Menjaga pemakanan si manja sebenarnya bukan sesuatu yang amat susah, namun ia memerlukan kesabaran. Perkara utama yang mungkin merisaukan ibu bapa adalah berkenaan dengan keperluan nutrisi si manja. Nutrisi yang tidak mencukupi mungkin menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan sempurna kanak-kanak.
Bayi akan mula makan makanan pejal apabila mencecah usia enam bulan. Ketika itulah makanan-makanan yang berkhasiat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan serta daging perlu diperkenalkan kepada mereka, dalam bentuk puri ringan dan juga separa pejal sehinggalah mereka boleh mengunyah dengan baik. Lagi banyak jenis makanan berkhasiat yang dapat diperkenalkan sejak awal-awal lagi, lebih mudah untuk si manja menerima makanan-makanan tersebut, dan juga perisa-perisa makanan baru kelak.
Tekstur makanan mengikut peringkat
Makanan pejal pertama bayi lazimnya dalam bentuk puri ataupun makanan yang dilenyek halus. Biasanya, makanan-makanan ini terdiri daripada kentang, nasi, lobak merah atau labu yang telah dimasak, atau pun buah pisang, avokado, betik dan sebagainya. Sebagai permulaan, tawarkan sedikit sahaja makanan, dan usah risau jika si manja seperti hairan atau tidak menerimanya pada mula-mula. Hari demi hari, sedikit demi sedikit, si kecil akan biasa dengan rasa-rasa baru tersebut.
Peringkat seterusnya merupakan makanan yang dikisar kasar, supaya si manja dapat belajar mengunyah. Makanan seperti nasi, sayur dan ikan atau daging perlu dimasak dahulu dan kemudiannya dikisar kasar. Buah-buahan yang lembut pula boleh dilenyek kasar.
Apabila si manja sudah pandai menggenggam barang, anda boleh memberikannya makanan bayi jenis finger food. Awasilah si manja anda ketika dia sedang makan, untuk mengelakkan daripada tercekik.
Apabila mencecah 12 bulan, kebanyakan bayi boleh mula makan nasi dengan lauk yang ringkas dan lembut. Ada juga yang akan mula menyuap diri dengan sudu plastik. Tidak kira apa pun keadaan, perhatikanlah si manja semasa dia sedang makan, untuk mengelak daripada kejadian yang tidak diingini.
Pemakanan untuk si kecil 2 tahun ke atas
Kanak-kanak berusia dua tahun ke atas memerlukan jenis makanan yang sama seperti orang dewasa seperti:
- Daging, ikan, telur
- Produk tenusu
- Buah-buahan dan sayur-sayuran
- Bijirin penuh, ubi kentang, nasi, roti, pasta
Penting untuk ibu bapa
Sentiasa perhatikan bayi anda semasa dia sedang makan, tidak kira di mana sahaja, untuk mengelak daripada tercekik.
Kanak-kanak yang sedang membesar lazimnya akan mula cerewet makan atau seakan-akan tidak minat pada makanan. Ibu bapa perlu banyak bersabar dan teruskan usaha untuk memberikan anak mereka makan makanan yang berkhasiat. Peringatan: Jika anak tidak diperkenalkan kepada makanan-makanan yang tidak berkhasiat seperti gula-gula, kek, minuman ringan dan sebagainya, dia pasti tidak akan merengek meminta makanan seumpama itu apabila lapar. Sebaliknya, dia hanya akan minta makanan yang dia kenali dan pernah makan.
Jangan sekat ‘lemak’ si manja
Ramai ibu bapa menganggap bahawa makanan yang mempunyai lemak tidak baik untuk kesihatan bayi atau kanak-kanak. Hakikatnya, tubuh badan yang sedang membesar memerlukan lemak untuk tenaga. Lemak yang baik untuk tumbesaran kanak-kanak dapat diperolehi daripada susu, keju, dadih, telur, ikan dan juga daging. Walau bagai mana pun, ini bukannya bererti yang kanak-kanak perlu sentiasa makan makanan yang berlemak tinggi. Seperti pengambilan semua jenis makanan yang lain, kesederhanaan adalah penting supaya tidak mengundang penyakit-penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan juga obesiti semasa besar nanti.
Cerewet makan? Bersabarlah!
Mencecah usia setahun, anda mungkin akan lihat si manja mula kurang makan atau memilih makanan yang tertentu sahaja. Dia mungkin hanya akan menjamah sedikit sahaja daripada makanan ataupun langsung tidak mahu makan makanan tersebut. Fasa ini adalah biasa dalam perkembangan kanak-kanak, dan lazimnya, dia akan makan apabila lapar sahaja. Yang pentingnya, makanan yang diminta semasa lapar adalah makanan yang berkhasiat dan bernutrisi.
Bagi menangani masalah anak cerewet makan, anda boleh juga cuba tips berikutnya:
- Tawarkan makanan dalam sukatan yang kecil. Kanak-kanak mungkin akan cuba makan jika anda hidangkan makanan dalam kuantiti sedikit.
- Pastikan anak anda selesa semasa makan. Contohnya, jika kerusi makan yang diduduki si manja kurang selesa, pasti dia akan gelisah dan keadaan ini mungkin juga mengganggu selera makannya.
- Biar si kecil tenang tanpa gangguan semasa makan. Elakkan sebarang gangguan contohnya daripada gadget atau televisyen, semasa si manja sedang menjamu selera.
- Tanya pakar pediatrik anak anda tentang makanan tambahan atau vitamin yang boleh diberikan kepada si kecil anda