Risau Susu Badan Tidak Cukup?

Ada antara ibu-ibu baru yang risau bahawa susu badan mereka tidak mencukupi untuk keperluan si manja mereka. Ikutilah artikel ini untuk mengetahui hal sebenarnya di sebalik persepsi ini.

Kebanyakan ibu baru tertanya-tanya adakah susu badan mereka mencukupi untuk bayi mereka. Apabila melihat bayi mereka yang baru lahir kerap menyusu, mereka risau bahawa mungkin si manja mereka kelaparan kerana tidak cukup susu setiap kali menyusu. Seterusnya, mereka menganggap bahawa tubuh mereka tidak dapat mengeluarkan susu yang mencukupi untuk keperluan bayi mereka. Usahlah terlalu bimbang, Mama! Tabiat bayi yang asyik hendak menyusu itu normal sahaja, dan kebanyakan bayi akan menyusu lapan hingga 12 kali sehari semasa minggu-minggu pertama mereka. Malah, ada yang menyusu lebih kerap daripada itu.

Ada pula yang berpendapat bahawa susu badan yang dapat dipam keluar juga sedikit sahaja. Keadaan keadaan sebegini adalah sebab-sebab utama kenapa ramai ibu putus asa dalam penyusuan badan dan bertukar ke susu formula untuk bayi mereka. Mereka amat khuatir bahawa si manja mereka akan kelaparan jika terus menyusu badan.


Apa yang menyebabkan susu ibu seperti berkurang?
Mula-mula sekali, penyusuan susu ibu perlu bermula awal selepas bayi itu dilahirkan. Para pakar menyarankan supaya ibu memulakan penyusuan dalam tempoh satu jam selepas kelahiran bayi. Penyusuan pula biarlah kerap supaya dapat merangsang pengeluaran susu badan. Semakin kerap bayi menghisap susu ibu, tahap prolaktin pun meningkat sekali gus menghasilkan banyak susu.

Sebab-sebab susu badan seperti berkurangan adalah:

  • lambat memulakan penyusuan,
  • tidak menyusukan bayi dengan kerap,
  • mencampurkan susu ibu dengan susu lain
  • cara penyusuan yang salah
  • penggunaan sesetengah ubat yang tidak sesuai
  • ibu berkenaan pernah menjalani pembedahan pada bahagian payudara.

Faktor-faktor lain yang mungkin mempengaruhi pengeluaran susu badan termasuk kelahiran bayi pramatang, obesiti, tekanan darah tinggi dan diabetes semasa hamil.


Susu ibu lazimnya mencukupi untuk bayi.
Bayi yang baru lahir memerlukan susu antara 5ml hingga 7ml pada hari pertama dan kedua selepas kelahiran. Permintaan susu akan meningkat kepada 20ml hingga 40ml pada hari ketiga dan keempat kelahiran serta semakin meningkat setiap hari.


Panduan meningkatkan pengeluaran susu

  1. Menyusukan bayi seawal mungkin. Jangan menunggu lama untuk menyusukan bayi baru lahir kerana penyusuan yang lambat akan memberi kesan kepada pengeluaran susu.
  2. Kerap menyusukan bayi. Untuk minggu-minggu selepas bayi dilahirkan, penyusuan sepatutnya berlaku setiap dua hingga tiga jam. Lebih kerap penyusuan berlaku, lebih banyak susu yang hasilkan.
  3. Pastikan posisi bayi dan lekapan mulutnya (latch on) semasa menyusu adalah betul.
  4. Bayi perlu diberi susu dari kedua-dua payu dara.
  5. Pamkan susu badan semasa tidak menyusu, khusus bagi ibu yang berkerja, supaya pengeluaran susu berterusan
  6. Dapatkan nasihat doktor sebelum anda mengambil sebarangan ubat ataupun jamu kerana sesetengah ubat akan memberi kesan kepada pengeluaran susu badan ibu.
  7. Elakkan pengambilan alkohol dan jauhilah daripada merokok dan juga menghidu asap rokok.

Lekapan yang betul
Cara lekapan mulut bayi pada puting juga mustahak semasa menyusu, kerana lekapan yang tidak sempurna bukan saja akan melambatkan penyusuan, namun juga akan menyebabkan kesakitan puting. Oleh itu, pastikan lekapan bayi anda betul dan selesa semasa menyusu. Hentikan penyusuan seketika jika ada masalah dalam lekapan, dan mulakan sekali lagi.

Persekitaran yang nyaman
Sesetengah pakar berpendapat bahawa persekitaran yang nyaman dapat membantu dalam pengeluaran susu, terutama sekali bagi ibu baru yang masih tidak biasa dengan penyusuan badan. Carilah sudut yang paling nyaman sekali di rumah anda untuk tujuan menyusu dengan tenang. Lama-kelamaan, penyusuan akan menjadi semakin mudah untuk anda dan boleh dilakukan di mana-mana tanpa masalah.

Pemakanan untuk membantu dalam penyusuan
Sebagai ibu baru, tubuh anda memerlukan nutrisi maksimum untuk menyusukan bayi. Pilih makanan yang kaya dengan nutrien dan rendah lemak. Ikan merupakan salah satu makanan superfoods bagi ibu yang menyusu kerana mengandungi DHA, iaitu asid lemak omega-3 yang penting untuk membantu perkembangan otak dan sistem saraf bayi baru lahir. Susu dan yogurt juga merupakan superfood kerana kaya dengan kalsium yang diperlukan untuk tulang anda. Manakala, daging pejal, ayam dan kekacang pula rendah lemak dan kaya dengan protein serta serat. Kesemua makanan ini baik untuk tubuh seorang ibu yang sedang menyusu dan jaga dapat membantu meningkatkan pengeluaran susu badan.


Teruskanlan menyusu
Susu ibu adalah amat penting untuk kesihatan dan tumbesaran si manja. Jika anda risau tentang pengeluaran susu anda, berjumpalah dengan doktor ataupun pakar laktasi untuk mendapatkan nasihat mereka tentang cara merangsang pengeluaran susu dan juga cara-cara penyusuan yang terbaik.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.