, B, C sehingga Z dalam bentuk nyanyian. Tidak mustahil, dalam masa satu hari anak anda lancar menyanyikan lagu ABC.

Semua rangsangan stimulasi ini menunjukkan muzik dapat merangsang minda anak anda untuk berkembang dengan sihat.

Mula lebih awal
Selain mendengar irama lagu, kanak-kanak juga digalakkan untuk mempelajari instrumen muzik bagi merangsang perkembangan mereka.

Anda tidak perlu menunggu anak anda berada di sekolah rendah atau menengah untuk mula menghantar mereka ke sekolah muzik, sebaliknya pembelajaran instrumen muzik adalah digalakkan untuk bermula seawal usia mereka tiga tahun.

Hal ini kerana semasa kecil lagi otak mereka sudah berkembang dan mudah menerima pembelajaran muzik ketika ini.

Kebanyakan kanak-kanak empat hingga lima tahun cukup gemar menikmati muzik dan sudah boleh belajar asas bermain instrumen. Malah, pembelajaran muzik sejak awal juga dapat memupuk minat kanak-kanak terhadap muzik secara berterusan.

Kanak-kanak yang mempelajari instrumen muzik juga dapat dididik menjadi individu yang berdisiplin, meningkatkan tahap memori mereka serta
kemahiran matematik.

Selain muzik dianggap sebagai terapi, muzik dapat meningkatkan tahap keyakinan dalam diri kanak-kanak selain mengurangkan rasa takut di atas pentas.

Didik lebih kreatif
Kebanyakan orang percaya kreatif itu adalah anugerah yang sudah dilahirkan sejak azali lagi. Adakah anda pernah mendengar orang berkata, ‘budak itu memang dilahirkan kreatif’. Padahal sebaliknya, pakar percaya setiap kanak-kanak itu dilahirkan mempunyai keupayaan atau bakat semula jadi untuk menjadi kreatif.

Kreativiti penting dalam setiap diri kanak-kanak kerana ia menyediakan mereka peluang untuk berjaya dan meningkatkan perasaan yakin diri.

Bermain dan mencipta muzik adalah proses berhubung yang dapat merangsang setiap sudut dalam otak individu. Justeru itu, tidak hairanlah jika muzik juga dapat membantu dalam mengembangkan kemampuan individu untuk menjadi lebih kreatif.


Ibu bapa boleh memupuk minat terhadap muzik dalam diri anak-anak melalui:

  1. Memasang atau memainkan muzik di rumah – Dedahkan bayi anda dengan pelbagai genre muzik. Mainkan muzik secara sederhana semasa bersama dengan bayi anda.
  2. Menyanyi bersama – Jika anak anda sudah boleh bertutur, anda boleh mengajaknya untuk mengikut anda menyanyi bersama-sama. Nyanyian dapat membantu anak anda untuk belajar bahasa.
  3. Menggalakkan anak belajar muzik di sekolah – Setiap sekolah pasti mempunyai mata pelajaran muzik. Galakkan anak anda untuk turut serta dalam pembelajaran muzik di kelasnya. Pembelajaran muzik bersama rakan-rakan dapat membantu memupuk kemahiran koordinasi dan kreativiti kanak-kanak.
About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.