Perubahan-Perubahan Pada Tubuh Badan Selepas Bersalin

Setiap wanita yang telah bersalin pasti mengalami perubahan-perubahan pada tubuh badannya. Ada perubahan yang dilihat sebagai normal dan ada yang perlu di periksa untuk memastikan bahawa ia bukan permulaan bagi komplikasi kesihatan yang lebih merbahaya.

Tubuh seorang wanita yang baru bersalin lazimnya lemah dan terdedah kepada bermacam elemen dan kemungkinan. Justeru itu, para ibu baru patut tahu apa yang normal dan apa yang tidak.

Pendarahan yang luar biasa
Sama ada melahirkan bayi secara normal (melalui faraj) atau secara pembedahan (caesarean section), darah nifas akan keluar sebaik sahaja selepas bersalin, di mana tubuh akan terus menumpahkan darah dan tisu yang berjajar di rahim. Dalam minggu pertama, darah akan keluar dengan banyak bersama ketulan-ketulan atau darah beku yang dipanggil darah nifas. Selepas 10 hari, darah nifas yang keluar akan bertukar menjadi seolah-olah seperti keputihan berwarna coklat ke kekuningan atau putih, dan ini dinamakan lochia.

Lochia adalah cecair badan yang boleh kelihatan jelas berwarna putih berkrim dan ia boleh berterusan selama enam minggu, sehingga haid muncul semula, tidak kira sama ada si ibu tidak menyusu badan atau sedang menyusu badan.


Adakalanya pendarahan yang berlaku tiada kaitan dengan darah nifas atau pun lochia. Cepatlah hubungi doktor jika terdapat simptom-simptom seperti di bawah ini:

  • Pendarahan yang memenuhi tuala wanita pada setiap jam
  • Pendarahan yang berserta dengan kesakitan yang teruk
  • Demam tiba-tiba
  • Pendarahan secara berterusan lebih dari tujuh hari

Kemurungan (baby blues)
Selepas kelahiran, anda mungkin akan mengalami perubahan emosi kerana ketidakselesaan tubuh yang dialami. Masalah kemurungan atau baby blues ini biasa dialami oleh wanita lepas bersalin. Namun, kebanyakannya hanya pada tahap yang ringan dan tidak membahayakan. Justeru itu, sokongan ahli keluarga terutama pasangan adalah penting bagi memulihkan emosi ibu. Namun, jika keadaan ini berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan seharian anda, berjumpalah dengan doktor untuk nasihat dan rawatan yang diperlukan.

Sakit payu dara
Ibu akan berasa sakit pada payudara jika bayi jarang menyusu atau susu tidak kerap dipam. Sakit yang dialami ini berpunca daripada payudara yang dipenuhi susu. Akibatnya, payudara akan membengkak sekali gus menyebabkan kesakitan semasa bayi menghisap susu badan.

Bagi mengelakkan ibu daripada sakit payudara, keraplah menyusukan bayi secara terus (direct-feeding) ataupun mengepam susu badan jika bayi jarang menyusu. Anda boleh menuam payudara dengan menggunakan tuala yang direndam dengan air sejuk atau air suam bagi mengurangkan masalah bengkak. Jika sakit yang dirasa tidak dapat ditahan, dapatkanlah nasihat doktor untuk menggunakan ubatan yang sesuai untuk meredakan sakit tersebut.

Sembelit
Sembelit atau sukar membuang air besar sering dialami oleh ibu yang kurang minum air, kurang mengambil makanan berserat atau mungkin disebabkan pengambilan makanan atau ubat yang bersifat panas seperti herba dan jamu. Sembelit yang berlarutan akan memudaratkan kesihatan ibu kerana ia menandakan masalah dalam sistem percernaan makanannya.

Bagi ibu yang mempunyai luka episiotomi, keadaan sembelit amat menyakitkan kerana ia mungkin menjejaskan jahitan luka bersalin itu.

Sembelit dapat dielakkan dengan menambahkan pengambilan makanan berserat tinggi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta minum air yang banyak, iaitu enam hingga lapan gelas sehari.

Masalah sukar kencing
Sesetengah ibu baru akan mengalami masalah sukar untuk terkencing selepas bersalin kerana mungkin mengalami masalah air kencing bertakung. Simptom ini boleh diketahui dalam masa enam jam pertama selepas anda melahirkan bayi melalui jumlah air kencing yang anda keluarkan.

Bagi mengatasinya, anda boleh cuba bergerak seperti berjalan untuk menggalakkan aliran air kencing atau anda juga boleh berendam dalam tab mandian.

Jika anda mengalami masalah mudah terkencing pula, atau pun terkencing semasa batuk, ketawa dan bersin, anda perlu mengamalkan senaman lantai pelvik (senaman kegel) bagi mengelakkannya daripada berlanjutan.

Faraj tidak selesa
Bagi kelahiran normal, anda akan mengalami ketidakselesaan pada faraj disebabkan luka episiotomi semasa bersalin. Justeru itu, anda perlu memastikan kebersihan alat sulit bagi mengelakkan jangkitan kuman pada bahagian tersebut. Ada sesetengah ibu yang mengalami kegatalan pada faraj disebabkan kekurangan penjagaan rapi selepas bersalin. Hal ini mungkin berlaku kerana mereka takut jika berasa pedih semasa membersihkan luka di bahagian tersebut.

Secara tradisional, alat sulit perlu dibersihkan dengan menggunakan garam kasar atau manjakani untuk mempercepatkan proses pengecutan dan penyembuhan luka.


Jika anda mengalami masalah mudah terkencing pula, atau pun terkencing semasa batuk, ketawa dan bersin, anda perlu mengamalkan senaman lantai pelvik (senaman kegel) bagi mengelakkannya daripada berlanjutan.

 

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.