Sains & Math Susah? Ajar anak minat dua subjek ini

Sains dan Matematik; dua subjek yang digeruni oleh ramai pelajar. Sains digeruni mungkin kerana konsepnya manakala, Matematik (Math) sudah pasti disebabkan nombornya.

Jika ditanya kepada pelajar sekolah tentang mata pelajaran yang tidak digemari, rata-rata mereka pasti akan menjawab sama ada Sains atau Matematik. Dua subjek ini adalah subjek penting yang perlu dikuasai oleh pelajar untuk masa depan mereka. Salah satu rahsia bagaimana pelajar cemerlang boleh menguasai dua subjek ini adalah kerana minat. Jadi, bagaimana ingin memupuk minat anak menggemari dua subjek ini? Ikuti tips-tips yang kami sediakan di bawah:

Pupuk Sejak Kecil
Penting bagi setiap pelajar untuk meminati subjek Sains dan Math kerana dunia kini amat bergantung kepada teknologi. Kemahiran berimaginasi, rekaan, penyelesaian masalah, pemikiran logik dan banyak lagi, kesemuanya memerlukan pengetahuan yang cukup kuat.

Justeru, setiap ibu bapa disarankan untuk memupuk minat anak terhadap kedua-dua subjek ini sejak kecil lagi. Peringkat usia 7 tahun pertama kehidupan kanak-kanak adalah penting untuk anda terapkan minat mereka terhadap sesuatu perkara, kerana ketika itulah otak anak anda dapat menyerap semua pembelajaran yang diajar kepada mereka. Secara semula jadinya, setiap kanak-kanak dilahirkan memiliki asas Sains dan Math di mana mereka mempunyai sikap ingin tahu dan gemar meneroka perkara di sekeliling mereka. Cuma, anda perlu membantu mengembangkan lagi minat mereka menguasai subjek ini.

Penggunaan teknik yang betul juga dapat membantu si kecil untuk menguasai mata pelajaran ini. Salah satu caranya adalah dengan menghantar anak anda ke pusat pengayaan khusus yang menawarkan subjek-subjek ini. Tenaga pengajar yang bertauliah tahu cara yang betul untuk menanam minat si kecil terhadap dua subjek ini.


Jangan Buat Mama & Papa!
Salah satu faktor yang menyebabkan kanak-kanak tidak menggemari subjek ini adalah kerana sikap ibu bapa itu sendiri yang ‘alah’ kepada kedua-dua mata pelajaran ini. Ada ibu bapa yang secara terang-terangan memberitahu anak bahawa mereka lemah dalam subjek tersebut semasa di sekolah. Ada juga yang bercakap, “normallah tu tak minat. Papa dulu pun tak minat juga.” Jika begini keadaannya, bagaimana anda ingin menanamkan sifat cinta kepada Sains dan Math dalam diri anak anda?


Bagaimana Pupuk Minat Anak

  1. Kanak-kanak akan menggemari subjek Sains dan Math jika dia diberi peluang untuk melakukan aktiviti yang berkaitan dengan dua konsep ini, dengan cara yang menyeronokkan.
  2. Kanak-kanak mesti faham tujuan mereka melakukan aktiviti tersebut. Sebelum atau selepas melakukan aktiviti, terangkan pada si kecil tentang tujuan aktiviti dilakukan.
  3. Tunjukkan contoh. Jika anda lihat kecenderungan anak terhadap sains, tunjukkan contoh perlakuan ahli sains kepadanya. Contohnya, anda membawa si kecil ke pusat sains dan menunjukkan hasil-hasil pakar sains yang ada di situ.
  4. Kanak-kanak memerlukan kata-kata semangat dan galakan daripada orang-orang sekelilingnya khususnya daripada kedua ibu bapanya sendiri. Jika anak anda salah memberikan jawapan ataupun tidak tahu untuk melakukan aktiviti yang diberikan, jangan terus ‘menghukumnya’ atau memberikan kata-kata negatif sehingga melemahkan semangat anak anda.
  5. Mainan yang tepat mengikut usia anak dapat membantu si kecil untuk menanam minat terhadap Sains dan Math. Antara mainan yang sesuai diberikan kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan ialah mainan blok, binaan bangunan dan trek kereta.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.